Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pencerobohan Pesawat China Beri Momentum Pada M’sia Untuk Modenkan Tentera Udaranya

Pencerobohan pesawat-pesawat tentera China itu telah menghangatkan lagi isu pertikaian maritim  di antara kedua-dua negara.

0 2,656

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pencerobohan pesawat-pesawat tentera China terhadap Zon Maritim Malaysia (ZMM) pada 31 Mei lepas telah memberikan momentum kepada Malaysia untuk memodenkan tentera udaranya, menurut media asing.

Pencerobohan pesawat-pesawat tentera China itu telah menghangatkan lagi isu pertikaian maritim  di antara kedua-dua negara.

Beberapa hari selepas insiden pada 31 Mei itu, sebuah kapal pengawal pantai China dikesan berada hampir dengan Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) yang diperakui memiliki rizab minyak dan gas yang besar.

Media asing itu, “Voice of America” memetik kenyataan penganalisis yang berkata bahawa insiden penerbangan 16 pesawat pengangkut tentera China berhampiran ruang udara milik negara telah mengingatkan Malaysia tentang keperluan untuk memiliki pesawat-pesawat kombat yang moden.

“Saya merasakan bahawa secara amnya kelengkapan yang dimiliki oleh tentera udara kita adalah ketinggalan,” kata felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun sebagaimana dipetik oleh media terbabit.

TUDM
Salah sebuah pesawat China yang dipintas oleh TUDM. (kredit TUDM)

 

Pada 22 Jun lepas, Kementerian Pertahanan telah membuka tender untuk mendapatkan 18 buah pesawat jenis “Fighter Lead-In Trainer-Light Combat Aircraft” (FLIT-LCA), kira-kira kira minggu selepas insiden pencerobohan pesawat-pesawat China.

Malaysia dijangka membeli 18 buah pesawat FLIT-LCA itu, menjadikan jumlah keseluruhan pesawat jenis yang bakal diperolehi oleh negara mencecah 36 buah.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis berkata, nampaknya cabaran konvensional terbesar yang dihadapi oleh pihak tentera Malaysia ketika ini adalah peningkatan “kehadiran” tentera China di Laut China Selatan.

“Nampaknya cabaran konvensional paling besar yang dihadapi oleh tentera Malaysia adalah peningkatan kehadiran China di dalam bentuk kapal-kapal tentera laut dan pengawal pantainya serta ‘pulau-pulau’ buatan manusia China di Laut China Selatan,” felo kanan di Institut Kajian Polisi Lautan di Tokyo  Fabrizio Bozzato.

China mendakwa kira-kira 90 peratus daripada Laut China Selatan seluas 3.5 juta kilometer persegi adalah miliknya berdasarkan kepada faktor sejarah.

Luconia Shoals
Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals)

 

Dalam kejadian pada 31 Mei itu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengesan “penerbangan mencurigakan” 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China/ People’s Liberation Army- Air Force (PLAAF) memasuki ruang udara ZMM, Kota Kinabalu Flight Information Region (FIR) dan menghampiri ruang udara nasional.

Penerbangan pesawat-pesawat PLAAF tersebut telah dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 pagi.

pesawat-pesawat tentera udara China itu telah dikesan terbang pada ketinggian di antara 23,000 kaki sehingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots melalui Singapore FIR sebelum memasuki ruang udara ZMM, KK FIR.

Ia seterusnya terbang menghala menghampiri 60 batu nautika daripada pesisir pantai Wilayah Sarawak yang dikhuatiri akan mengancam kedaulatan negara.

Pihak TUDM telah meletakkan pesawat Hawk 208 daripada No. 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan di dalam keadaan siap sedia melalui Operasi Curiga TUDM.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...