Panglima TUDM Turut Serta Dalam Penerbangan FA-50, Tinjau Lebih Dekat KF-21 “Boramae”
Salah satu detik bersejarah dalam lawatan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jen Tan Sri Mohd Asghar Goriman Khan ke Korea Aerospace Industries (KAI) itu adalah apabila beliau turut serta dalam penerbangan pesawat FA-50 milik KAI bersama juruterbang penguji.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Beberapa hari lalu, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jen Tan Sri Mohd Asghar Goriman Khan telah melakukan lawatan ke Korea Aerospace Industries (KAI) untuk meninjau pembangunan pesawat pejuang ringan FA-50M yang diperolehi oleh TUDM.
TUDM dijangka mula menerima kumpulan pertama pesawat pejuang ringan FA-50M itu pada Oktober 2026, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh TUDM menerusi akaun FB miliknya hari ini,
“Lawatan ini menandakan satu pencapaian penting setelah termeterainya kontrak perolehan antara Kerajaan Malaysia dan KAI.”
“Ia turut menjadi platform untuk melihat sendiri kemajuan dalam proses pembangunan aset baharu TUDM yang bakal menjadi pemangkin kepada evolusi keupayaan operasi dan latihan pertempuran udara negara.”
Kementerian Pertahanan menandatangani perjanjian perolehan dengan KAI pada Mei 2023 untuk memperolehi 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50M (Block 20) yang dianggarkan bernilai RM4 billion.
(kredit TUDM)
Pesawat pejuang ringan FA-50M milik TUDM ialah varian FA-50M yang paling moden dan berkeupayaan, berbanding dengan varian lain yang diperoleh negara lain termasuk Korea Selatan dan beberapa negara di Asia Tenggara.
Hanya varian pesawat pejuang ringan FA-50PL milik Poland adalah hampir sama dengan apa yang dimiliki oleh TUDM.
Sementara itu, kenyataan TUDM itu turut menyatakan bahawa salah satu detik bersejarah dalam lawatan Panglima TUDM ke KAI itu adalah apabila beliau turut serta dalam penerbangan pesawat FA-50 milik KAI bersama juruterbang penguji.
“Pengalaman secara langsung ini membolehkan Panglima TUDM menguji keupayaan pesawat dalam aspek maneuverability, sistem avionik serta kesesuaian pesawat tersebut untuk memenuhi keperluan operasi dan latihan TUDM.”
“Berdasarkan penilaian beliau, pesawat FA-50M bukan sahaja memenuhi keperluan teknikal dan taktikal tetapi juga berpotensi menjadi aset strategik dalam memperkukuh keupayaan pertahanan udara negara,” menurut kenyataan.
(kredit TUDM)
Kenyataan TUDM itu turut menyebut bahawa seiring dengan perolehan ini, seramai enam juruterbang TUDM dijadualkan menjalani latihan intensif di Korea Selatan pada Oktober 2025 bagi membiasakan diri dengan sistem operasi pesawat baharu ini.
Selain itu, seramai 51 anggota kejuruteraan TUDM akan menyertai kursus senggaraan bermula Januari 2026, sekali gus memastikan kesiapsiagaan teknikal pesawat ini dalam perkhidmatan TUDM kelak.
Lawatan ini turut memperkukuhkan hubungan industri pertahanan antara Malaysia dan Korea Selatan, apabila Panglima TUDM turut mengunjungi syarikat Hanwha Aerospace dan Korea Aviation Engineering & Maintenance Services (KAEMS).
Kedua-dua syarikat ini memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan serta penyelenggaraan pesawat FA-50M, memastikan kelangsungan operasi dan keberkesanan perkhidmatan pesawat ini dalam jangka panjang.
Daripada gambar yang disertakan dalam kenyataan TUDM, ia turut menunjukkan Panglima TUDM bergambar dengan pesawat generasi 4.5 KF-21 “Boramae” yang turut dibangunkan oleh KAI.
“Secara keseluruhannya, Panglima TUDM berpuas hati dengan kemajuan pembangunan pesawat FA-50M.”
(kredit TUDM)(kredit TUDM)
“Lawatan ini bukan sahaja memperkukuh keyakinan terhadap keupayaan aset baharu TUDM, tetapi juga menandakan era baharu dalam kerjasama strategik antara Malaysia dan Korea Selatan dalam bidang pertahanan dan aeroangkasa.”
“Dengan perkembangan positif ini, TUDM berada di landasan tepat untuk terus menjadi kuasa udara yang disegani di rantau ini,” menurut kenyataan TUDM itu.
Pembinaan pesawat-pesawat pejuang ringan FA-50M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) oleh syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) berjalan lancar, dengan Defence Security Asia diberitahu kemajuan pembinaan pesawat pejuang itu telah melebihi 50 peratus.
Sumber industri memberitahu Defence Security Asia bahawa kemajuan terkini pembinaan pesawat pejuang ringan FA-50M milik TUDM itu adalah lebih cepat daripada jadual asal, menggambarkan keberkesanan program pembinaannya oleh syarikat KAI.
“Progress program pembinaan pesawat-pesawat pejuang ringan FA-50M milik TUDM telah pun melebihi 50 peratus. Ia (kemajuan pembinaan) itu adalah melebihi daripada jadual asal kontrak,” menurut sumber itu.
Sumber industri juga memberitahu Defence Security Asia sebelum ini bahawa buat masa ini kesemua 18 buah pesawat pejuang ringan itu akan beroperasi daripada Pangkalan TUDM Kuantan.