Menteri Pertahanan Perancis Ke Malaysia 23 Jan Ini, Bincang Isu Pembinaan Kapal LCS

Naval Group (dahulu dikenali DCNS) daripada Perancis merupakan rakan kerjasama syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) dalam projek pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) bernilai RM9 bilion yang tertangguh.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Menteri Pertahanan Perancis Florence Parly dijangka akan melakukan lawatan ke Malaysia pada 23 Januari ini, di mana isu berkenaan pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) milik TLDM bernilai RM9 bilion yang tertangguh sejak sekian akan dibincangkan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam Majlis Amanat Tahun 2022 Menteri Kanan Pertahanan di Wisma Perwira, hari ini.

“Kita akan meminta kerjasama kerajaan Perancis untuk membantu kita (kerajaan Malaysia) dalam usaha kita untuk memastikan semua perancangan untuk Littoral Combat Ship berjaya dilaksanakan,” kata beliau dalam majlis yang dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan serta panglima-panglima ketiga-tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pegawai kanannya.

Naval Group daripada Perancis merupakan rakan kerjasama syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) dalam projek pembinaan enam buah kapal LCS.

Rekabentuk kapal LCS milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu  adalah berdasarkan kepada rekabentuk kapal korvet “Gowind” oleh Naval Group (dahulu dikenali sebagai DCNS).

Gambar terbaru kapal LCS terbaru (kredit BNS)

 

Walaupun rekabentuk kapal LCS TLDM yang kini dikenali sebagai kelas-Maharaja Lela adalah berdasarkan kepada rekaan kapal “Gowind” tetapi untuk projek TLDM itu ia telah diubahsuai selaras dengan keperluan tentera laut negara.

So, sama-samalah kita tunggu pertemuaan di antara Madame Florence Parly dengan Hishammuddin untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang penglibatan Perancis dan Naval Group dalam pembinaan enam buah kapal LCS itu.

Dalam masa yang sama pada majlis amanat itu, Menteri Pertahanan menegaskan akan berusaha untuk memastikan program perolehan LCS itu akan terus dijalankan demi memenuhi keperluan TLDM.

Menteri Pertahanan Perancis, Florence Parly

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

 

“Program LCS (Littoral Combat Ship) menjadi keutamaan saya semasa kembali masuk ke Kementerian Pertahanan Malaysia, Selaras dengan Kertas Putih Pertahanan dan sejajar dengan pelan pembangunan 15-to-5 serta kepentingan TLDM – perancangan ke hadapan adalah menyediakan opsyen pelan pemulihan projek LCS,

“Selain daripada itu mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) serta membentangkan pelan pemulihan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri,

“Kertas memorandum oleh Jemaah Menteri telah siap dan ada di meja saya pada pagi ini,” katanya.

Lakaran grafik Kapal LCS TLDM apabila ia siap. (tak tahu bila)

 

Hishammuddin juga berkata bahawa beliau dan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan Malaysia akan berjumpa dengan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi menjelaskan secara terperinci berkenaan program perolehan LCS.

Pada November tahun lepas, Hishammuddin pada sidang Parlimen mengatakan bahawa pembinaan kapal pertama LCS akan hanya berjaya disiapkan pada tahun 2025.

“Sasarannya adalah Tentera Laut Diraja Malaysia akan memperolehi kapal LCS yang pertama tahun 2025,” kata beliau dan menambah, selepas kapal yang pertama siap pada tahun 2025, lima lagi buah kapal seterusnya dijangka siap setiap tahun selepas itu.

Pembinaan enam buah kapal LCS bernilai RM9 bilion yang direkabentuk mengikut kapal friget “Gowind” DCNS daripada Perancis itu bermula pada 3 Oktober 2013 dan sepatutnya tamat pada 2 Oktober 2023 dengan kesemua enam buah kapal itu siap sepenuhnya dan diserahkan kepada TLDM.

Sebanyak RM6 billion telah dibayar oleh kerajaan setakat ini untuk perolehan enam buah kapal LCS terbabit.

Menurut Menteri Pertahanan itu lagi, sehingga 31 Oktober tahun ini kemajuan projek pembinaan kapal-kapal LCS itu hanya mencapai 57.5 peratus berbanding 96.57 peratus yang sepatutnya dicapai dalam jadual asal.

Projek pembinaan enam buah kapal LCS itu katanya, telah mengalami kelewatan sebanyak 39.52 peratus atau 43 bulan. — DSA

 

featuredFlorence ParlyHishammuddinLCSNaval GroupPerancis
Comments (0)
Add Comment