TLDM Kerah Kapal 9,000 Tan “Shadow” Kapal China Ceroboh Perairan ZEE Negara

“China menggunakan kapal penyelidikan untuk mengukuhkan dakwaan kedaulatannya terhadap perairan (ZEE Malaysia) itu, sebagaimana yang dilakukannya di perairan ZEE Vietnam pada bulan lepas,” kata penyelidik, Raymond Powell menerusi ciapannya di @GordionKnotRay.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah mengerahkan kapal auxiliary miliknya, KA Bunga Mas 5 seberat 9,000 tan untuk membayangi (shadow) dan memantau aktiviti kapal penyelidik China, Haiyang Dizhi 8 yang “menceroboh” perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia di luar pantai Sarawak.

Ketika menceroboh perairan ZEE Malaysia, kapal penyelidik China itu “dikawal” oleh sebuah kapal pengawal pantai negara itu, CCG 5202 dan tiga buah kapal militia maritim negara itu.

“China menggunakan kapal penyelidikan untuk mengukuhkan dakwaan kedaulatannya terhadap perairan (ZEE Malaysia) itu, sebagaimana yang dilakukannya di perairan ZEE Vietnam pada bulan lepas,” kata Raymond Powell menerusi ciapannya di @GordionKnotRay.

Kapal KA Bunga Mas 5 milik TLDM diiringi sebuah lagi kapal TLDM. (gambar fail)

 

 

Ray, bekas kolonel Tentera Udara Amerika Syarikat adalah ketua Projek Myoushu di Gordian Knot Center for National Security Innovation, Universiti Stanford.

Beberapa hari lepas, kapal penyelidik China itu dilihat menerusi imej satelit menghampiri drilling rig “Hakuryu 5” yang sedang beroperasi di dalam kawasan perairan ZEE Malaysia itu.

Kerahan kapal BM5 itu dilihat sebagai usaha TLDM untuk menyeimbangi respons TLDM terhadap pencerobohan kapal-kapal China dengan kapal yang bersesuaian daripada segi saiznya dan beratnya.

Sebelum kehadiran kapal auxiliari BM5 itu di perairan ZEE milik negara, tugasan memantau kapal penyelidik China dan kapal-kapal negara itu yang lain dipikul oleh beberapa kapal peronda sama ada miliki TLDM atau Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Antaranya termasuklah kapal peronda TLDM seperti KD Keris yang hanya seberat 700 tan dan panjangnya 69 meter yang baru-baru ditugas untuk membayangi kapal pengawal pantai China CCG 5402 yang beratnya mencecah 4,000 tan dan panjang hampir 100 meter.

Kapal penyelidik China, Haiyang Dizhi 8

 

Pada Februari lalu, tugasan membayangi kapal pengawal pantai China CCG 5303 sepanjang 139 meter dan beratnya lebih 4,000 tan itu diberikan kepada kapal peronda APMM iaitu KM Tabah yang hanya berat 230 tan manakala panjangnya hanya 39 meter.

Mengerah sebuah kapal “kecil”,  yang hanya seberat 230 tan dan panjang 39 meter untuk bertugas di kawasan perairan jauh daripada pesisir pantai adalah tindakan yang berisiko.

Kapal penyelidik China, Haiyang Dizhi 8 yang pernah mencetus insiden di perairan ZEE Malaysia tiga tahun lepas, dilaporkan telah kembali ke perairan ZEE Malaysia beberapa hari lepas, dipercayai untuk melakukan kerja-kerja kajian dasar laut.

Kapal penyelidik Haiyang Dizhi 8 itu dipercayai mensasarkan kawasan-kawasan perairan ZEE Malaysia yang kaya dengan sumber minyak dan gas serta menempatkan aktiviti cari gali minyak dan gas membabitkan Petronas dan rakan-rakan perniagaannya.

Tiga tahun lepas, kapal penyelidik China itu dikesan beroperasi di lokasi perairan berhampiran dengan aktiviti kapal ultra drillship, West Capella yang dikontrak oleh Petronas untuk menjalankan kerja-kerja penggerudian.

Kapal APMM “shadow” sebuah kapal pengawal pantai China di luar pantai Sarawak. (gambar fail)

 

Kehadiran kapal Haiyang Dizhi 8 di dalam perairan ZEE Malaysia pada April 2020 itu juga telah dikawal ketat oleh beberapa buah kapal pengawal pantai serta maritim militia China, sama seperti apa yang sedang berlaku pada ketika ini.

Aktiviti dilakukan oleh kapal penyelidik China itu di kawasan perairan ZEE Malaysia tiga tahun lepas itu bukan sahaja menarik perhatian kapal-kapal daripada TLDM dan penguatkuasa Malaysia yang lain, tetapi ia juga telah menarik respons daripada tentera Amerika Syarikat.

Pada April 2000 itu, tiga buah kapal perang Amerika Syarikat iaitu USS America, USS Bunker Hill dan USS Barry serta sebuah kapal perang Australia, HMAS Parramatta telah menghampiri West Capella yang berhadapan dengan “gangguan” daripada kapal-kapal China itu.

Beberapa hari selepas itu, kapal Littoral Combat Ship (LCS) Amerika Syarikat USS Gabrielle Gifords juga dikesan menghampiri perairan di mana kapal penyelidik China Haiyang Dizhi 8 sedang beroperasi itu. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Bunga Mas 5Ekonomi EkslusiffeaturedPerairanTLDM
Comments (0)
Add Comment