Indonesia Peroleh 13 Radar Jarak Jauh GM400 Alpha, Perketat Pengawasan Ruang Udara

“Perolehan sebanyak 13 buah radar generasi terbaru menunjukkan keprihatinan negara berkenaan (Indonesia) untuk mengawasi ruang udaranya, yang secara langsung berkaitan dengan keadaan terkini di Indo-Pasifik di mana China sedang mengukuhkan lagi cita-citanya,” kata pegawai kanan Thales.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam usaha untuk memperketatkan lagi pengawasan ruang udaranya daripada sebarang pencerobohan asing, Indonesia telah memesan 13 buah radar jarak jauh daripada syarikat pertahanan Perancis, Thales.

Dalam satu kenyataan bersama di antara Thales dan PT Len Industri, radar Ground Master 400 Alpha (GM400a) akan membolehkan Indonesia mendapat gambaran bersepadu mengenai segala jenis ancaman daripada pesawat pejuang dan peluru berpandu kepada helikopter dan dron.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menjelaskan kos perolehan 13 buah radar jarak jauh, yang akan diserahkan kepada Indonesia secara berperingkat merangkumi tempoh beberapa tahun.

Radar GM400 Alpha

 

Bercakap kepada agensi berita AFP, presiden Thales International Pascale Sourisse berkata, radar jarak jauh GM400a berkemampuan mengesan ancaman sejauh 515km dan mengurus jumlah data yang banyak menerusi aplikasi Artificial Intelligence (AI).

“Perolehan sebanyak 13 buah radar generasi terbaru menunjukkan keprihatinan negara berkenaan (Indonesia) untuk mengawasi ruang udaranya, yang secara langsung berkaitan dengan keadaan terkini di Indo-Pasifik di mana China sedang mengukuhkan lagi cita-citanya,” kata beliau.

Kontrak berkenaan melibatkan pembinaan radar-radar dan sistem komputernya oleh Thales untuk memproses segala maklumat diterimanya, manakala PT Len pula akan bertanggungjawab dalam membina stesen yang akan menempatkan peralatan dan komponen radar berkenaan.

Peningkatan ketegangan geopolitik telah menyebabkan pertumbuhan yang baik dalam pasaran radar.

Menurut Thales, lebih daripada 80 buah radar GM400 dan GM400a telah dijual kepada 19 buah negara setakat ini.

Pada Mei lepas, Defence Security Asia telah melaporkan bahawa Kementerian Pertahanan telah memilih radar GM400a untuk diletakkan di kawasan Bintulu, berkemungkinan untuk mengawasi kawasan ruang udara di Laut China Selatan.

Kontrak perolehan radar jarak jauh GM400a itu telah pun ditandatangani pada LIMA 2023 baru-baru ini.

Bernilai lebih daripada RM200 juta, radar jarak jauh GM400a merupakan anggota terbaru bagi keluarga radar-radar “Ground Master” yang banyak digunakan pengguna sebelum ini termasuk Malaysia.

Menurut maklumat yang dikeluarkan oleh Thales, kemampuan pengesanan oleh radar jarak jauh 3D GM400a itu telah dipertingkatkan sebanyak 10 peratus kepada kira-kira 515km (278 batu nautika), selain ciri-ciri cybersecurity yang telah dipertingkatkan dan algoritma AI (Artificial Intelligence) yang jauh lebih berkeupayaan.

Radar GM400a berkemampuan mengesan sasaran daripada pesawat-pesawat pejuang dan peluru berpandu berkelajuan tinggi, helikopter dan sistem pesawat tanpa pemandu.

Pesawat pejuang J-11 dan pengebom Xian H-6 milik Tentera Udara China ketika melakukan latihan di Laut China Selatan.

 

Salah satu ciri-ciri unik radar jarak jauh GM400a adalah ia mendakwa boleh mengesan dan menjejaki sasaran seperti dron-dron taktikal yang terbang hampir dengan tanah dan pada masa yang sama mengesan sasaran-sasaran pada altitude tinggi seperti pesawat pengebom pada jarak 515km.

Jika benar radar jarak jauh GM400a itu ditempatkan di Bintulu,  maka sudah pasti ia akan akan bergandingan dengan sebuah lagi radar jarak jauh sumbangan Amerika Syarikat yang akan diletakkan di Labuan.

Kedua-dua radar jarak jauh ini akan menjadi “mata dan telinga” bagi negara untuk memantau kedaulatan ruang udara di Laut China Selatan itu sentiasa terpelihara. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

featuredGM400aIndonesiaRadarThales
Comments (0)
Add Comment