Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pembinaan Kapal LCS Berjalan Lancar, Kapal Pertama Siap 2024 – Tok Mat

“Saya yakin, kapal pertama ini akan siap pada 2024 sebelum ujian di peringkat pelayaran di laut dan kemudiannya ditauliahkan,” katanya Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan.

0 2,172

(DEFENCE SECURITY ASIA) –  Pembinaan kapal pertama Littoral Combat Ship (LCS) kelas-Maharaja Lela milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjalan dengan lancar dan ia dijangka siap tahun 2024, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan.

 Kementerian Pertahanan berpuashati dengan proses pembinaan kapal-kapal perang itu.

 “Untuk kapal pertama, tinggal satu blok sahaja yang perlu dilengkapkan, ia tidak ambil masa. Bahagian enjin, baling-baling, kotak gear telah dimasukkan, tinggal peralatan elektrik dan kemudiannya senjata. 

“Saya yakin, kapal pertama ini akan siap pada 2024 sebelum ujian di peringkat pelayaran di laut dan kemudiannya ditauliahkan,” katanya pada sidang media selepas lawatannya ke lokasi pembinaan kapal-kapal LCS di Lumut hari ini yang turut disertai oleh Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan pegawai kanan TLDM yang lain.

Sementara itu di dalam kenyataan menerusi akaun Facebook miliknya pula, Mohamad Hasan yang juga dikenali sebagai ‘Tok Mat” berkata, kapal pertama itu boleh disiapkan pada suku ke-tiga tahun hadapan.

LCS
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan ketika melawat pembinaan kapal-kapal Littoral Combat Ship di Lumut. (kredit FB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan)

 

“Kapal-kapal ini mesti ada untuk melengkapkan keperluan pertahanan hadapan demi menjaga kedaulatan negara.”

“Ikut perancangan baru, jika diluluskan, kapal pertama boleh disiapkan suku ke-3 tahun hadapan. Insha Allah,” kata beliau menerusi akaun Facebooknya itu hari ini.

Mohamad sebelum ini dilapor berkata kerajaan akan meneruskan projek pembinaan LCS sebagai sebahagian daripada pengukuhan pertahanan negara.

Ditanya mengenai status pembinaan kapal-kapal LCS yang lain, Tok Mat berkata ia mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk disiapkan mengikut kesesuaian masing-masing dari segi pemasangan peralatan elektrik, elektronik, persenjataan dan beberapa perkara teknikal lain.

LCS
(kredit FB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan)

 

Menurut Boustead Naval Shipyard (BNS) sebelum ini, pembinaan kapal LCS yang pertama berada di tahap 50 hingga 60 peratus manakala kerja-kerja menyiapkan kapal kedua LCS pula telah sampai ke tahap 48 peratus.

Kerja-kerja pembinaan kapal LCS ketiga pula telah siap 43 peratus, kapal LCS keempat telah siap 36 peratus manakala kapal LCS kelima pula telab siap 20 peratus.

Pembinaan enam buah kapal LCS bernilai RM9 bilion yang direkabentuk mengikut kapal friget “Gowind” DCNS daripada Perancis itu bermula pada 3 Oktober 2013 dan sepatutnya tamat pada 2 Oktober 2023 dengan kesemua enam buah kapal itu siap sepenuhnya dan diserahkan kepada TLDM.

LCS
(kredit FB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan)

 

Sebanyak RM6 billion telah dibayar oleh kerajaan setakat ini untuk perolehan enam buah kapal LCS terbabit.

Bagaimanapun sehingga 31 Oktober 2021, kemajuan projek pembinaan kapal-kapal LCS itu hanya mencapai 57.5 peratus berbanding 96.57 peratus yang sepatutnya dicapai dalam jadual asal.

Projek pembinaan enam buah kapal LCS itu katanya, telah mengalami kelewatan sebanyak 39.52 peratus atau 43 bulan.

Harga siling bagi kesemua enam buah kapal LCS itu adalah sebanyak RM9 bilion.— DSA

Apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

 

 

Comments
Loading...