Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Russia Terima Lebih Banyak Su-57, Dinaiktaraf Dengan Kemampuan Gen-6

Penghantaran pesawat-pesawat Su-57 kepada Tentera Udara Russia telah bermula tahun lepas, dengan pemerhati pertahanan negara itu menjangkakan bilangan pesawat itu yang akan dimiliki oleh tentera udara negara itu pada akhir tahun depan adalah hanya sebanyak 22 buah.

0 7,488

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Walaupun berhadapan dengan sekatan ekonomi yang ketat, syarikat pembuat pesawat Russia, United Aircraft Corporation (UAC) merancang untuk menyerahkan lebih banyak pesawat generasi kelima Su-57 “Felon” untuk digunakan oleh Tentera Udara Russia pada tahun ini bagi menampung keperluan operasinya.

Ketua Pengarah UAC Yuri Slyusar berkata, anak syarikat UAC yang bertanggungjawab terhadap kontrak kerajaan telah menerima peruntukan baru untuk memperolehi peralatan-peralatan teknikal dan memodenkan serta membesarkan lagi kemampuan produksinya.

Kesemua usaha itu akan membolehkan syarikat membantu syarikat meningkatkan produksi bukan sahaja pesawat pejuang Su-57,tetapi juga pesawat-pesawat pejuang Su-35S untuk Tentera Udara Russia yang kini digunakan secara aktif di Ukraine.

Su-57

Peningkatan produksi pesawat-pesawat pejuang akan membantu “menggantikan” pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara Russia termasuk Su-35 dalam konflik di Ukraine.

Tentera Udara Russia dilapor turut menggunakan pesawat pejuang Su-57 pada konflik di Ukraine, tetapi penglibatannya terbatas dengan hanya melakukan serangan-serangan menggunakan peluru berpandu jarak jauh daripada dalam sempadan Russia untuk mengelak ancaman sistem pertahanan udara Ukraine.

Syarikat akan meningkatkan produksi pesawat pejuang generasi kelima Su-57 kepada Tentera Udara Russia,” kata Slyusar dan menambah, produksi pesawat pejuang Su-35 juga akan dipertingkatkan bagi memenuhi keperluan tentera udara negara itu.

Penghantaran pesawat-pesawat Su-57 kepada Tentera Udara Russia telah bermula tahun lepas, dengan pemerhati pertahanan negara itu menjangkakan bilangan pesawat itu yang akan dimiliki oleh tentera udara negara itu pada akhir tahun depan adalah hanya sebanyak 22 buah.

Disebabkan terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah ketika di fasa pembangunan, penghantaran pesawat itu kepada Tentera Udara Russia telah berdepan dengan masalah kelewatan yang serius.

Su-57

Pada ketika ini bilangan pesawat pejuang itu di dalam Tentera Udara Russia dipercayai di bawah 20 buah.

Menjelang tahun 2028, bilangan pesawat pejuang generasi kelima itu yang sudah di dalam perkhidmatan dalam Tentera Udara Russia dijangkakan berjumlah 76 buah.

Dengan Amerika Syarikat sedang berusaha meningkatkan lagi keupayaan pesawat pejuang generasi kelimanya, F-35 Block 4 dengan pelbagai kelengkapan, Russia juga bertindak sama dengan menaiktaraf pesawat pejuang Su-57 dengan beberapa kemampuan pesawat pejuang generasi ke-enam.

Menurut agensi berita Russia,TASS,  pesawat Su-57 itu akan dinaiktaraf untuk memiliki kemampuan Artificial Intelligence (AI).

Juruterbang ujian di Sukhoi Design Bureau, Rafael Suleimanove dilaporkan berkata bahawa dengan penggunaan AI pada pesawat pejuang itu, ia akan membolehkan Su-57 “berbuat apa sahaja ketika di udara.”

Su-57

Mana-mana juruterbang yang pernah menerbangkan pesawat Su-35, akan berupaya untuk menerbangkan Su-57 tanpa masalah.

Pesawat-pesawat Su-57 yang dinaiktaraf itu juga direka untuk membawa pelbagai sistem persenjataan baru yang sedang dan akan dibangunkan oleh Russia.

Selain peralatan dalaman pesawat dan sistem persenjataan, pesawat Su-57 yang dinaiktaraf itu juga dijangka dilengkapi dengan enjin baru dikenali dengan nama “Izdeliye 30” yang membolehkan pesawat meluncur pada kelajuan supersonik tanpa menggunakan afterburner.

 Pada ketika ini, pesawat-pesawat Su-57 yang telah dibangunkan hanya menggunakan “enjin sementara” iaitu NPO Saturn Product 117 yang merupakan varian kepada enjin AL-41F-1S yang dibangunkan daripada enjin pesawat Su-35.

Su-57
Enjin Izdeliye 30

 

Menurut penganalisis, penggunaan enjin Izdeliye 30 itu akan meningkatkan daya tujahan (thrust) pesawat Su-57 itu dan keberkesanan penggunaan minyak, selain mengurangkan berat keseluruhan pesawat generasi kelima itu serta kerja-kerja penyelenggarannya.

 Berlainan dengan pesawat generasi keempat, pesawat Su-57 boleh mengekalkan kelajuan supersonik sepanjang misi dilakukannya, walaupun sedang berhadapan dengan musuh.

“Pesawat generasi keempat berada dalam kelajuan subsonic dalam sebahagian besar masanya dan akan hanya berada pada kelajuan supersonik ketika melaksanakan misi kombat, tetapi pesawat Su-57 direkabentuk untuk terbang dalam kelajuan supersonik hampir sepanjang masa,” kata pegawai Sukhoi Design Bureau. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...