Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Jangan Layan Tuntutan Filipina Terhadap Sabah” – Hishammuddin

0 864

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein membidas kenyataan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal yang mahu mengadakan rundingan dengan kerajaan Filipina berkenaan tuntutan negara itu terhadap Sabah.

Hishammuddin melahirkan rasa kecewanya terhadap cadangan Shafie itu yang juga merupakan presiden parti Warisan di Sabah.

Shafie sebelum ini telah menyatakan kesediannya untuk mengadakan rundingan dengan Manila bagi menyelesaikan isu tuntutan republik itu terhadap Sabah.

“Sebelum ini saya telah tegaskan banyak kali, tuntutan Filipina terhadap Sabah tidak akan dilayan dan Sabah milik Malaysia selama-lamanya.

“Sebab itu saya kecewa apabila Presiden Warisan Shafie Apdal baru-baru ini mencadangkan agar kerajaan Malaysia berunding dengan kerajaan Filipina,” kata Menteri Luar dalam hantaran di dalam akaun Facebooknya hari ini.

Menurutnya, tuntutan Manila terhadap Sabah yang digelarnya “North Borneo” itu bukan sahaja tidak perlu dilayan tetapi adalah tidak lagi relevan.

Malaysia menurutnya tidak mengiktiraf tuntutan Filipina itu dan tidak nampak keperluan untuk mengadakan rundingan dengan kerajaan pimpinan Presiden Rodrigo Duterte itu.

Anggota bersenjata di selatan Filipina (gambar kredit internet)

“Sekiranya kita buka ruang rundingan, itu bermakna Malaysia akui tuntutan tersebut mempunyai asas. 

“Atau sebenarnya memang Shafie anggap tuntutan Filipina berasas,” kata Hishammuddin.

Beliau menasihatkan Ketua Menteri Sabah itu supaya bersikap lebih tegas dan bukan  “memberi muka” kepada pihak luar yang cuba mempersoalkan kedaulatan Sabah.

Manila sebagaimana diperkatakan oleh Menteri Luarnya Teddy Boy Locsin telah menyatakan bahawa Kementerian Luar negara itu akan menghidupkan kembali sebuah pejabat yang bertanggungjawab menuntut Sabah daripada Malaysia.

Republik itu juga akan memasukkan peta Filipina dan Laut Filipina barat di dalam pasportnya sebagai menunjukkan kedaulatan negara itu terhadap kedua-dua wilayah itu.

Berikutan daripada tindakan agresif dan berterusan Filipina itu, hubungan diplomatik negara itu dengan Kuala Lumpur menjadi tegang.

Ramai dikalangan penganalisis di Malaysia menyatakan tindakan Manila berkenaan Sabah itu berkait rapat dengan perkembangan politik tempatan, dengan pilihanraya tempatan bakal berlangsung tidak lama lagi.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...