Stesen MRT Cochrane “Diserang” Pengganas Dalam Eksesais Mantis

Suasana “cemas” Operasi Melawan Keganasan dalam situasi ancaman CBRNe di stesen MRT ditengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur adalah adalah sebahagian daripada senario dalam latihan akhir Eksesais Mantis (Eks Mantis) Siri 8/2022.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Suasana cemas menyelubungi Stesen MRT Cochrane apabila ia telah “diserang” oleh sekumpulan pengganas, mengakibatkan beberapa unit Angkatan Tentera Malaysia termasuk pasukan-pasukan khasnya diaktifkan.

Suasana “cemas” di stesen MRT ditengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur itu merupakan sebahagian daripada senario dalam latihan akhir Eksesais Mantis (Eks Mantis) Siri 8/2022.

Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhammad bin Ab Rahman turut hadir menyaksikan latihan itu.

(Tentera Darat)

 

Kerjasama bilateral antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Angkatan Tentera Kanada (ATK) diperkukuhkan melalui latihan bilateral dengan kolaborasi bersama agensi awam yang turut dijadikan sebagai Latihamal Pelan Tindakan Kecemasan dari pihak Rapid Rail Sdn Bhd.

Latihan ini merupakan latihan kali kedua yang menggunakan konsep yang sama iaitu melaksanakan latihan di stesen MRT.

 Latihan sebelum ini telah dilaksanakan di Stesen MRT Maluri pada tahun 2018 yang lalu.

(Tentera Darat)

 

Latihan akhir Eksesais MANTIS Siri 8/2022 melibatkan pasukan Skuadron Ke-12 Rejimen Askar Jurutera Diraja (12 Skn RAJD) bagi pelaksanaan Chemical Biological Radiological Nuclear and Explosive (CBRNe) bersama Angkatan Tentera Kanada (ATK).

Eksesais bilateral ini turut juga disertai pasukan-pasukan Trup Tentera Darat (TD) iaitu 21 Grup Gerak Khas (21 GGK) dan pasukan perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Konsep eksesais ini adalah menjurus kepada Operasi Melawan Keganasan dalam situasi ancaman CBRNe di Stesen Keretapi bawah tanah dan tempat parkir kenderaan.

(Tentera Darat)

 

Selain itu, eksesais ini turut melibatkan penyertaan dari Canadian Special Operation Force Command (CANSOFCOM), Angkatan Tentera Kanada (ATK).

Latihan akhir ini dilaksanakan bertujuan menguji tahap kesiapsiagaan staf MRT dengan penglibatan pelbagai agensi awam seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan lain-lain agensi dalam menghadapi sebarang insiden atau ancaman serta membantu mencapai Key Performance Indicator (KPI) berkaitan Safety and Security.

(Tentera Darat)
(Tentera Darat)

 

Latihan bagi eksesais sebegini adalah sejajar dengan Tonggak Pertama Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28, iaitu; “Kelangsungan Misi dan Kesiagaan” dengan memberi penumpuan kepada peningkatan tahap kesiagaan, kompetensi dan aset TDM.

Turut sama menyaksikan latihan akhir ini adalah Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMBTD), Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeian bin Jantan; Presiden Group CEO Prasarana Malaysia Berhad, Tuan Mohd Azharuddin bin Mat Sah; Canadian Defence Advisor, Lieutenant Colonel Jason King dan Komander Jurutera Medan Barat (KJMB), Mejar Jeneral Ir Abdul Hamid bin Mohd Isa. — DSA

Maklumat dan Gambar: FB Tentera Darat Malaysia

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Tentera Darat
ATMCochranefeaturedMantis