Kesemua 31 Buah M1A1 Abrams Dihantar Ke Ukraine Telah Musnah – Penganalisa Tentera Amerika
Konflik Russia-Ukraine mendedahkan cabaran-cabaran dihadapi oleh kereta-kereta kebal dan kereta kebal yang tidak dialami oleh aset-aset ketenteraan itu dalam konflik dan peperangan sebelum ini, terutamanya melibatkan serangan dron-dron berani mati.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Seorang penganalisa tentera Amerika Syarikat menyatakan bahawa kesemua 31 buah kereta kebal utama M1A1 Abrams buatan negara yang dihantar ke Ukraine untuk digunakan oleh anggota negara itu telah dimusnahkan oleh Russia menggunakan dron berani mati negara itu.
Dipetik ketika bercakap dengan stesen televisyen kabel CNN, penganalisis tentera terbabit Christopher Kirchhoff berkata, kemusnahan itu menandakan berakhirnya peperangan mekanis menggunakan kereta-kereta kebal dan juga kereta perisai yang bermula sejak Perang Dunia Pertama.
“Pada awal peperangan, kami telah membekalkan sebanyak 31 buah kereta kebal (M1A1) Abrams kepada Ukraine. Kini, hampir kesemuanya telah musnah akibat serangan dron kamikaze oleh Russia. Perkara ini menunjukkan bahawa era peperangan mekanis yang bermula sejak Perang Dunia Pertama kini sedang menuju ke penghujungnya.”
Kirchhoff merupakan seorang pakar strategi ketenteraan dan pertahanan, berpengalaman luas dalam menganalisis teknologi dan strategi ketenteraan, khususnya yang melibatkan konflik moden serta inovasi dalam medan perang.
Beliau pernah berkhidmat sebagai penganalisis dan perunding dalam isu-isu keselamatan negara, termasuk bekerjasama dengan institusi seperti Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat.
Beliau dikenali menerusi pandangannya mengenai evolusi teknologi ketenteraan, terutamanya berkaitan sistem tanpa pemandu dan kesannya terhadap kaedah peperangan tradisional.
Konflik Russia-Ukraine mendedahkan cabaran-cabaran dihadapi oleh kereta-kereta kebal dan kereta kebal yang tidak dialami oleh aset-aset ketenteraan itu dalam konflik dan peperangan sebelum ini, terutamanya melibatkan serangan dron-dron berani mati.

Di medan perang di Ukraine, dron—terutamanya dron kamikaze berkos rendah—telah menjadi faktor utama dalam operasi ketenteraan.
Dron-dron berani mati bersaiz kecil yang mudah dikawal serta murah ini mampu melancarkan serangan tepat terhadap kelengkapan berat, malah sering kali berjaya mengatasi sistem pertahanan kereta kebal yang dibina untuk menangkis ancaman konvensional seperti artileri atau peluru berpandu anti-kereta kebal.
Kenderaan perisai seperti kereta kebal, yang pernah menjadi lambang kuasa dan ketahanan tentera darat sejak Perang Dunia Pertama, kini semakin terdedah kepada ancaman asimetrik daripada dron-dron bersaiz kecil tetapi mampu memusnahkan aset bernilai jutaan dolar.
Dron kamikaze, terutamanya model berkos rendah dan ringan yang digerakkan secara autonomi atau dikawal jauh, telah menjadi senjata pilihan dalam konflik Ukraine-Rusia kerana kemampuannya menyerang dari sudut yang tidak dijangka—termasuk terhadap bahagian atas kereta kebal yang lazimnya merupakan titik lemah sistem perisai kereta kebal.
Dron-dron kamikaze kecil ini tidak hanya menjimatkan kos berbanding peluru berpandu anti-kereta kebal, malah jauh lebih sukar dikesan dan dicegah oleh sistem pertahanan tradisional.
