“KF-21 Boramae Adalah Pesawat Pejuang Generasi 4.9” – KAI

Bercakap dalam temuramah dengan akhbar berbahasa Korea, Ketua Pegawai Eksekutif KAI Kang Goo-young berkata, prestasi pesawat pejuang KF-21 itu adalah lebih baik berbanding pesawat pejuang generasi 4.5 di pasaran ketika ini seperti Rafale dan Eurofighter Typhoon.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat pejuang KF-21 “Boramae” yang sedang dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI) lebih sesuai dikategorikan sebagai pesawat pejuang generasi 4.9 kerana kecanggihan teknologi dan prestasinya yang lebih hampir kepada pesawat pejuang generas kelima, berbanding pesawat pejuang generasi 4.5.

Bercakap dalam temuramah dengan akhbar berbahasa Korea, Ketua Pegawai Eksekutif KAI Kang Goo-young berkata, prestasi pesawat pejuang KF-21 itu adalah lebih baik berbanding pesawat pejuang generasi 4.5 di pasaran ketika ini seperti Rafale dan Eurofighter Typhoon.

“Mengkategorikan pesawat pejuang KF-21 “Boramae” sebagai pesawat generasi 4.5 merendahkan kemampuan dan keupayaannya. Berbanding dengan pesawat generasi 4.5 yang lain seperti Rafale dan Eurofighter Typhoon, prestasinya (KF-21) adalah jauh lebih baik.”

“Jadi saya memanggilnya pesawat pejuang (KF-21) generasi 4.9, yang lebih dekat kepada pesawat pejuang generasi ke-5 (daripada segi prestasi dan kemampuannya),” kata beliau.

Beliau memetik kemampuan Radar Cross Section (RCS) pesawat pejuang KF-21 yang dibangunkan oleh KAI itu adalah lebih adalah lebih baik berbanding pesaing-pesaingnya, meletakkannya setanding dengan pesawat pejuang generasi ke-lima.

“KF-21”

 

RCS milik KF-21 akan jauh lebih rendah berbanding pesaing, menyukarkan lagi radar-radar musuh untuk mengesannya.

KAI meletakkan pesawat pejuang KF-21 itu untuk bersaing dengan pesawat-pesawat pejuang yang berada di pasaran pada ketika ini seperti F-16, Rafale, Eurofighter Typhoon dan juga F-15.  

Kang berkata pesawat pejuang KF-21 berbeza daripada pesaing-pesaingnya kerana pembangunannya menggunakan teknologi Fourth Industrial Revolution Technologies termasuk teknologi canggih Artificial Intelligence (AI) dan Big Data.

Beliau juga mengatakan bahawa pesaing-pesaingnya seperti pesawat pejuang Rafale dan F-16 pada asalnya adalah pesawat pejuang generasi ke-3 sebelum dinaiktaraf kepada pesawat pejuang generasi 4.5.

Pesawat pejuang F-16 Fighting Falcon yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin telah melakukan penerbangan pertamanya pada 1974, iaitu 50 tahun yang lalu manakala pesawat pejuang  Rafale dibangunkan oleh syarikat Dassault Aviation pula melakukan penerbangan pertama pada 1986, kira-kira 38 tahun yang lalu.

Sebaliknya, pesawat pejuang KF-21 “Boramae” hanya melakukan penerbangan sulung dua tahun lepas.  

Radar Active Electronically Scanned Array (AESA) dibangunkan oleh syarikat Korea Selatan, Hanwha untuk digunakan pada pesawat pejuang, KF-21 “Boramae” aircraft.

 

“Pesawat pejuang KF-21 akan mengalami evolusi ke pesawat pejuang generasi kelima dan berpotensi untuk terus meningkat ke tahap pesawat pejuang generasi ke-enam,” kata Ketua Pegawai Eksekutif KAI itu.

Pesawat pejuang KF-21 itu akan dilengkapkan dengan radar AESA (Active Electronically Scanned Array) dan pelbagai sistem serta penderia moden, selari dengan dengan teknologi terkini seperti AI dan banyak lagi.

Satu lagi kelebihan yang dimiliki oleh pesawat pejuang KF-21 adalah kosnya, kerana ia dianggarkan akan lebih murah di antara 30 peratus hingga 40 peratus berbanding pesawat-pesawat pejuang yang bersaing dengannya.

Dan usaha untuk mengurangkan kosnya masih berterusnya menerusi pengaplikasian proses otomasi dalam pembangunnanya.

Pesawat prototaip KF-21 pertama berjaya melakukan penerbangan sulungnya pada 2022 dan selepas itu ia telah memulakan kira-kira 2,000 penerbangan ujian yang perlu dilakukannya untuk menguji pelbagai sistem dan komponen.

KF-21 “Boramae” melakukan ujian pelancaran peluru berpandu udara-ke-udara “METEOR.”

 

Program pembangunan pesawat pejuang KF-21 itu dilaporkan telah mencapai 80 peratus siap pada ketika ini.

KAI akan membina kumpulan pertama 20  buah pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21 “Boramae”, bagi membolehkan pesawat pejuang itu beroperasi untuk Tentera Udara Republik Korea (ROKAF) pada 2026.

Kontrak pembinaan 20 buah pesawat pejuang KF-21 Block 10 bernilai USD$1.41 bilion (RM6.65 billion) itu telah ditandatangani di antara KAI dengan agensi kerajaan Korea Selatan, Defense Acquisition Program Administration (DAPA) baru-baru ini.

KAI merancang untuk membekalkan 20 buah pesawat KF-21 Block 1 yang direkabentuk untuk misi udara-ke-udara pada tahun 2026, diikuti oleh 80 buah pesawat Block 2 itu untuk misi udara-ke-darat pada fasa seterusnya.

Gergasi aeroangkasa Korea Selatan itu juga dilaporkan berhasrat untuk mula mengeksport pesawat pejuang KF-21 “Boramae” kepada pelanggan-pelanggan yang berminat.

KAI telah pun mensasarkan beberapa buah negara sebagai pelanggan berpotensi bagi pesawat pejuang KF-21 terutamanya negara-negara yang telah pun menggunakan pesawat pejuang ringan FA-50/T-50 seperti Thailand, Filipina, Iraq dan Poland serta Malaysia.

Dengan anggaran harga per-unit pada US$65 juta (RM306 juta) sebagaimana yang dilaporkan oleh media-media pertahanan antarabangsa, harga KF-21 (mungkin Block 10) adalah lebih rendah berbanding pesawat-pesawat generasi 4.5 yang lain seperti Rafale dan Eurofighter Typhoon. — DSA

featuredKAIKF-21Korea Selatan