Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Anggota Pengaman UNIFIL Malaysia Dalam Keadaan Selamat – Menteri Pertahanan Sahkan

(VIDEO) Beberapa hari lalu, Defence Security Asia memetik media-media Lubnan yang menyatakan bahawa kenderaan berperisai milik UNIFIL didakwa membawa anggota pengaman dari Malaysia dipercayai ditahan penduduk tempatan dan diserahkan kepada pejuang Hezbollah di kawasan Hay al-Sellom di Dahiyeh, selatan Beirut.

0 1,203

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan anggota pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL) dari Malaysia berada dalam keadaan selamat.

Dipetik oleh agensi berita nasional Malaysia (BERNAMA) ketika dihubungi hari ini, Mohamed Khaled secara ringkas memaklumkan bahawa perincian lanjut akan dikeluarkan dalam kenyataan rasmi kemudian.

Menurut laporan media Lubnan, kenderaan berperisai milik UNIFIL yang didakwa membawa anggota pengaman dari Malaysia dipercayai ditahan penduduk tempatan dan diserahkan kepada pejuang Hezbollah di kawasan Hay al-Sellom di Dahiyeh, selatan Beirut, baru-baru ini.

Portal berita berbahasa Arab, Lubnan Al-Modon pula mengeluarkan video memaparkan keadaan dalam kenderaan perisai UNIFIL itu yang antara lain menunjukkan di stereng kenderaan perisai terdapat perkataan “Cendana Auto” dan beberapa peralatan peribadi milik anggota pengaman.

BERNAMA masih lagi berusaha mendapatkan pengesahan daripada Markas Angkatan Bersama yang berperanan menyelaraskan keperluan operasi dan misi di bawah PBB.

Sementara itu, Timbalan Jurucakap UNIFIL Kandice Ardiel ketika bercakap dengan stesen televisyen tempatan, Lebanese Broadcasting Corporation International (LBCI) mengesahkan kejadian itu yang membawa kepada penahanan sementara anggota pengaman UNIFIL.

“Sebuah kenderaan pasukan pengaman PBB yang sedang dalam perjalanan rutin logistik ke Beirut telah memasuki jalan yang tidak dirancang,” menurut Kandice.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan kewarganegaraan anggota pengaman yang terbabit dalam insiden itu.

Selain kebebasan untuk bergerak di dalam kawasan operasi UNIFIL, Kandice memaklumkan mereka juga dibenarkan bergerak di seluruh Lubnan oleh kerajaan negara itu bagi tujuan pentadbiran dan faktor logistik seperti tertakluk dalam pelaksanaan Resolusi 1701.

Dalam pada itu, Akhbar Lubnan, Al-Akhbar yang dipetik portal LBCI pula mengesahkan insiden di Hay al-Sellom di Dahiyeh itu membabitkan kenderaan perisai yang membawa anggota pengaman Malaysia.

Khaled
Menteri Pertahanan Khaled Nordin

 

Menurut Al-Akhbar, kejadian itu dianggap sebagai sensitif dan berpunca daripada ‘kesilapan’ anggota ke kawasan dikenali sebagai kubu kuat pejuang, terutamanya ketika konflik dengan musuh.

Akhbar itu juga menyatakan bahawa insiden itu bukan kali pertama berlaku dan “perselisihan faham” (altercation) antara pasukan tentera antarabangsa dan penduduk tempatan juga bukanlah kali pertama berlaku. — DSA

Comments
Loading...