Soal Perolehan F/A-18 Hornet Kuwait Turut Dibincang Dalam Pertemuan Menteri Pertahanan Dengan Duta Kuwait

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah menerima kunjungan hormat duta Kuwait ke Malaysia, Rashed Mohammed Rashed ALSALEH, dengan antara topik perbincangan meliputi soal hasrat negara untuk memperolehi pesawat-pesawat pejuang F/A-18 Hornet milik Tentera Udara Kuwait.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah menerima kunjungan hormat duta Kuwait ke Malaysia, Rashed Mohammed Rashed ALSALEH, dengan antara topik perbincangan meliputi soal hasrat negara untuk memperolehi pesawat-pesawat pejuang F/A-18 Hornet milik Tentera Udara Kuwait.

Menurut kenyataan oleh Menteri Pertahanan menerusi akaun FB miliknya hari ini, Malaysia berbesar hati melihat kemajuan positif dalam hubungan bilateral dan pertahanan antara Malaysia dan Kuwait.

Kerjasama pertahanan antara kedua-dua buah negara akan terus diperkukuh melalui Memorandum Persefahaman yang akan ditandatangani kelak.

“Antara perkara yang dibincangkan adalah berkenaan hasrat negara untuk memperoleh jet-jet pejuang F/A-18 Legacy Hornet milik Tentera Udara Kuwait (KAF) setelah KAF menerima Super Hornet baharunya.”

“Pertemuan tersebut turut membincangkan soal “Military-to-Military Cooperation”, kerjasama industri pertahanan dan konflik di Gaza,” kata beliau di dalam posting terbaru FB itu.

Pesawat F/A-18C Hornet Tentera Udara Kuwait

 

Mohamed Khaled berkata Malaysia berharap agar hubungan pertahanan antara Malaysia dan Kuwait dapat terus dipertingkatkan, seterusnya memberikan manfaat kepada kedua-duanya.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut adalah Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan Tuan Mohd Yani Daud, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan.

Pada Jun lepas pasukan teknikal TUDM telah mengadakan lawatan ke Kuwait bagi mengadakan rundingan berkaitan perolehan pesawat tempur itu.

Panglima TUDM Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dilaporkan berkata pesawat-pesawat F/A-18D (Hornet) milik Tentera Udara Kuwait masih dalam keadaan baik dan mempunyai waktu jam operasi yang rendah berbanding pesawat Hornet TUDM sedia ada.

“TUDM masih menaruh harapan untuk memiliki pesawat pejuang F/A-18D Hornet walaupun negara Arab itu terpaksa menyelenggara dan menaik taraf pesawat Hornet sedia ada disebabkan penghantaran pesawat pejuang F/A-18E/F (Super Hornet) dibeli oleh Kuwait berdepan kelewatan.

“Kuwait mempunyai 39 pesawat itu (F/A-18D Hornet) terdiri daripada pesawat satu dan dua tempat duduk sahaja. Jadi pada lawatan itu nanti pihak TUDM dan kerajaan Malaysia sendiri akan menentukan jumlah pesawat yang diperlukan,” katanya kepada media tempatan Mei lalu.

Pesawat F/A-18C Hornet Tentera Udara Kuwait

 

Beberapa hari lalu, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata Kementerian Pertahanan akan hanya membuat keputusan tentang perolehan pesawat-pesawat pejuang terpakai F/A-18 C/D Hornet milik Tentera Udara Kuwait selepas  memperoleh laporan lengkap daripada pasukan teknikal Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). 

Pada Mac tahun lepas,  Kementerian Pertahanan menyatakan bahawa ia masih menaruh harapan untuk memiliki pesawat-pesawat pejuang terpakai F/A-18C/D terpakai milik Kuwait, tetapi hasratnya terbantut akibat ketiadaan komitmen daripada kerajaan negara Timur Tengah itu. 

Menteri Pertahanan pada ketika itu,  Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, kementeriannya serta Menteri Pertahanan terdahulu telah menulis surat sebanyak tiga kali kepada kerajaan Kuwait menyatakan hasrat negara untuk memperolehi pesawat-pesawat pejuang terpakai F/A-18C/D milik negara Arab itu.

Mohamad Hasan yang lebih dikenali dengan panggilan “Tok Mat” berkata, walaupun pesawat-pesawat F/A-18C/D milik Kuwait itu adalah terpakai tetapi ia masih boleh digunakan kerana “flying hours” (jam penerbangannya) masih rendah dan telah dinaiktaraf.

Malaysia merancang untuk membeli pesawat-pesawat F/A-18 C/D Hornet Tentera Udara Kuwait sebagai satu langkah “stop-gap measures” (langkah sementara) sebelum Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilengkapi dengan membeli pesawat (MRCA yang baru.

Pesawat F/A-18C/D Tentera Udara Kuwait

 

Tentera Udara Kuwait memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan pesawat-pesawat F/A-18 C/D miliknya selepas ia memperolehi pesawat-pesawat F/A-18 E/F Super Hornet serta Eurofighter Typhoon.

Untuk menggantikan pesawat F/A-18C/D miliknya,  Kuwait telah memperolehi sebanyak 28 buah pesawat Super Hornet yang terdiri daripada 22 buah pesawat satu tempat duduk F/A-18E dan enam buah pesawat F/A-18F Super Hornet yang bakal beroperasi daripada Pangkalan Udara Ahmed al-Jaber.

Selain pesawat-pesawat pejuang Super Hornet, Kuwait turut membeli 28 buah  pesawat Eurofighter Typhoon yang dibangunkan oleh BAE Systems yang dianggarkan bernilai US$8.7 bilion. — DSA

featuredHornetKuwaitTUDM
Comments (0)
Add Comment