(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kawasan-kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) milik negara di luar pantai Sarawak seperti di sekitar Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) dan Beting Raja Jarom (Luconia Breaker) yang kaya dengan sumber minyak dan gas akan dipertahankan “at any cost” (apa cara sekalipun), kata Menteri Pertahanan.
Bercakap ketika menjawab soalan daripada Datuk Dr Dominic Lau di Dewan Negara hari ini, beliau berkata, kawasan-kawasan perairan negara seperti di kedua-dua beting itu menyimpan khazanah minyak dan gas yang amat bernilai.
Beliau juga berkata kawasan perairan ZEE negara di luar pantai Sarawak itu juga menempatkan Lapangan Gas Kasawari di Blok SK316 yang sedang diusahakan oleh syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS.
“Kawasan (Lapangan Gas) Kasawari dan Beting Raja Jarom berada di dalam kawasan ZEE kita yang telah termaktub dalam United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS).”
“Mengambil kira kawasan itu seperti (Lapangan Gas) Kasawari dan Beting Patinggi Ali itu adalah kawasan yang memberikan pendapatan kepada negara hampir 25 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, dimana di situlah terletaknya telaga minyak kita, di situlah telaga gas kita, maka ia perlu dipertahankan ‘at any cost’,” kata Mohamad Hasan.
Pencerobohan kapal-kapal asing di kawasan ZEE negara di situ katanya adalah suatu isu yang amat sensitif dan perlu diurus dengan cara yang terbaik kerana “kita tidak mahu ada insiden-insiden yang kita tidak mahu terjadi.”
Defence Security Asia telah beberapa kali menulis artikel tentang Lapangan Gas Kasawari dan kepentingannya kepada ekonomi negara.
Ditemui pada Novermber 2011, Lapangan Gas Kasawari itu dianggar menyimpan sebanyak tiga trillion kaki padu (Trillion Cubic Feet –TCF) sumber gas asli yang boleh diekstrak, diproses dan dikomersial.
Penemuan Lapangan Gas Kasawari oleh PETRONAS itu hanya mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai antara negara pengeksport gas asli dibekukan (Liquified Natural Gas – LNG) terbesar dunia.
Gas yang diekstrak daripada Lapangan Gas Kasawari itu akan dihantar menggunakan paip untuk diproses di Kompleks LNG PETRONAS di Bintulu, Sarawak.
Kompleks LNG PETRONAS di Bintulu itu terdiri daripada sembilan keretapi produksi (production trains) dengan kapasiti keseluruhan mencecah 29.3 juta tan setahun (million tonnes per annum –Mtpa).
Ia adalah di antara kemudahan produksi LNG terbesar di dunia.
Lapangan Gas Kasawari terletak di Laut China Selatan di luar pantai Sarawak di Malaysia. Lapangan gas itu terletak di perairan dengan kedalaman airnya mencecah 108 meter di dalam Blok SK316 kira-kira 200km di utara Bintulu, Sarawak.
Lapangan gas mega ini terletak di gugusan Beting Patinggi Ali dan kapal-kapal pengawal pantai China memang gemar “singgah” di kawasan perairan ini.
Menurut Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI), pada tahun lepas sahaja kapal-kapal pengawal pantai China menghabiskan masa sebanyak 316 hari daripada 365 hari dalam setahun di gugusan Beting Patinggi Ali itu.
Blok SK316 yang menempatkan Lapangan Gas Kasawari itu juga menempatkan lapangan NC3 dan NC8.
Blok SK316 menempatkan beberapa penemuan gas berskala besar dan prospek eksplorasi dengan tahap kandungan karbon dioksida yang tinggi.
Pembangunan Lapangan Gas Kasawari itu turut melibatkan penggunaan teknologi tinggi untuk menangani isu tahap Karbon Dioksida yang tinggi ketika menghasilkan gas itu.
Pelan pembangunan empat-fasa Lapangan Gas Kasawari termasuklah Central Processing Platform seberat 47,000 tan, Wellhead Platform seberat 8,600 tan dan struktur Flare.
Central Processing Platform akan dihubungkan dengan Wellhead Platform dan struktur Flare oleh dua jambatan yang berasingan.
Berupaya memproses 900 juta kaki padu gas dalam sehari, Central Processing Platform milik lapangan gas Kasawari itu dipercayai adalah yang plaform luar pantai paling berat dan paling besar di Malaysia.
Lapangan Gas Kasawari adalah lapangan gas “sour field” yang mengandungi tahap karbon dioksida yang tinggi.
Selain usaha-usaha mengekstrak gas asli di Lapangan Gas Kasawari itu, terdapat juga projek Carbon Capture Storage (CCS) bernilai RM4.5 bilion yang sedang diusahakan oleh syarikat minyak dan gas negara di lapangan gas mega di perairan ZEE negara itu.
Projek CCS multi-bilion ringgit itu merupakan fasa kedua pelan pembangunan Lapangan Gas Kasawari itu dan merupakan usaha bersejarah oleh PETRONAS dalam usahanya untuk nyah Karbon Dioksida terutamanya bagi 900 juta kaki padu gas asli yang bakal dihasilkannya sehari bermula pada tahun ini.
Apabila siap kelak, projek CCS di Lapangan Gas Kasawari itu akan menempatkan platform penyimpanan CCS luar pantai terbesar di dunia.
Projek CCS di lapangan gas mega itu yang dijangka siap sepenuhnya pada 2025 dilihat sebagai pemangkin kepada keseluruhan sektor perkhidmatan, peralatan minyak dan gas (OGSE). — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com