Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Apa Sudah Jadi Dengan Tender Perolehan Dua Pesawat Peronda Maritim TUDM?

Tender untuk mendapatkan dua buah pesawat MPA telah pun tamat pada 3 Dis, 2020 dan sehingga kini tiada sebarang berita sama ada tender itu diteruskan atau ia telah “dikebumikan tanpa sebarang kubur.”

0 9,027

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Memandangkan Malaysia adalah sebuah negara maritim, maka keperluan untuk mendapatkan pesawat peronda maritim (Maritim Patrol Aircraft) adalah amat penting terutamanya apabila negara berhadapan dengan satu demi satu pencerobohan di kawasan perairan di Laut China Selatan.

Bagaimanapun sehingga ke hari ini, kita tidak mempunyai walau sebuah pesawat “full-fledged” MPA yang berupaya di dua teater di Semenanjung dan Malaysia Timur.

Dan tender untuk mendapatkan dua buah pesawat MPA telah pun tamat pada 3 Dis, 2020 dan sehingga kini tiada sebarang berita sama ada tender itu diteruskan atau ia telah “dikebumikan tanpa sebarang kubur.”

Mungkin Kementerian Pertahanan mempunyai prioriti atau kepentingan yang lain, menyebabkan perolehan dua buah pesawat peronda maritim itu ditangguhkan kepada Rancangan Malaysia yang seterusnya.

Tender sudah pun ditutup lebih daripada setahun dan sehingga kini kita tidak tahu syarikat manakah yang menyertai persaingan itu secara rasmi.

MPA

Namun daripada sumber-sumber industri memaklumkan antara pesawat-pesawat MPA yang menyertai pesaingan tender Kementerian Pertahanan adalah adalah syarikat pembuat kapalterbang Eropah, Airbus yang mengesahkan bahawa ia telah menawarkan pesawat Peronda Maritim (MPA) C-295 kepada TUDM.

Antara syarikat lain yang dijangka turut sama menyertai tender Kementerian Pertahanan itu termasuklah syarikat Leonardo yang dijangka menawarkan ATR72 MPA dan PTDI daripada Indonesia dengan pesawat CN-235 MPA.

Sebuah lagi syarikat yang menawarkan pesawat MPA untuk tender Kementerian Pertahanan adalah syarikat PAL Aerospace menerusi pesawat De Havilland Dash 8 400.

Mungkin ada syarikat lain yang menyertai persaingan itu, tetapi kita tidak mempunyai maklumatnya.

MPA TUDM
Pesawat Peronda Maritim (MPA) ATR72 buatan syarikat Leonardo.

 

Perolehan pesawat MPA adalah sejajar dengan perancangan masa hadapan peningkatan keupayaan aset menerusi Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55) dan mendukung kesiagaan pengoperasian TUDM berdasarkan hala tuju ATM dan Kementerian Pertahanan seperti penyataan dasar Kertas Putih Pertahanan.

Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad dilaporkan berkata bahawa proses perolehan dua daripada enam buah pesawat MPA dirancang dimiliki oleh TUDM sedang berjalan pada ketika ini.

Perolehan empat pesawat MPA yang lain akan dilakukan pada Rancangan Malaysia Ke-14 (RMK-14) dan RMK-15.
RMK-14 adalah untuk tempoh 2031-2035 manakala RMK-15 (2036-2040).

MPA TUDM

Khidmat pesawat B200T TUDM yang memikul tugas sebagai pesawat MPA/MSA pada ketika ini akan diteruskan sehingga tahun 2024 sebelum perkhidmatannya ditamatkan secara progresif.

TUDM juga menaiktaraf tiga buah pesawat pengangkut CN-235 TUDM kepada pesawat MSA (Maritime Surveillance Aircraft) yng dibiayai oleh program Maritime Security Initiative (MSI) kerajaan Amerika Syarikat.

Dibawah program MSI, ketiga-tiga pesawat itu akan dinaiktaraf dan diperlengkapkan dengan pelbagai peralatan bagi membolehkan ia melaksanakan tugasan sebagai sebuah pesawat MSA.

 

MPA TUDM
Salah sebuah pesawat CN-235 TUDM yang dinaiktaraf kepada versi MSA sedang menjalani ujian penerbangan di kemudahan PT Dirgantara Indonesia (PTDI). Kelihatan Belly Radome dan FLIR telah pun siap dipasang.

 

Kerja-kerja menaiktaraf itu dilakukan oleh PT Dirgantara Indonesia (PTDI) sebagai OEM, dengan ketiga-tiga pesawat MSA itu akan diserahkan kepada TUDM pada tahun ini.

PTDI bekerjasama dengan Integrated Surveillance and Defense, Inc (ISD) yang berpengkalan di Wilsonville, Oregon, Amerika Syarikat dalam membekalkan dan mengintegrasikan Mission Management Systems (MMS) untuk ketiga-tiga unit pesawat CN235-220 yang dimiliki oleh TUDM itu.

Menurut kenyataan oleh TUDM sebelum ini, pelaksanaan program naik taraf pesawat CN-235 itu akan membolehkan ia berkemampuan untuk melaksanakan tugasan Intelligence, Surveillance And Reconaissance (ISR). — DSA

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

MPA TUDM
Gambar kredit @fahmioden
Comments
Loading...