Radar Jarak Jauh AN/TPS-77 Dijangka Mula Operasi Di Labuan Akhir Tahun Ini

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata,  radar pertahanan udara jarak jauh pilihan itu adalah daripada jenis AN/TPS-77, yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin bagi menggantikan radar sebelum ini daripada jenis Alenia yang sudah berusia.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka akan memulakan operasi radar pertahanan jarak jauh buatan Amerika Syarikat di Labuan pada akhir tahun ini, memberikan negara kemampuan tambahan bagi mengawal ruang udara di Sabah dan Sarawak termasuk Laut China Selatan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata,  radar pertahanan udara jarak jauh yang akan beroperasi di Labuan itu adalah daripada jenis AN/TPS-77, yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin bagi menggantikan radar sebelum ini daripada jenis Alenia yang sudah berusia.

Radar Alenia terbabit dilucut tauliah selepas kemampuannya tidak lagi mencapai Full Mission Capability (FMC) secara optimum.

“Kita akan commission (tauliah) radar pertahanan jarak jauh yang baru di Labuan pada akhir tahun ini. Radar  buatan Itali-Alenia itu digantikan dengan radar AN/TPS-77 daripada Amerika yang akan di-commission (ditauliah) pada akhir tahun ini,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Selain menempatkan radar pertahanan udara di Labuan, TUDM juga memiliki kemudahan radar pertahanan udara di Gunung Ngili, Sarawak yang menggunakan radar daripada jenis GM403 yang dibangunkan oleh syarikat Thales yang berada di dalam keadaan optimum dari segi FMC.

Radar pertahanan udara jarak jauh TPS-77 .

 

Radar Alenia di Labuan yang telah dilucut tauliah itu mempunyai kemampuan mengesan sasaran udara sejauh 250km dan ketinggian 60,000 kaki.

Selain radar-radar pertahanan udara jarak jauh di Gunung Ngili dan Labuan, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) turut mengoperasikan radar-radar awam di beberapa lokasi di Sabah dan Sarawak bagi mengawasi ruang udara negara.

“Kawalan ruang udara kita di Laut China Selatan adalah amat rapi dan tiada kelompongan-kelompongan yang boleh dijadikan isu,” kata Menteri Pertahanan.

Segala maklumat yang diperolehi oleh radar-radar  TUDM dan CAAM akan dikongsi bersama bagi membolehkan mereka mengawasi ruang udara negara diselia dan dikawal dengan lebih berkesan, katanya.

Pada 2021, Defence Security Asia melaporkan bahawa Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat telah memberikan kontrak bernilai US$25.1 juta (RM103 juta) kepada syarikat, Lockheed Martin untuk membekalkan sebuah radar pertahanan udara jarak jauh kepada Malaysia.

Pakej di dalam kontrak kerajaan Amerika Syarikat kepada Lockheed Martin itu termasuklah alat ganti dan latihan kepada anggota-anggota TUDM yang bakal mengendalikannya.

Salah sebuah pesawat China yang dipintas oleh TUDM di Zon Maritim Malaysia.(kredit TUDM)

 

Kenyataan daripada Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat bertarikh Sept 24, 2021 lalu menyatakan bahawa cawangan syarikat Lockheed Martin di Liverpool, New York telah dianugerahkan kontrak bernilai US$25.1 juta untuk “Malaysia Ground Based Radar System.”

Kos untuk membekalkan radar jarak jauh untuk kerajaan Malaysia itu dibiayai menerusi peruntukan “Fiscal 2021 Building Partner Capacity Funds” oleh kerajaan Amerika Syarikat.

 Coverage bagi radar AN/TPS-77  ini adalah sekitar 470km atau 250 Batu Nautika, dan ia adalah sebuah radar bergerak (mobile radar) yang mampu diatur-gerak ke kawasan-kawasan lain sama ada menggunakan pesawat C-130 Hercules, trak atau keretapi.

Pemberian radar kepada Malaysia itu mungkin usaha Amerika Syarikat untuk membantu kita memperkuatkan pengawasan dan pemantauan di Laut China Selatan.

Anggota TUDM ketika menghadiri Kursus Orientasi Operasi Radar (Radar Operations Orientation Course) oleh Western Air Defense Sector, Tentera Udara Amerika Syarikat.

 

Pada 12 Sept 2021, Defence Security Asia turut melaporkan bahawa 12 anggota TUDM berada di Amerika Syarikat untuk menghadiri Kursus Orientasi Operasi Radar (Radar Operations Orientation Course) oleh Western Air Defense Sector, Tentera Udara Amerika Syarikat.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh oleh nationalguard.mil – kursus itu berlangsung daripada 2 hingga 27 Ogos.

“Kursus Orientasi Operasi Radar itu adalah latihan utama yang pertama untuk menyokong program National  Defense Authorization Act Section 333 tajaan Pacific Air Forces (PACAF) dimana TUDM diberikan ‘Long Range Air Domain Awareness Radar’ menerusi peruntukan oleh kerajaan Amerika Syarikat.” — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

AN/TPS-77featuredLabuanLockheed MartinRadarTUDM
Comments (0)
Add Comment