Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(Video) Kapal Pengawal Pantai China Di Dalam Perairan Sarawak?

Walaupun Defence Security Asia tidak dapat memastikan tarikh sebenar gambar dan video kapal pengawal pantai China itu diambil, tetapi ia adalah selari dengan laporan media sebelum ini tentang pencerobohan kapal-kapal China di perairan Sarawak terutamanya di sekitar Beting Patinggi Ali yang kaya dengan minyak dan gas.

0 7,534

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Seorang pembaca Defence Security Asia telah mengirimkan beberapa keping gambar dan video kepada admin yang menunjukkan kehadiran sebuah kapal pengawal pantai China berhampiran sebuah pelantar minyak milik Petronas di perairan Sarawak.

Kapal pengawal pantai China itu kelihatan berlegar-legar berhampiran pelantar minyak yang mengibarkan bendera yang tertera logo syarikat minyak dan gas negara itu.

Turut kelihatan di dalam video yang dikirimkan kepada Defence Security Asia itu adalah bendera Sarawak.

Menurut pembaca itu, pelantar minyak itu terletak di antara Miri dan Bintulu, manakala kapal pengawal pantai China itu berkemungkinan besar berada di dalam perairan negara sebagaimana didakwa oleh beliau.

Buat masa ini, Defence Security Asia tidak dapat memastikan kedudukan sebenar pelantar minyak itu serta tarikh video serta gambar diambil yang menunjukkan kehadiran kapal pengawal pantai China itu.

Coast Guard
Gambar Kapal Pengawal Pantai China. (ehsan pembaca Defence Security Asia)

 

Bagaimanapun, kehadiran kapal pengawal pantai China berhampiran dengan pelantar minyak negara di pantai Sarawak bukanlah sesuatu asing kerana ia telah berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Bukan sahaja bot-bot bantuan aktiviti minyak dan gas, tetapi nelayan-nelayan tempatan juga mengadu mereka sering diganggu oleh kapal pengawal pantai China yang melarang mereka menghampiri kawasan perairan yang dipertikaikan.

Beijing mendakwa perairan negara terutamanya berhampiran dengan Beting Patinggi Ali dan James Shoal yang kaya dengan minyak dan gas adalah milik mereka sebagaimana di dalam peta “Nine Dash Line.”

Wisma Putra juga telah mengemukakan nota-nota diplomatik kepada rakan sejawatnya di Beijing bagi membantah kehadiran secara haram kapal-kapal pengawal pantai China di dalam perairan negara di Sarawak.

Tahun lepas, sebuah badan bukan kerajaan, Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI) yang berpengkalan di Washington berkata, gangguan oleh kapal-kapal milik kerajaan China terhadap kapal-kapal Malaysia berlaku “hampir setiap hari selama dua tahun.”

“Pihak Pengawal Pantai China mahu menguasai Luconia Shoals (Beting Patinggi Ali), dimana syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS memiliki beberapa lapangan minyak dan gas dan mereka (kapal-kapal China) telah menganggu mana-mana kapal Malaysia yang terlibat dengan apa-ap aktiviti mencari gali minyak atau gas di kawasan itu,” menurut Pengarah AMTI Greg Poling kepada akhbar South China Morning Post (SCMP) tahun lepas itu.

Luconia Shoals (Beting Patinggi Ali) terletak di dalam kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia dan merupakan lokasi Lapangan Gas Kasawari yang sedang dibangunkan oleh PETRONAS.

Luconia Shoals atau Beting Patinggi Ali itu terletak kira-kira 200km daripada kawasan pantai Bintulu di Sarawak.

Menurut Poling lagi, kapal-kapal China itu akan menganggu kapal-kapal offshore supply Malaysia  yang membantu operasi pelantar-pelantar minyak milik syarikat negara di kawasan perairan itu.

“Mereka (kapal-kapal China) berlegar-legar dengan merbahaya dan secara sengaja menimbulkan risiko pelanggaran (dengan kapal bantuan itu) dengan tujuan supaya syarikat-syarikat (pemilik kapal offshore itu) supaya tidak menerima kontrak (di kawasan Lapangan Gas Kasawari),” kata beliau.

Kasawari
Lapangan Gas Asli Kawasari yang sedang dibangunkan oleh PETRONAS.

 

Jika kapal-kapal offshore Malaysia itu tidak mengalah terhadap gangguan daripada kapal-kapal pengawal pantai China, maka Beijing akan menghantar pula kapal penyelidiknya untuk melakukan kajian (survey) secara haram di perairan negara itu.

Kehadiran kapal penyelidik China itu kata Poling, selalu diiringi oleh kapal-kapal pengawal pantai negara itu serta bot-bot militia maritimnya.  

Dalam satu webinar anjuran Foreign Policy Community di Jakarta tahun lepas,  Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata Malaysia menjangkakan akan berlaku peningkatan insiden-insiden pencerobohan daripada kapal-kapal milik China terhadap perairannya selagi syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS membangunkan sebuah lapangan gas asli besar miliknya dinamakan “Kasawari” yang terletak di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) milik negara di luar perairan Sarawak.

“Saya merasakan selagi PETRONAS membangunkan Lapangan Gas Asli Kasawari, kita (kerajaan) boleh menjangkakan (lebih banyak kapal-kapal) China akan melawat kawasan perairan (milik Malaysia)  itu dengan lebih kerap.”

Kasawari
Gambar kredit AMTI

 

“Kita sentiasa melakukan bantahan (terhadap China). Saya sudah tidak lagi mengira bilangan nota bantahan yang telah kita hantar kepada China. Kita akan terus memberikan respons secara diplomatik kepada mereka (China),” kata Menteri Luar Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah.

Saifuddin juga berkata, beliau telah memberitahu Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz bahawa syarikat minyak dan gas negara itu mempunyai keseluruhan hak untuk mencarigali minyak dan gas di Lapangan Gas Asli Kasawari kerana kawasan projek itu terletak di dalam perairan negara dan Malaysia adalah sebuah negara berdaulat.

China
Kapal pengawal pantai China.

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

 

Ditemui pada November 2011, Lapangan Gas Asli Kasawari yang sedang dibangunkan oleh PETRONAS dipercayai menyimpan kira-kira 3 juta Trillion Cubic Feet (TCF) gas asli dan lapangan gas itu kini sedang dibangunkan oleh anak syarikat minyak dan gas negara iaitu, PETRONAS Carigali.

Lapangan Gas Asli Kasawari itu dijangka mula beroperasi pada tahun 2023, di mana ia dijangka akan menghasilkan sehingga 900 juta kaki padu gas asli dalam sehari.

Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS dalam satu temuramah dengan agensi berita Reuters awal bulan ini berkata projek pembangunan Lapangan Gas Asli Kasawari akan memastikan Malaysia kekal menjadi antara lima negara pengeksport terbesar gas asli di dunia.

Kenyataan oleh CEO PETRONAS itu menunjukkan bahawa Lapangan Gas Kasawari sememangnya menyimpan gas asli yang amat banyak dan bernilai tinggi, sehinggakan ia menarik perhatian China. — DSA

 

Comments
Loading...