Perolehan 18 Pesawat FLIT/LCA Untuk TUDM Masih Berjalan – Sumber

Kerajaan Malaysia dijangka membelanjakan kira-kira RM4 bilion untuk memperolehi 18 buah pesawat FLIT/LCA pada Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) ini, manakala tambahan 18 buah pesawat lagi akan dilakukan pada Rancangan Malaysia seterusnya, sekiranya kepentingan lain tidak mengambilalih kepentingan perolehan pesawat FLIT/LCA itu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Walaupun terdapat kebimbangan bahawa beberapa projek perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kemungkinan terpaksa “dicantas” berikutan masalah ekonomi negara yang meruncing, tetapi pihak Defence Security Asia dimaklumkan bahawa tender perolehan 18 pesawat FLIT/LCA untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tidak terjejas dan masih berjalan dengan lancar.

Sumber memberitahu pihak DSA bahawa pegawai-pegawai penilai TUDM akan mula melakukan Penilaian Fizikal (Physical Evaluation) terhadap pesawat-pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) yang menyertai tender antarabangsa itu dalam jangkamasa terdekat ini.

“Kami sedang menunggu makluman daripada pihak TUDM dan MINDEF tentang bila mereka akan membuat Penilaian Fizikal terhadap pesawat kami,” katanya sambil menambah, bahawa pada ketika ini tiada sebarang kenyataan mengatakan bahawa tender bagi pesawat FLIT/LCA itu ditangguh atau lebih teruk, dibatalkan.

Pada ketika ini, semuanya berjalan lancar dengan kami sedang menunggu langkah seterusnya daripada pihak TUDM dan MINDEF, kata sumber itu.

Beberapa pesawat FLIT/LCA sedang dipertimbang oleh TUDM termasuk FA-50 daripada Korea Aerospace Industries, Tejas daripada Hindustan Aeronautics Ltd, Pakistan Aeronautical Complex/Chengdu Aircraft Industry Group tawarkan pesawat JF-17 “Thunder” dan China National Aero-Technology Import & Export Corp (CATIC) dengan pesawat Hongdu L-15 serta “Hurjet” daripada Turkish Aerospace Industries.

Pesawat FA-50

 

Selain itu syarikat Leonardo juga menawarkan pesawat M-346 (Fighter Attack), Saab Group bagi pesawat Gripen dan MiG-35.

Kerajaan Malaysia dijangka membelanjakan kira-kira RM4 bilion untuk memperolehi 18 buah pesawat FLIT/LCA pada Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) ini, manakala tambahan 18 buah pesawat lagi akan dilakukan pada Rancangan Malaysia seterusnya, sekiranya kepentingan lain tidak mengambilalih kepentingan perolehan pesawat FLIT/LCA itu.

Bayaran bagi perolehan 18-36 buah pesawat FLIT-LCA yang berkemungkinan menjangkau kepada di antara RM8 bilion hingga RM10 bilion termasuk alat ganti dan latihan juruterbang serta krew itu akan berlanjutan sehingga 10 tahun atau merangkumi dua rancangan pembangunan lima tahun.

Pesawat M-346FA keluaran syarikat Leonardo.

“Payment akan secara staggered (berperingkat) mengikut progres perolehan pesawat-pesawat itu, sebagaimana proses pembayaran untuk projek-projek perolehan peralatan pertahanan yang lain yang memakan masa bertahun-tahun lamanya.”

“So daripada segi kesan perolehan itu terhadap kemampuan kewangan negara adalah minimal dan tidak memberi kesan,” kata satu lagi sumber yang tidak mahu mendedahkan identitinya kepada pihak Defence Security Asia.

Pesawat Tejas India

 

Perolehan pesawat-pesawat FLIT/LCA tidak memberikan kesan terhadap pengaliran matawang negara ke luar negara kerana sehingga 60 peratus daripada pembayarannya mesti dilakukan mengunakan komoditi seperti kelapa sawit serta produk-produk sampingannya.

Peraturan 60 peratus pembayaran dalam bentuk komoditi dan produk sampingannya akan meringankan bebanan ditanggung oleh kewangan negara, berbanding sekiranya pembayaran dilakukan secara tunai.

Transfer-of-Technology (ToT) juga sedikit sebanyak akan membantu mengurangkan kos keseluruhan perolehan pesawat FLIT/LCA, selain melonjakkan lagi kemampuan teknologi tinggi tempatan terutamanya dalam bidang aeroangkasa.

Pesawat JF-17 “Thunder”

Perolehan di antara 18 hingga 36 buah pesawat FLIT/LCA itu cukup untuk menjadikan tiga skuadron bagi menggantikan pesawat-pesawat FLIT/LCA TUDM  sedia ada iaitu Hawk 100, Hawk 200 dan Aermacchi MB-339CM.

Walaupun pesawat-pesawat Hawk 100 dan Hawk 200 yang dibangunkan oleh syarikat aeroangkasa BAE Systems masih lagi beroperasi, bagaimanapun bagi pesawat Aermacchi MB-339CM milik TUDM telah pun ditamatkan perkhidmatannya “prematurely” disebabkan masalah teknikal.

Beberapa syarikat pembuat pesawat yang terlibat dalam tender FLIT/LCA TUDM itu menjangkakan kerajaan akan membuat keputusan pemenang tender itu pada suku pertama tahun ini, dengan penghantaran pesawat-pesawat itu mesti diselesaikan dalam tempoh tiga tahun (36 bulan) selepas penandatanganan kontrak perolehan.

Pesawat L-15 ketika pameran Dubai Airshow 2021 baru-baru ini.

 

 

DEFENCE SECURITY ASIA

 

 

featuredFLIT-LCAMINDEFPesawatTenderTUDM
Comments (0)
Add Comment