Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

TUDM Rancang Peroleh Enam Pesawat Peronda Maritim (MPA) Untuk Kawal Perairan Negara

Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad, proses perolehan dua daripada enam buah pesawat MPA dirancang dimiliki oleh TUDM sedang berjalan pada ketika ini dalam Rancangan Malaysia ke-12  manakala perolehan empat pesawat MPA yang lain akan dilakukan pada Rancangan Malaysia Ke-14 (RMK-14) dan RMK-15.

0 6,105

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Bagi meningkatkan lagi keberkesanan kawalan perairan negara yang luas terutamanya di Laut China Selatan, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) merancang untuk memperolehi sehingga enam buah Pesawat Peronda Maritim (MPA), selaras dengan perancangan di bawah program CAP 55 (Capability 2055).

Menurut panglimanya Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad, proses perolehan dua daripada enam buah pesawat MPA dirancang dimiliki oleh TUDM sedang berjalan pada ketika ini dalam Rancangan Malaysia ke-12  manakala perolehan empat pesawat MPA yang lain akan dilakukan pada Rancangan Malaysia Ke-14 (RMK-14) dan RMK-15.

RMK-14 adalah untuk tempoh 2031-2035 manakala RMK-15 (2036-2040).

“TUDM merancang untuk memperolehi enam buah pesawat MPA secara keseluruhannya. Untuk permulaan, perolehan dua buah pesawat MPA sedang berjalan, dengan proses TDE telah pun selesai  dan sedang menunggu kelulusan untuk memasuki fasa proses tender.”

— Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad

Beliau berkata, khidmat pesawat B200T TUDM yang memikul tugas sebagai pesawat MPA/MSA pada ketika ini akan diteruskan sehingga tahun 2024 sebelum perkhidmatannya ditamatkan secara progresif.

Ackbal
Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad.

 

Pada Ogos tahun lepas, Kementerian Pertahanan telah pun mengeluarkan tender bagi memperolehi dua buah pesawat MPA, dengan beberapa syarikat pembuat pesawat MPA telah pun menyatakan minat mereka untuk menyertai tender terbabit yang ditutup pada 3 Disember lepas.

Antaranya adalah syarikat pembuat kapalterbang Eropah, Airbus yang mengesahkan bahawa ia telah menawarkan pesawat Peronda Maritim (MPA) C-295 kepada TUDM.

Antara syarikat lain yang dijangka turut sama menyertai tender Kementerian Pertahanan itu  termasuklah syarikat Leonardo yang dijangka menawarkan ATR72 MPA dan PTDI daripada Indonesia dengan pesawat CN-235 MPA.

Bagi Malaysia yang merupakan sebuah negara maritim dikelilingi lautan yang luas, perolehan pesawat-pesawat MPA/MSA  adalah amat penting.

Ditanya pula tentang kerja-kerja menaiktaraf tiga buah pesawat pengangkut CN-235 TUDM kepada pesawat MSA (Maritime Surveillance Aircraft), beliau berkata program itu dibiayai oleh program Maritime Security Initiative (MSI) kerajaan Amerika Syarikat.

Dibawah program MSI, ketiga-tiga pesawat itu akan dinaiktaraf dan diperlengkapkan dengan pelbagai peralatan bagi membolehkan ia melaksanakan tugasan sebagai sebuah pesawat MSA.

Kerja-kerja menaiktaraf itu dilakukan oleh PT Dirgantara Indonesia (PTDI) sebagai OEM.

Panglima TUDM itu berkata, ketiga-tiga pesawat CN-235 yang sudah dinaiktaraf kepada pesawat MSA itu dijadual diserahkan kembali kepada TUDM pada bulan Julai, September dan November tahun ini. (mungkin jadual penyerahan alami kelewatan akibat COVID-19)

Bagaimanapun, sekarang ni sudah pun Oktober dan Menteri Pertahanan sudah pun menyatakan bahawa pesawat CN-235 MSA yang pertama akan hanya diserahkan pada TUDM pada bulan depan.

TUDM
Salah sebuah pesawat CN-235 TUDM yang dinaiktaraf kepada versi MSA sedang menjalani ujian penerbangan di Indonesia. Kelihatan Belly Radome dan FLIR telah pun siap dipasang.

 

PTDI bekerjasama dengan Integrated Surveillance and Defense, Inc (ISD) yang berpengkalan di Wilsonville, Oregon, Amerika Syarikat dalam membekalkan dan mengintegrasikan Mission Management Systems (MMS) untuk ketiga-tiga unit pesawat CN235-220 yang dimiliki oleh TUDM itu.

Peralatan Mission Management Systems dipasang pada ketiga-tiga pesawat CN235-220 TUDM termasuk FLIR (Forward Looking Infra Red).

Belly Radome dimana Radar Dome dipasang di bawah pesawat atau “perut pesawat”  dilengkapi dengan Search Radar 360 Darjah yang berkemampuan untuk mengesan sasaran-sasaran kecil that sehingga 200 Batu Nautika (Nautical Mile).

Selain itu, ia juga akan dilengkapi dengan Automatic Identification System (AIS), automatic tracking system untuk mengenalpasti kapal-kapal , bagi membolehkan ia mengenalpasti kedudukan objek-objek yang mencurigakan.

Menurut kenyataan oleh TUDM sebelum ini, pelaksanaan program naik taraf pesawat CN-235 itu akan membolehkan ia berkemampuan untuk melaksanakan tugasan Intelligence, Surveillance And Reconaissance (ISR).

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...