Tender Perolehan Pesawat FLIT/LCA Berjalan Lancar, Peringkat Akhir

Setakat ini, sukar untuk menentukan siapa yang bakal memenangi tender perolehan itu yang dianggarkan bernilai di antara RM4 bilion hingga RM8 bilion, walaupun spekulasi adalah di antara pesawat FA-50 keluaran Korea Aerospace Industries (KAI) dengan M-346FA keluaran syarikat Leonardo.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Nampaknya proses tender terbuka antarabangsa Kementerian Pertahanan untuk mendapatkan 18 hingga 36 pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA)  berjalan dengan lancar dan berkemungkinan sedang diperingkat akhir.

Itu telah disahkan sendiri oleh Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein.

“Pada masa ini, pihak Kementerian telah melengkapkan semua peringkat penilaian, dan laporan sedang disediakan untuk diperakukan oleh Lembaga Perolehan Kementerian dan seterusnya dimuktamadkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) bagi memuktamadkan pembida yang berjaya,” katanya di dalam Dewan Rakyat semalam.

Menurutnya, Kementerian Pertahanan telah melengkapkan peringkat penilaian dan laporan sedang disediakan untuk diperakukan oleh Lembaga Perolehan di kementerian.

Selepas itu barulah Kementerian Kewangan (sebagai dompet negara) akan memuktamadkan pembida yang berjaya.

Setakat ini, sukar untuk menentukan siapa yang bakal memenangi tender perolehan itu yang dianggarkan bernilai di antara RM4 bilion hingga RM8 bilion, walaupun spekulasi adalah di antara pesawat FA-50 keluaran Korea Aerospace Industries (KAI) dengan M-346FA keluaran syarikat Leonardo.

Itu adalah berdasarkan kepada spesifikasi dan keupayaan pesawat, tetapi sebenarnya banyak lagi pertimbangan yang diambilkira oleh kerajaan sebelum keputusan akhir tentang siapa pemenang tender terbuka antarabangsa itu diumumkan.

Sebab itulah, sukar hendak diramal kerana pesaing-pesaing di dalam tender terbuka itu semuanya adalah hebat-hebat belaka kerana mereka juga menawarkan sesuatu di atas meja: daripada pesawat Tejas keluaran Hindustan Aeronautics Ltd (HAL), pesawat Hurjet oleh Turkish Aerospace Industries, Gripen oleh Saab, L-15 daripada syarikat China dan MiG-35 daripada Russia.

Pesawat M-346 Fighter Attack oleh Leonardo

 

Dengan sekatan ekonomi terhadap Russia atas tindakannya menceroboh Ukraine, saingan pesawat MiG-35 nampaknya sudah berakhir manakala pencerobohan pesawat-pesawat pengangkut China di perairan milik negara di Laut China Selatan Mei tahun lepas juga dijangka menjadi pertimbangan oleh kerajaan. 

Menteri Pertahanan itu juga berkata, perolehan 18-36 pesawat FLIT/LCA untuk Tentera Udara Diraja Malaysia itu adalah untuk menggantikan pesawat-pesawat MiG-29N/UB, Hawk 100 dan Hawk 200 serta Aermacchi MB-339.

Gripen E

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

“Penggantiannya terbahagi kepada 2 Fasa. Bagi Fasa 1, ia melibatkan perolehan awal 18 buah pesawat FLIT-LCA (penggantian MiG-29N/UB). Manakala bagi Fasa 2 pula, ia melibatkan perolehan 18 buah lagi pesawat FLIT-LCA (penggantian Hawk dan Aermacchi),” kata beliau

Menurut beliau, bagi memastikan tiada lagi isu ketelusan dan salah laku dalam proses perolehan, perolehan FLIT-LCA secara Tender Terbuka Antarabangsa telah diiklankan pada 22 Jun 2021 dan telah ditutup pada 6 Oktober 2021. — DSA

featuredFLITKementerianLCATender