Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Turkiye Eksport 48 Buah Pesawat Pejuang Generasi Kelima KAAN Kepada Indonesia

Dengan persetujuan itu, Indonesia menjadi negara pertama di Asia Tenggara memiliki pesawat pejuang KAAN yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) sebagai kontraktor utama.

0 736
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Turkiye dan Indonesia telah mencapai persetujuan untuk mengeksport 46 buah pesawat pejuang generasi kelima KAAN dianggarkan bernilai US$10 billion (RM44 billion) kepada negara Asia Tenggara.
Dengan persetujuan itu, Indonesia menjadi negara pertama di Asia Tenggara memiliki pesawat pejuang KAAN yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) sebagai kontraktor utama.
“Di bawah perjanjian yang dimeterai dengan negara sahabat dan saudara kita, Indonesia, sebanyak 48 pesawat pejuang KAAN akan dibina di Türkiye dan dieksport ke Indonesia,” kata Presiden Recep Tayyip Erdoğan.
“Keupayaan tempatan Indonesia juga akan digunakan dalam proses pengeluaran pesawat KAAN,” tulis beliau di platform media sosial X.
Menurut agensi berita nasional Turkiye, Anadolu, kontrak penghantaran 48 buah pesawat pejuang KAAN itu akan dilaksanakan di dalam tempoh 10 tahun.
Persetujuan di antara kedua-dua negara itu dicapai pada pameran pertahanan Indo Defense 2025 yang berlangsung di Jakarta pada ketika ini.
Menurut Presiden Turkiye itu lagi, persetujuan yang dicapai berkenaan eksport 48 buah pesawat pejuang KAAN kepada Indonesia itu menunjukkan kejayaan dan pertumbuhaan industri pertahanan negara Mediterranean itu.
KAAN
“KAAN”
“Perjanjian ini membuktikan kemajuan dan pencapaian industri pertahanan tempatan dan nasional kita,” kata Erdoğan.
Beliau turut memuji Presiden Indonesia, Prabowo Subianto atas peranannya dalam memastikan kejayaan perjanjian tersebut.
Selain KAAN, Indonesia juga telah membelanjakan kira‑kira US$ 8.1 bilion (lebih kurang RM 36 bilion) bagi pembelian 42 pesawat pejuang Rafale.
Presiden Turkiye itu melawat Indonesia Februari lalu manakala Prabowo berkunjung ke Ankara pada April.
Ketika berada di Ankara April lalu,  Indonesia telah secara terbuka menyatakan hasratnya untuk menyertai program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima Turkiye, KAAN.
Presiden Indonesia menyatakan bahawa negara itu berminat untuk menyertai program pembangunan pesawat pejuang KAAN dan juga program pembangunan kapal selam kebangsaan Turkiye.
“Indonesia mahu menyertai pembangunan pesawat pejuang generasi kelima KAAN serta projek pembinaan kapal selam bersama industri pertahanan Turkiye,” kata Presiden Indonesia sebagaimana dilaporkan oleh agensi berita ANTARA, tanpa menghuraikan lanjut.
Sementara itu, TAI mengumumkan bahawa pihaknya telah menandatangani perjanjian dengan pihak berkuasa Indonesia bagi tujuan pengeluaran dan eksport pesawat KAAN.
KAAN
“KAAN” 
“Dalam perjalanan industri penerbangan kita yang telah melebihi satu abad, kini kami berbangga dapat berkongsi pesawat pejuang generasi kelima buatan sendiri dengan negara-negara sahabat,” tulis Presiden Lembaga Industri Pertahanan Türkiye (SSB), Haluk Görgün di platform X.
Menurut Görgün, perjanjian diketuai oleh TAI sebagai kontraktor utama dan dilaksanakan bersama syarikat industri pertahanan Indonesia itu “akan menjadi antara contoh paling ketara bagi kerjasama pengeluaran bersama, perkongsian teknologi serta kerjasama strategik.”
Turkiye, sebuah negara anggota NATO melancarkan projek pembangunan pesawat pejuang generasi kelima KAAN pada 2016.
KAAN sebelum ini hanya dikenali sebagai TF-X atau Milli Muharip Ucak (National Combat Aircraft -MMU).
Program berprofil tinggi KAAN yang sedang dibangunkan oleh TAI dilihat sebagai tindak balas Turkiye terhadap penyingkirannya daripada program pesawat pejuang F-35 Amerika Syarikat, susulan keputusan Ankara membeli sistem pertahanan udara S-400 Triumf buatan Russia.
