Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Thailand “Borong” Lapan Buah Helikopter Penyerang Ringan AH-6i

Thailand merupakan negara luar kedua yang menggunakan helikopter penyerang ringan AH-6i selepas Angkatan Tentera Arab Saudi yang membeli 24 buah helikopter berkenaan.

0 4,469

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat mengumumkan bahawa syarikat Boeing telah dianugerahkan kontrak untuk membekalkan sehingga lapan buah helikopter penyerang ringan AH-6i kepada Tentera  Darat Thailand.

Thailand merupakan negara luar kedua yang menggunakan helikopter penyerang ringan AH-6i selepas Angkatan Tentera Arab Saudi yang membeli 24 buah helikopter berkenaan.

Tentera Darat Amerika Syarikat juga menggunakan helikopter penyerang ringan itu.

Menurut Jabatan Pertahanan Amerika itu, helikopter AH-6i itu akan mula dihantar ke Thailand pada 2025 tetapi ia tidak menyatakan berapa jumlah sebenar helikopter yang diperolehi oleh negara jiran Malaysia itu.

Berbanding dengan perolehan enam buah helikopter penyerang ringan MD530G yang dibeli oleh Malaysia pada 2016 tetapi akan hanya sampai di negara ini pada suku pertama tahun ini, ia mengambil masa kira-kira enam tahun untuk diselesaikan.

AH-6i

Jika kontrak perolehan helikopter AH-6i Thailand itu berjalan dengan lancar, ia akan hanya mengambil masa tiga tahun (36 bulan) untuk penghantarannya.

Kenyataan kerajaan Amerika Syarikat pada 2019 menyatakan kerajaan Thailand mahu membeli sehingga lapan buah helikopter penyerang ringan itu bersama-sama kelengkapan persenjataannya yang lain.

Antara sistem persenjataan yang turut dipohon oleh Thailand adalah 50 butir peluru berpandu Hellfire, 200 butir roket Advance Precision Kill Weapon System (APKWS), 10 buah mini-guns, mesingan 50 cal, 500 butir roket Hydra 70 dan lain-lain lagi.

AH-6i

Helikopter penyerang ringan yang bakal diperolehi oleh Thailand itu akan dilengkapi dengan peluru berpandu Hellfire, sama seperti yang digunakan oleh helikopter penyerang AH-64 Apache.

Manakala helikopter MD530G Malaysia pula hanya akan dilengkapi dengan mesingan dan roket.

Tentera Thailand dijangka menggantikan tujuh buah helikopter penyerang AH-1F Cobra yang digunakannya pada ketika ini dengan helikopter AH-6i yang bakal diperolehinya itu pada 2025 itu.

AH-6i
Helikopter AH-6i dengan peluru berpandu “Hellfire.”

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

“Cadangan penjualan helikopter AH-6i itu akan meningkatkan kemampuan Tentera Darat Thailand dalam aspek pertahanan dalam negeri dan menangani ancaman serantau. Helikopter AH-6i itu akan menggantikan tujuh buah helikopter AH-1F milik Tentera Darat Thailand yang telah berusia,” Defense Security Cooperation Agency (DSCA) Amerika Syarikat dalam kenyataan pada 2019. — DSA

 

 

Comments
Loading...