Amerika Mahu Turkiye Bayar Gantirugi US$30 Juta Kerana Terpaksa “Simpan” F-35 Milik Turkiye

Washington mula meminta bayaran gantirugi berjumlah US$30 juta daripada Ankara kerana “terpaksa” menyimpan keenam-enam buat pesawat pejuang F-35 Turkiye selepas negara Mediterranean itu digantung dan melaksanakan penyelenggaraan terhadapnya pada tahun 2022.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Amerika Syarikat dilaporkan meminta Turkiye membayar sejumlah US$30 juta (RM135 juta) sebagai gantirugi kerana terpaksa melakukan penyelenggaraan teknikal terhadap enam buah pesawat pejuang F-35 milik negara Mediterranean yang kini disimpan di negara Amerika Utara itu.

Keenam-enam buah pesawat generasi kelima buatan syarikat Lockheed Martin tidak dapat dihantar dan diserahkan kepada Turkiye selepas negara Mediterranean itu digantung daripada program pesawat itu selepas ia berdegil memperolehi sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia.

Menurut laporan berita Turkiye “Aydinlik”,  kesemua pesawat pejuang F-35 itu disimpan dalam hangar di Amerika Syarikat tetapi disebabkan kecanggihannya, ia memerlukan penyelenggaraan berterusan yang menelan belanja yang tinggi.

Oleh kerana itulah, Washington meminta Ankara membayar gantirugi.

Washington mula meminta bayaran gantirugi berjumlah US$30 juta daripada Ankara kerana “terpaksa” menyimpan keenam-enam buat pesawat pejuang F-35 Turkiye selepas negara Mediterranean itu digantung dan melaksanakan penyelenggaraan terhadapnya pada tahun 2022.

F-35 Turkiye ketika didedahkan pada tahun 2018

\

Setakat ini, kerajaan Turkiye dipimpin oleh Presiden Recep Tayyep Edrogan tidak menyatakan sama ia kerajaan negara itu akan membayar ganti rugi US$30 juta sebagaimana yang diminta oleh Washington.

Turkiye mula menyertai program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima F-35 Lightning II seawal tahun 1999, dengan negara anggota NATO itu komited untuk membeli 100 buah varian F-35A pesawat keluaran syarikat Lockheed Martin itu.

Sebagai rakan pembangunan, Ankara telah membayar US$1.4 bilion (RM5.4 bilion) sebagai kos pembangunan pesawat pejuang itu, manakala syarikat-syarikatnya pula bertanggungjawab menghasilkan kira-kira 900 alat ganti dalam program perkongsian industri. 

Selepas digantung daripada terbabit dalam program pesawat F-35 itu, Turkiye meminta Amerika Syarikat memulangkan kembali wang berjumlah US$1.4 billion yang telah dibayarnya, tetapi Washington enggan berbuat demikian.

Sementara itu, syarikat-syarikat  Turkiye yang terlibat dalam program pembangunan pesawat pejuang itu dilaporkan menyumbang kira-kira US$9 bilion (RM40.5 bilion) kepada ekonomi negara Mediterranean itu.

Pesawat pertama F-35A milik Turkiye telah pun dilancarkan di Amerika Syarikat pada 2018 dalam majlis gilang-gemilang, disusuli oleh lima lagi buah pesawat pejuang yang sama, yang kini “disimpan” dalam gudang di negara itu.

Bagaimanapun pada 2019, Turkiye telah secara rasmi “ditendang” keluar daripada program pesawat pejuang F-35 oleh Washington kerana kedegilannya untuk meneruskan pembelian sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia.

Pegawai-pegawai kanan di Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat dilaporkan berkata bahawa pesawat pejuang F-35 tidak boleh “hidup bersama” dengan sistem pertahanan udara, S-400 yang dikategorikan oleh Washington adalah  “platform pengumpulan perisikan” Russia.

Pegawai kanan Amerika Syarikat percaya Russia akan menggunakan sistem pertahanan udara S-400 untuk mempelajari kemampuan terkini pesawat pejuang F-35 itu.

“Kebanyakkan daripada kekuatan F-35 itu terletak kepada kemampuan halimunannya (stealth),  jadi kemampuan untuk mengesan aspek halimunan itu menjejaskan keselamatan jangka panjang program F-35 itu. Kami hanya mahu menjaga aspek keselamatan jangka panjang program pesawat pejuang itu, ” menurut seorang pegawai kanan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat. 

Bukan sahaja Ankara dikeluarkan daripada program pembangunan pesawat F-35 itu, tetapi negara Mediterranean itu turut dikenakan sekatan ketenteraan di bawah CAATSA (Countering America’s Adversaries Through Sanctions Act (CAATSA).

CAATSA adalah undang-undang persekutuan Amerika Syarikat yang mengenakan sekatan ketenteraan terhadap musuh-musuh negara itu seperti Iran,Korea Utara dan Russia.

F-35

 

Minggu lepas, Amerika Syarikat menyatakan kesediaannya untuk “menerima kembali” Turkiye ke dalam program pesawat pejuang generasi kelima, F-35 walaupun kedua-dua negara masih bertelagah tentang pembelian sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia oleh Ankara.

Perkara itu dinyatakan sendiri oleh Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Victoria Nuland semasa temuramah dengan CNN Turk di Turkiye.

“Jika kita dapat menyelesaikan isu sistem pertahanan udara S-400 (buatan Russia yang dibeli oleh Turkiye), di mana kita (Amerika Syarikat) mahu menyelesaikannya. Amerika Syarikat amat gembira untuk menerima kembali Turkiye ke dalam keluarga F-35.”

“Jika kita dapat mengatasi isu ini, isu CAATSA itu akan hilang dan kita boleh kembali ke perbincangan mengenai F-35,” kata beliau. — DSA

AmerikaF-35featuredGantungTurkiye
Comments (2)
Add Comment