Leonardo Yakin Pesawat Peronda Maritim ATR 72MP Terbaik Untuk Malaysia

Pesawat ATR 72 MP adalah platform peronda maritim berkeupayaan tinggi yang boleh melaksanakan misi peperangan anti-kapal selam (anti-submarine warfare- ASW), peperangan anti-permukaan (anti-surface warfare- ASuW) serta misi-misi perisikan elektronik (electronic intelligence-ELINT). Ia juga boleh dilengkapi dengan dua butir torpedo.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat Leonardo berkeyakinan bahawa pesawat peronda maritim (MPA)  yang dibangunkannya, “ATR  72MP” merupakan calon terbaik untuk memenangi tender Kementerian Pertahanan Malaysia bagi dua pesawat terbabit.

Mengesahkan perkara itu kepada portal media pertahanan antarabangsa, Janes.com pada Singapore Air Show 2022 yang berakhir baru-baru ini, syarikat itu berkata, ia telah mengemukakan cadangan terbaik untuk dinilai oleh Malaysia.

“Kami telah mencadangkan pesawat ATR 72MP, yang merupakan varian kepada pesawat ATR 72-600 yang berkhidmat dengan beberapa syarikat penerbangan di Malaysia dan Indonesia,” menurut syarikat itu.

Pesawat peronda maritim ATR 72 MP itu dipromosikan sebagai pesawat dengan kos operasi yang rendah, platform peronda maritim berkeupayaan tinggi yang boleh melaksanakan misi peperangan anti-kapal selam (anti-submarine warfare- ASW), peperangan anti-permukaan (anti-surface warfare- ASW) serta misi-misi perisikan elektronik (electronic intelligence-ELINT).

Pesawat ATR 72MP itu berkemampuan beroperasi dalam suasana rondaan maritim paling kompleks kerana ia dilengkapi dengan sistem perlaksanaan misi Airborne Tactical Observation and Surveillance (ATOS) terdiri daripada radar Active Electronically Scanned Array (AESA), penderia elektro optical dengan kamera monochrome dan bewarna,  Automatic Identification System (AIS) dan Airborne Search and Rescue Direction Finder (ASARSDF).

Pesawat peronda maritim ATR 72MP yang dibangunkan oleh syarikat Leonardo yang ditawarkan kepada Malaysia.

 

Selain itu, pesawat MPA keluaran syarikat Leonardo itu juga dilengkapi dengan kemampuan Command, Control, Communications, Computers, Intelligence, Surveillance and Reconnaissance (C4ISR) bagi membolehkannya memantau trafik di laluan perkapalan, perlindungan kawasan perikanan, anti-penyeludupan, pemantauan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) dan Search and Rescue (SAR).

Maximum endurance pesawat ATR 72MP yang boleh membawa dua butir torpedo itu adalah 10 jam.

 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) merancang untuk memiliki sehingga enam buah pesawat peronda maritim  program CAP 55 (Capability 2055).

Pada Ogos 2020, Kementerian Pertahanan telah mengiklankan tender untuk memperolehi dua buah pesawat MPA, dengan beberapa syarikat pembuat pesawat MPA telah pun menyatakan minat mereka untuk menyertai tender terbabit yang ditutup pada 3 Disember lepas.

Dalam satu temuramah dengan majalah pertahanan berbahasa Inggeris tempatan tahun lepas, Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad berkata proses perolehan dua daripada enam buah pesawat MPA dirancang dimiliki oleh TUDM sedang berjalan pada ketika ini.

Perolehan empat buah pesawat MPA yang lain akan dilakukan pada Rancangan Malaysia Ke-14 (RMK-14) dan RMK-15.

RMK-14 adalah untuk tempoh 2031-2035 manakala RMK-15 (2036-2040).

“TUDM merancang untuk memperolehi enam buah pesawat MPA secara keseluruhannya. Untuk permulaan, perolehan dua buah pesawat MPA sedang berjalan, dengan proses TDE telah pun selesai  dan sedang menunggu kelulusan untuk memasuki fasa proses tender,” katanya dalam temuramah itu.

Beliau juga berkata, khidmat pesawat B200T TUDM yang memikul tugas sebagai pesawat MPA/MSA pada ketika ini akan diteruskan sehingga tahun 2024 sebelum perkhidmatannya ditamatkan secara progresif.

Keadaan di dalam pesawat ATR 72MP.

 

Didalam temuramah itu, Panglima TUDM juga ditanya pula tentang kerja-kerja menaiktaraf tiga buah pesawat pengangkut CN-235 TUDM kepada pesawat MSA (Maritime Surveillance Aircraft).

Menurutnya, program itu dibiayai oleh program Maritime Security Initiative (MSI) kerajaan Amerika Syarikat dimana ketiga-tiga pesawat itu akan dinaiktaraf dan diperlengkapkan dengan pelbagai peralatan bagi membolehkan ia melaksanakan tugasan sebagai sebuah pesawat MSA.

Kerja-kerja menaiktaraf itu dilakukan oleh PT Dirgantara Indonesia (PTDI) sebagai OEM.

Salah sebuah pesawat CN-235 TUDM yang dinaiktaraf kepada versi MSA sedang menjalani ujian penerbangan di kemudahan PT Dirgantara Indonesia (PTDI). Kelihatan Belly Radome dan FLIR telah pun siap dipasang.

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Defence Security Asia difahamkan bahawa TUDM akan menerima pesawat CN-235 yang telah dinaiktaraf kepada versi MSA di dalam beberapa bulan mendatang ini disusuli oleh dua buah lagi selepas itu.

Pesawat pertama MSA itu sepatutnya diserahkan kepada TUDM akhir tahun lepas, tetapi ditangguhkan akibat pandemik COVID-19. — DSA

ATR 72MPfeaturedLeonardoPeronda
Comments (0)
Add Comment