Korea Selatan Operasi KTSSM-1 Tahun Ini, Digelar “Pembunuh Kubu Bawah Tanah Korea Utara”

Sistem peluru berpandu darat-ke-darat KTSSM-1 direkabentuk untuk menembusi kubu-kubu bawah tanah Korea Utara dan memusnahkan sistem-sistem artilleri milik Pyongyang yang berada di dalam kubu-kubu bawah tanah itu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Berikutan keadaan di Semenanjung Korea semakin hangat, Korea Selatan pula mengumumkan bahawa ia akan mula mengerahkan sistem peluru berpandu darat-ke-daratnya dipanggil “Korea Tactical Surface-to-Surface Missile” (KTSSM-1) untuk beroperasi pada tahun ini juga.

Sistem peluru berpandu darat-ke-darat KTSSM-1 direkabentuk untuk menembusi kubu-kubu bawah tanah Korea Utara dan memusnahkan sistem-sistem artilleri milik Pyongyang yang berada di dalam kubu-kubu bawah tanah itu.

KTSSM-1 dan KTSSM-II yang sedang dibangunkan oleh Korea Selatan juga digelar peluru berpandu “pembunuh kubu bawah tanah” Korea Utara.

Kerahan sistem peluru berpandu darat-ke-darat KTSSM-1 untuk dioperasikan pada tahun ini telah diumumkan oleh Kementerian Pertahanan Korea Selatan baru-baru ini.

Seoul mengambil keputusan untuk mengerah dan mengoperasi sistem peluru berpandu darat-ke-darat itu pada tahun ini selepas berjaya menyelesaikan persijilan kualitinya pada tahun lepas.

Korea Selatan mula membangunkan sistem peluru berpandu darat-ke-darat KTSSM-1 sejurus selepas insiden serangan artilleri oleh Korea Utara terhadap Pulau Yeonpyeong pada Nov 2010, yang hampir mencetuskan peperangan di antara kedua-dua negara berjiran itu.

Serangan artilleri oleh Korea Utara terhadap Pulau Yeonpyeong telah mengorbankan dua orang rakyat tempatan dan dua orang anggota tentera Marin Korea Selatan.

Sistem peluru berpandu KTSSM-1 telah diperkenalkan kepada masyarakat awam Korea Selatan pada 2017 dan ia telah dibangunkan oleh agensi pertahanan Korea Selatan, Defence Acquisition and Program Administration (DAPA) serta Hanwha Aerospace.

Peluru berpandu darat-ke-darat KTSSM-1 yang dilancarkan daripada sistem pelancar statik itu berkeupayaan membedil sasaran sejauh di antara 180km hingga 200km dan boleh menembusi kubu-kubu bawah tanah sedalam beberapa meter untuk memusnahkan sebarang sistem persenjataan yang tersimpan di dalamnnya.

Sistem panduannya adalah menggunakan Global Positioning System (GPS).

Pada Januari lepas, Korea Selatan telah melakukan ujian pelancaran KTSSM-II yang akan menggunakan sistem pelancar bergerak

Walaupun KTSSM-1 akan hanya dioperasikan pada tahun ini, namun pihak Korea Selatan telah pun membangunkan KTSSM-II dan mempunyai jarak bedilan yang lebih jauh berbanding varian terdahulunya itu.

Sistem peluru berpandu darat-ke-darat KTSSM-II dijangka memiliki jarak bedilan sejauh 300km dan dilengkapi dengan kepala peledak yang lebih berkuasa tinggi, berkemampuan menembusi kubu-kubu bawah tanah Korea Utara yang terletak jauh lebih dalam daripada permukaan bumi. — DSA

 

featuredKorea SelatanKTSSM-1Kubu
Comments (0)
Add Comment