Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Selepas “Pantsir”, Arab Saudi Peroleh Pula Sistem Pertahanan Udara, “KM-SAM” Korea Selatan

Sebagaimana dilaporkan oleh media pertahanan antarabangsa, Arab Saudi dikatakan telah menandatangani kontrak bernilai US$3.2 billion (RM15.25 billion)  pada November tahun lepas untuk memperolehi sistem pertahanan udara jarak sederhana KM-SAM buatan Korea Selatan itu.

0 2,862

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Hanya beberapa hari selepas diketahui bahawa Arab Saudi muncul menjadi pembeli terbaru sistem pertahanan udara jarak dekat “Pantsir,” kini negara Arab itu dilaporkan telah menjadi pelanggan kepada sistem pertahanan udara jarak sederhana buatan Korea Selatan, KM-SAM.

Sebagaimana dilaporkan oleh media pertahanan antarabangsa, Arab Saudi dikatakan telah menandatangani kontrak bernilai US$3.2 billion (RM15.25 billion)  pada November tahun lepas untuk memperolehi sistem pertahanan udara jarak sederhana itu.

Pembelian oleh Arab Saudi mengukuhkan lagi kedudukan Korea Selatan sebagai negara pembekal senjata utama dunia selepas Amerika Syarikat, Russia dan Eropah.

Keputusan Riyadh untuk memperolehi sistem pertahanan udara jarak sederhana buatan Korea Selatan itu hanya diketahui baru-baru ini ketika Arab Saudi menjadi penganjur pameran pertahanan, World Defense Show 2024.

Negara Arab yang kaya dengan sumber minyak itu dilaporkan memperolehi 10 buah sistem pertahanan udara jarak sederhana itu, mengikuti jejak langkah negara jirannya, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang turut memperolehi sistem yang sama bernilai US$3.5 bilion (RM16.68 bilion) pada Janurai 2022.

KM-SAM
Sistem pertahanan  udara jarak sederhana “KM-SAM”

 

Syarikat LIG Nex1 merupakan pihak yang bertanggungjawab membangunkan sistem pertahanan udara jarak sederhana  itu bersama-sama beberapa syarikat lain seperti Hanwha Systems yang membangunkan sistem radarnya dan Hanwha Aerospace pula membekalkan kenderaan pelancarnya.

Sistem pertahanan udara jarak sederhana ini berkemampuan menembak jatuh pesawat dan peluru-peluru berpandu ballistik, sistem yang amat diperlukan oleh Arab Saudi bagi menangani serangan peluru berpandu ballistik dilancarkan oleh kumpulan bersenjata Houthi Yemen.

Pada Oktober tahun lepas, media melaporkan bahawa Arab Saudi sedang di “peringkat akhir” perbincangan dengan Korea Selatan untuk membeli sejumlah besar senjata daripada negara Asia Timur itu, yang muncul sebagai negara pengeksport senjata keempat terbesar dunia pada 2022.

Ketika taklimat kepada media di Arab Saudi, Timbalan Pengarah Keselamatan Kebangsaan Korea Selatan Kim Tae-hyo berkata, perbincangan di peringkat akhir itu menggambarkan kepentingan hubungan pertahanan di antara kedua-dua negara.

Antara sistem pertahanan Korea Selatan yang menjadi perhatian daripada Arab Saudi adalah sistem pertahanan udara “Cheongung II (KM-SAM Block II)” atau digelar sebagai “Korea Patriot” yang dibangunkan oleh syarikat LIG Nex1.

Sistem KM-SAM Block II yang menjadi sistem asas kepada Korea Air and Missile Defense System (KAMD) mampu menembak sasaran sejauh 70km dengan ketepatan di antara 80 hingga 95 peratus.

KS-SAM
KM-SAM

 

Sistem KM-SAM Block 1 yang direkabentuk untuk hanya menembak jatuh pesawat mula memasuki perkhidmatan tentera Korea Selatan pada 2015.

Syarikat LIG Nex1 turut dikatakan berhasrat menawar sistem KM-SAM Block 1 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mahu mendapatkan sistem MERAD (Medium Range Air Defence System).

Satu ciri yang menarik mengenai sistem pertahanan udara jarak sederhana KM-SAM  adalah ianya merupakan satu-satunya sistem MERAD yang mempunyai sentuhan DNA teknologi dari kedua-dua Blok Barat dan Rusia.

Sistem KM-SAM yang juga dikenali dengan nama Koreanya, “Cheongung” merupakan sistem pertahanan udara jarak sederhana Korea Selatan yang dibangunkan oleh Agency for Defense Development (ADD) dengan bantuan teknikal daripada firma Russia, Almaz-Antey yang terkenal dengan pembangunan sistem pertahanan udara S-300,S-400 dan terkini, S-500.

Komposisi standard sistem KM-SAM mengandungi sebuah Fire Control Centre (FCC), sebuah Multifunction Radar (MFR) dan beberapa Transporter Erector Launcher (TEL) yang boleh membawa sehingga lapan buah peluru berpandu bagi sistem terbabit. 

Radar 3D Pelbagai Fungsi Passive Electronically Scanned Array (PESA) X-Band sistem KM-SAM itu berkemampuan mengesan sasaran sejauh 100km dan track sebanyak 40 sasaran secara serentak. — DSA

To contact email: lulwabyadah@gmail.com 

Comments
Loading...