Laporan daripada medan pertempuran menunjukkan bahawa kehadiran dron-dron kamikaze telah memaksa kereta kebal dan kenderaan perisai berat lain untuk mengubah corak pergerakan mereka.
Konflik Russia-Ukraine telah memperlihatkan revolusi sebenar dalam penggunaan dron.

Dron FPV (First Person View) yang dikendalikan tentera Russia-Ukraine berkemampuan menjejaki dan menyerang aset-aset ketenteraan kedua-dua pihak dengan tahap ketepatan yang amat tinggi walaupun dalam persekitaran kompleks, sekaligus memusnahkan bukan sahaja kereta kebal, tetapi juga sistem artileri, depoh peluru dan pusat komunikasi.
Dalam serangan besar-besaran oleh Ukraine ke atas beberapa pangkalan udara Russia baru-baru ini yang dinamakan “Operasi Spider Web”, dron-dron kamikaze telah berjaya melumpuhkan sistem radar dan memusnahkan pesawat-pesawat pengebom strategik milik negara itu—suatu pencapaian yang sebelum ini hanya mampu dilakukan oleh pesawat pejuang atau peluru berpandu berteknologi tinggi.
Amerika Syarikat mula mengumumkan penghantaran kereta kebal Abrams ke Ukraine pada Januari 2023, dengan janji awal sebanyak 31.
Pada asalnya, varian M1A2 dirancang dihantar ke Ukraine, tetapi kerana stok terhad dan bagi mempercepat penghantaran, varian yang dipilih untuk dihanar telah ditukar ke M1A1 SA (Situational Awareness) — versi yang telah dinaiktaraf tetapi lebih lama dan lebih mudah diselenggara.
Penghantaran kereta kebal ini bukan sahaja menunjukkan komitmen Washington terhadap Kiev, tetapi turut memperlihatkan peranan M1A1 SA dalam medan tempur moden yang kini semakin kompleks dan berisiko tinggi, khususnya dengan kebangkitan ancaman dron kamikaze.
Kereta kebal M1A1 SA merupakan varian yang dinaiktaraf daripada M1A1 Abrams klasik, dilengkapi dengan sistem kesedaran situasi yang lebih canggih, termasuk kamera pandang malam dan penderia haba generasi baharu, yang membolehkan krew mengenal pasti ancaman dalam pelbagai kondisi cuaca dan cahaya.
Meskipun begitu, varian yang dihantar ke Ukraine tidak dilengkapi dengan perisai uranium termereput (depleted uranium, DU) seperti yang digunakan dalam unit tentera Amerika Syarikat, atas sebab sensitiviti eksport.

Sebagai gantinya, kereta kebal tersebut dipercayai menggunakan lapisan perisai komposit standard dan perlu dipertingkatkan lagi dengan modul perisai reaktif tambahan untuk meningkatkan ketahanan terhadap peluru berpandu anti-kereta kebal dan dron berani mati.
Senjata utamanya ialah meriam smoothbore M256 kaliber 120mm, yang mampu menembak pelbagai jenis peluru termasuk APFSDS (armor-piercing fin-stabilized discarding sabot) dan HEAT (high-explosive anti-tank), menjadikannya aset ofensif yang digeruni.
Ia turut dilengkapi tiga senjata sokongan: satu mesingan berat M2HB .50 kaliber untuk pertahanan udara jarak dekat, serta dua mesingan M240 7.62mm, masing-masing dipasang pada menara dan secara koaksial dengan meriam utama.
Salah satu kelebihan utama varian SA adalah sistem “Situational Awareness” — satu peningkatan sistem penderiaan dan komunikasi medan yang membolehkan koordinasi lebih pantas dengan unit lain serta pemantauan medan tempur secara berterusan dalam masa nyata.
Namun begitu, cabaran utama bagi M1A1 SA di Ukraine adalah ancaman dron kamikaze, yang telah terbukti memusnahkan beberapa unit Abrams dalam operasi sebenar.