Turkiye sepatutnya memperolehi 100 buah pesawat pejuang F-35, tetapi selepas memutuskan untuk membeli sistem pertahanan udara jarak jauh S-400 Triumf daripada Russia,Ankara telah dilarang daripada membeli F-35.
Disebabkan larangan membeli F-35, Turkiye telah memulakan program pembangunan pesawat pejuang KAAN.
KAAN
“KAAN”
Pesawat pejuang generasi kelima Turkiye itu, KAAN telah berjaya menjalani penerbangan sulungnya pada Februari 2024, apabila ia mencapai ketinggian 8,000 kaki dan kelajuan 230 knot.
Prototaip kedua dan ketiga dijangka akan mula menjalani ujian penerbangan masing-masing menjelang akhir tahun ini dan awal tahun hadapan.
Hampir 100 peratus pesawat pejuang generasi kelima Turkiye itu dibangunkan oleh industri pertahanan negara itu sendiri, kecuali beberapa bahagian pesawat seperti kerusi injal (ejection seat), enjin dan joystick (controller). 
Menjelang tahun 2029, TAI dijangka mengeluarkan dua buah pesawat pejuang KAAN setiap bulan, menjana perolehan kira-kira US$2.4 bilion (RM9.6 bilion) setiap tahun.
Pesawat pejuang generasi kelima KAAN itu bakal menggantikan lebih daripada 200 buah pesawat pejuang F-16 milik Tentera Udara Turkiye.
TAI dijangka mula menyerahkan 20 buah pesawat pejuang KAAN Block 10 kepada Tentera Udara Turkiye pada tahun 2028.
Tentera Udara Turkiye dijangka akan menerima lebih daripada 100 buah pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” sebaik sahaja pesawat pejuang yang dibangunkan oleh TAI itu dihasilkan secara besar-besaran (mass production).
Pesawat pejuang generasi kelima Turkiye itu dijangka akan mula berkhidmat dengan Tentera Udara Turkiye pada 2028, dengan negara itu dijangka mengoperasi lebih 100 buah pesawat pejuang KAAN menjelang 2032.
 Turkiye juga dilaporkan sedang merancang untuk membangunkan varian pesawat pejuang generasi kelima miliknya, KAAN untuk beroperasi daripada atas kapal pengangkut pesawat kebangsaanya MUGEM (Milli Uçak Gemisi), yang sedang dibinya pada ketika ini.
Bercakap kepada media negara itu berkenaan perkembangan terkini, pengarah Naval Design Project Office (DPO) Turkiye Albay Ucar berkata, projek pembinaan kapal pengangkut pesawat itu akan meletakkan Turkiye di antara lapan negara di dunia yang memiliki kapal pengangkut pesawat.
KAAN
“KAAN”
Kapal pengangkut pesawat kebangsaan Turkiye yang sedang dibina itu direkabentuk supaya dapat beroperasi dengan platform atau aset udara keluaran tempatan.
Katanya, kajian sedang dilakukan untuk membangunkan varian pesawat pejuang KAAN yang akan beroperasi dari dek penerbangan kapal pengangkut pesawat yang sedang dibinanya pada ketika ini.
“Jika varian (kapal pengangkut pesawat) KAAN dibangunkan, kami sedang berkoordinasi dengan Turkish Aerospace Industries (TAI) bagi memastikan keserasian untuk operasi berlepas dan pendaratan di kapal pengangkut pesawat,” kata Ucar.
Pada Mei tahun lepas,  Turkiye secara terbuka menawarkan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” yang sedang dibangunkannya kepada Malaysia, bagi membantu negara Asia Tenggara itu meningkatkan pertahanan udaranya.
Dalam temuramah bertulis dengan agensi berita nasional Malaysia, BERNAMA sempena DSA 2024,  Presiden Agensi Industri Pertahanan Turkiye (SSB) Prof Haluk Gorgun berkata, Malaysia boleh mendapat akses kepada teknologi terkini dan kepakaran dalam bidang pertahanan dengan bergabung dengan Turkiye.
Gabungan di antara Malaysia dan Turkiye itu katanya, akan mempercepatkan keupayaan pertahanannya Malaysia dan menggalakkan pertumbuhan industri pertahanan tempatan.
“Kami terbuka untuk bekerjasama dengan Malaysia, sebuah negara sahabat dan bersaudara dalam projek pembangunan, termasuk projek ‘KAAN’ yang telah dimulakan oleh Turkiye. Kami juga terbuka untuk berkongsi pengalaman yang kami perolehi dari pesawat latihan asas generasi baru ‘HURKUS’ dan pesawat pejuang ringan ‘HURJET’ dengan Malaysia.”
— DEFENCE SECURITY ASIA
 
Leave A Reply

Your email address will not be published.