(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam bukunya “My Story: Justice in the Wilderness”, bekas peguam negara Tommy Thomas mengatakan tiada bukti yang mengaitkan waris Sulu yang menerima bayaran tahunan daripada Malaysia dengan kumpulan bersenjata yang menceroboh Lahad Datu pada 2013.
“Walaupun tidak kelihatan sebarang hubungan di antara waris Sulu yang menerima bayaran tahunan daripada Malaysia dibawah Perjanjian 1878 dengan kumpulan bersenjata yang menceroboh Lahad Datu (2013), kerajaan Malaysia tidak lagi membuat bayaran sejak 2013.”
Katanya lagi, “Tiada asas perundangan bagi Malaysia (untuk) tidak membuat bayaran tahunan sejak 2013. Ia menyebabkan Malaysia melanggar Perjanjian 1878.”
Pada April tahun ini semasa webinar yang dianjurkan bersama oleh Kuala Lumpur Bar Committee dan Sabah Law Society bertajuk “The Philippines/Sulu claim to Sabah”, Thomas sekali lagi mengulangi kenyataan beliau bahawa tiada bukti untuk mengaitkan penerima bayaran tahunan daripada kerajaan Malaysia itu dengan pencerobohan Lahad Datu pada 2013.
Pada Februari lepas, mahkamah timbang-tara di Perancis telah memerintahkan supaya kerajaan Malaysia membayar sekurang-kurangnya AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris Kesultanan Sulu.
Ia adalah akibat pelanggaran perjanjian 1878 yang ditandatangani oleh Sultan Jamal Al Alam, Baron de Overbeck dan Alfred Dent milik syarikat British Utara Borneo.
Kerajaan Malaysia dilaporkan telah berhenti membayar wang pemisahan tahunan RM5,300 kepada waris sultan Sulu sejak 2013 berikutan pencerobohan bersenjata di Lahad Datu.
Baru-baru ini, dua peguam Sabah berkata bekas peguam negara, Tommy Thomas meletakkan negara pada kedudukan sangat sukar susulan pengakuan bahawa negara berhutang kepada waris Kesultanan Sulu, dalam suratnya, pada 2019.
Presiden Persatuan Undang-Undang Sabah Roger Chin, berkata pengakuan Thomas itu menjadikan Malaysia tersepit dalam usaha mempertahankan diri daripada tuntutan Sulu.
“Itu adalah pengakuan (berhutang wang)…pastinya menjejaskan (kepada Malaysia),” katanya menurut akhbar The Star.
Katanya, dalam undang-undang, pengakuan berhutang wang seperti itu kebiasaannya membawa kesan sangat buruk.
Portal Free Malaysia Today (FMT) pula berkata, dalam surat dihantar kepada peguam waris Sulu, pada 2019, Thomas mengepilkan salinan penghakiman 1939 oleh Mahkamah Tinggi Borneo Utara, dan berkata, Malaysia tidak mempertikai identiti individu dan hak mereka untuk dibayar.
Thomas turut menyatakan kekesalannya pembayaran kepada waris dihentikan, pada 2013, dan menambah Malaysia “kembali bersedia dan sanggup” membayar kepada waris semua tunggakan, bermula 2013 hingga 2019, berjumlah RM48,300.
ADALAH AMAT MENAKJUBKAN bahawa Thomas, yang merupakan Peguam Negara dari pertengahan 2018 hingga awal 2020, tidak mengetahui terdapatnya bukti yang mengaitkan secara langsung di antara sembilan waris Sulu yang terlibat dalam keputusan penghakiman Macaskie 1939 dan serangan serta pencerobohan terhadap Lahad Datuk pada 2013.
Mengapa sebagai seorang pegawai perundangan tertinggi kerajaan pada ketika itu, Thomas tidak mengetahui kaitan di antara waris Sulu dengan mereka yang melakukan serangan terhadap Lahad Datu pada 2013 yang mengorbankan puluhan nyawa.
Sememangnya adalah amat menakjubkan bahawa seorang Peguam Negara tidak mengetahui fakta yang amat penting itu.
Dalam serangan dan pencerobohan anggota bersenjata Sulu selama sebulan terhadap Lahad Datu pada 2013, enam orang awam, 10 anggota pasukan keselamatan Malaysia dan kira-kira 56 penceroboh Sulu itu terbunuh.
Serangan berdarah itu didalangi oleh Jamalul Kiram III, Sultan Sulu yang memberi taklimat berita hampir setiap hari dari kediamannya semasa konflik 42 hari itu. (ya, media-media Filipina dan antarabangsa memberikan liputan setiap hari terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Jamalul Kiram, anaknya Jaycel Kiram, Azzimudie atau jurucakapnya, Abraham Idjirani)
Adiknya, Raja Muda Azzimudie Kiram pula adalah inividu yang mengetuai pencerobohan ke Kampung Tanduo di Lahad Datu.
Mahkamah Tinggi di Kota Kinabalu pula telah menjatuhkan hukuman mati kepada anak saudara mereka Datu Amir Bahar Hushin Kiram (anak kepada Sultan Sulu Esmail Kiram, abang kepada Jamalul dan Azzimudie) kerana melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong berhubung dengan pencerobohan Lahad Datu.
Jamalul, Azzimudie dan Esmail adalah putera Sultan Punjungan Kiram, salah seorang daripada sembilan penuntut dalam penghakiman Macaskie 1939.
Punjungan adalah salah seorang cucu Sultan Jamalul Al Alam, yang menandatangani perjanjian dengan von Overbeck dan Dent pada tahun 1878.
Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store:
Keturunan Punjungan adalah lapan penuntut dalam kes timbang tara Perancis 2022. Penuntut yang mempunyai susur galur keturunan paling jelas ialah Dayang Dayang Sheramar T. Kiram, anak kepada Jamalul Kiram III, yang mendalangi pencerobohan Lahad Datu.
Bagaimana Peguam Negara pada ketika itu, Tommy ‘tidak tahu’ tentang kaitan di antara waris Sulu dengan kumpulan bersenjata yang menceroboh Lahad Datu serta menyerang anggota pasukan keselamatan negara sehingga menyebabkan 10 perwira negara gugur.
AMAT MENAKJUBKAN!!!!! — DSA