Tanpa sistem aktif perlindungan seperti Trophy APS (Active Protection System), kenderaan ini terdedah kepada serangan udara dari sudut atas — sudut yang tidak dilindungi sepenuhnya oleh reka bentuk perisainya.
Oleh itu, tentera Ukraine dilaporkan sedang berusaha menyesuaikan penggunaan Abrams ini dengan konsep operasi baharu, termasuk penggunaan penutup penyamaran, jaringan anti-dron, dan operasi pada waktu malam bagi mengurangkan risiko.

Kereta kebal ini mula tiba di Ukraine pada September 2023, bermula dari barisan pertama kumpulan 31 unit.
Sebelum ini, seorang pegawai kanan tentera Amerika Syarikat mengakui bahawa kereta kebal M1A1 Abrams kebanggaan negara itu tidak bersedia untuk berhadapan dengan realiti peperangan pada konflik antara Russia dan Ukraine.
Menurut Pengarah Kenderaan Kombat Masa Hadapan Tentera Amerika Syarikat Brigadier Jeneral Geoffrey Norman, kereta kebal Abrams terpaksa menimba pengalaman buruk ketika beroperasi di Ukraine.
“Kereta kebal Abrams adalah amat baik (daripada segi pertahanan) apabila berhadapan dengan tembakan langsung daripada kereta kebal lain dan kenderaan armor yang lain.”
“Bagaimanapun kereta kebal Abrams tidak direka untuk bertahan daripada serangan daripada atas atau dipanggil ‘top attack’ sebagaimana yang kita lihat di Ukraine, sama ada daripada peluru berpandu anti-kereta kebal yang menjunam untuk membedil bahagian atasnya atau daripada dron-dron sama ada FPV (First Person View) atau dron berani mati ,” kata beliau.
Secara taktikalnya, kereta kebal Abrams lebih berkesan jika ia bergerak ke hadapan dan melakukan serangan.
“Namun apabila ia berhenti daripada bergerak, kereta kebal Abrams itu terdedah kepada pelbagai ancaman daripada loitering munitions kepada dron-dron berani mati yang amat murah untuk dibina.
Menurut jeneral tentera Amerika Syarikat itu, kenderaan-kenderaan kombat termasuk kereta kebal kini berhadapan masalah besar dengan dron-dron “FPV” (First Person View) serta sistem persenjataan lain seperti peluru berpandu anti-ketreta kebal.
Seorang pakar armor berkata, apa yang kini adalah mana-mana kenderaan kombat yang dikerah ke medan peperangan di Ukraine akan berhadapan dengan serangan daripada dron-dron FPV yang dilancar oleh tentera Ukraine atau Russia.
Dron-dron FPV yang boleh dibina daripada harga semurah US$500 (RM2000) seunit adalah amat mudah untuk dikendalikan iaitu hanya dua orang.
Disebabkan “tidak tahan” dibedil oleh dron-dron Russia, maka Ukraine pada tahun lepas telah mengeluarkan arahan diatas permintaan Washington untuk mengeluarkan kereta-kereta kebal M1A1 SA Abrams itu daripada medan-medan pertempuran.
Dua orang pegawai tentera Amerika Syarikat memberitahu agensi berita The Associated Press bahawa kereta-kereta kebal M1A1 Abrams diderma oleh Amerika Syarikat itu tidak boleh beroperasi di medan peperangan tanpa dikesan dan dibedil dengan kejam oleh dron-dron tentera Russia.
Dron-dron pemantau dan berani mati Russia telah membuatkan usaha Ukraine untuk melindungi kereta kebal Abrams itu menjadi amat sukar.
Disebabkan ancaman berleluasa dron-dron pemantau dan berani mati Russia bermakna “tiada ada kawasan terbuka dan luas di mana kereta kebal Abrams itu boleh bergerak tanpa dikesan,”kata pegawai tentera.
