Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Syarikat China “Cuba Nasib” Lagi, Pertaruh FK-3 Untuk Sistem MERAD ATM?

Defence Security Asia diberitahu bahawa syarikat China "mencuba nasib" sekali lagi dalam usaha mereka untuk membekalkan sistem pertahanan udara jarak sederhana (Medium Range Air Defence System –MERAD) kepada ATM, dengan mempertaruhkan sistem FK-3 yang turut digunakan oleh Thailand dan Myanmar.

0 5,811

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Disebabkan hubungan diplomatik diantara Malaysia dan China yang baik, maka syarikat-syarikat pertahanan negara itu juga menaruh minat yang tinggi untuk menembusi pasaran senjata negara ini dan membekalkan sistem persenjataan yang diperlukan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sejak kejayaan membekalkan empat buah kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch I kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), syarikat China terus meneroka peluang di Malaysia untuk membekalkan kapal-kapal LMS Batch II, dron Medium Altitude Long-Endurance (MALE) dan meriam bergerak (SPH).

Kini, Defence Security Asia diberitahu bahawa syarikat China “mencuba nasib” sekali lagi dalam usaha mereka untuk membekalkan sistem pertahanan udara jarak sederhana (Medium Range Air Defence System –MERAD) kepada ATM, dengan mempertaruhkan sistem FK-3.

Tawaran terbaru daripada China ini tidak memeranjatkan kerana kira-kira 10 tahun yang lalu, Beijing turut telah menawarkan sistem pertahanan udara jarak sederhana KS-1A dan LY-80 kepada ATM.

Kini, apabila ATM/TUDM merancang untuk memiliki sekurang-kurangnya satu bateri sistem MERAD dalam tempoh terdekat, syarikat pembuat sistem MERAD daripada China dikatakan telah “kembali” ke Malaysia untuk mempromosi/menawarkan sistem mereka kepada negara ini.

FK3
Tentera Laut Thailand dengan sistem pertahanan udara jarak sederhana, FK-3 buatan China miliknya.

 

Sebuah syarikat China dengan rakan tempatannya dikata menawarkan sistem pertahanan udara jarak sederhana FK-3 yang merupakan varian eksport bagi sistem HQ-22 yang dibangunkan oleh syarikat China Aerospace Science and Industry Corporation Ltd (CASIC).I

Ia adalah sistem pertahanan udara jarak sederhana ke jauh menggunakan panduan semi-active radar homing/radio command guidance, dengan radius operasi peluru berpandunya mencecah sehingga 100km.

Jarak peluru berpandunya itu, bagaimanapun, tidak sejauh 170km sebagaimana dimiliki oleh HQ-22.

Sebuah bateri sistem pertahanan udara FK-3 itu terdiri daripada satu kenderaan pembawa radar dan tiga kenderaan pelancar yang setiap sebuahnya dilengkapi dengan empat buah peluru berpandu.

Setiap sebuah bateri sistem pertahanan udara itu mampu menangani enam sasaran secara serentak.

Untuk Asia Tenggara, Thailand yang sememangnya diketahui mempunyai hubungan ketenteraan yang baik dengan China turut memperolehi sistem pertahanan udara jarak sederhana FK-3 itu.

NASAM
Sistem pertahanan udara jarak sederhana “NASAM” yang dibangunkan oleh Kongsberg dan Raytheon telah dihantar ke Ukraine untuk mempertahankan ruang udara negara itu.

 

Sistem pertahanan udara FK-3 itu dioperasikan oleh Tentera Laut Diraja Thailand (RTN), yang ditauliahkan ke dalam perkhidmatan itu pada tahun lepas.

Bangkok meletakkan sistem pertahanan udara FK-3 di pantai timur negara itu bagi melindungi beberapa kemudahan tenteranya antaranya pangkalan laut Sattahip, pangkalan udara U-Tapao serta pelabuhan laut dalam Laem Chabang.

Selain Thailand, Myanmar, Turkmenistan dan Serbia turut menggunakan sistem yang sama.

Sistem pertahanan udara FK-3 yang dibangunkan oleh China itu sering disamakan oleh penganalisis dengan sistem pertahanan udara Patriot keluaran Amerika Syarikat dan juga S-300 buatan Russia.

Selain, sistem MERAD yang ditawarkan oleh China itu – beberapa sistem lain turut mengintai peluang termasuk “Norwegian Advanced Surface to Air Missile System) atau NASAM yang dibangunkan oleh syarikat Kongsberg Defence and Aerospace daripada Norway.

KM-SAM
Sistem Pertahanan Udara Jarak Sederhana “KM-SAM” sedang beraksi.

 

Sistem pertahanan udara jarak sederhana “NASAM” itu dibangunkan oleh Kongsberg dengan syarikat pertahanan Amerika Syarikat, Raytheon yang membekalkan peluru berpandu AMRAAM (AMRAAM (Advance Medium Range Air-To-Air-Missile)  untuk sistem itu.

Selain firma pertahanan Norway itu, syarikat Korea Selatan LIG Nex1 turut menawarkan sistem MERAD  dibangunkan mereka sendiri iaitu KM-SAM kepada TUDM.

Satu ciri yang menarik mengenai sistem pertahanan udara jarak sederhana KM-SAM  adalah ianya merupakan satu-satunya sistem MERAD yang mempunyai sentuhan DNA teknologi dari kedua-dua Blok Barat dan Rusia.

Sistem KM-SAM yang juga dikenali dengan nama Koreanya, Cheongung merupakan sistem pertahanan udara jarak sederhana Korea Selatan yang dibangunkan oleh Agency for Defense for Defense Development (ADD) dengan bantuan teknikal daripada firma Russia, Almaz-Antey yang terkenal dengan pembangunan sistem pertahanan udara S-300,S-400 dan terkini, S-500. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

 

Comments
Loading...