Kerana Trump, Portugal Pertimbang Semula Rancangan Awal Peroleh F-35 Buatan Amerika Syarikat
Menteri Pertahanan Portugal Nuno Melo berkata, memandangkan 28 buah F-16 AM/BM miliknya menghampiri tempoh tamat perkhidmatan maka penggantinya perlu dicari dan memberikan bayangan akan memilih pesawat pejuang buatan Eropah sebagai pengganti, berbanding F-35 sebagaimana dinyatakan sebelum ini.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah negara Eropah, Portugal memutuskan untuk menimbang semula rancangannya membeli pesawat pejuang generasi kelima F-35 Lightning II buatan Amerika Syarikat bagi menggantikan F-16 AM/BM miliknya yang sudah berusia, kerana bimbang terhadap ketidaktentuan dasar-dasar negara itu di bawah Presiden Donald Trump dan juga situasi geopolitik pada ketika ini.
Ketika ditanya oleh media negara itu Publico, Menteri Pertahanannya Nuno Melo berkata, memandangkan 28 buah F-16 AM/BM miliknya menghampiri tempoh tamat perkhidmatan maka penggantinya perlu dicari dan memberikan bayangan bahawa Portugal akan memilih pesawat pejuang buatan Eropah sebagai pengganti.
Tentera Udara Portugal sebelum ini telah menyatakan bahawa pesawat pejuang F-35 merupakan pilihan utama untuk menggantikan 28 pesawat pejuang Lockheed Martin F-16AM/BM dalam armadanya.
“Kita tidak boleh mengabaikan faktor geopolitik dalam membuat keputusan. Pendekatan terbaru Amerika Syarikat dalam konteks NATO … harus mendorong kita untuk menilai pilihan terbaik, kerana kebolehpercayaan sekutu merupakan aset yang lebih penting untuk dipertimbangkan,” kata beliau.
Beliau juga berkata: “Dunia telah berubah … dan sekutu kita ini … mungkin membawa limitasi daripada segi penggunaan, penyelenggaraan, komponen, serta segala aspek bagi memastikan pesawat pejuang itu kekal beroperasi dan boleh digunakan dalam pelbagai senario,” kata Melo.
“Terdapat beberapa pilihan yang perlu dipertimbangkan, khususnya dalam konteks pengeluaran (pesawat pejuang) di Eropah,” katanya.
Walapun beliau tidak memberikan jenis pesawat pejuang yang akan menggantikan F-16 AM/BM milik Tentera Udara Portugal yang sudah berusia itu, tetapi memberikan bayangan bahawa pesawat pejuang Rafale buatan firma aeroangkasa Perancis, Dassault Aviation, Eurofighter Typhoon dan Saab Gripen sedang dikaji.
F-35 buatan Lockheed Martin
Beliau juga menegaskan bahawa pendirian Amerika Syarikat mengenai kerjasama NATO dan keselamatan global perlu diteliti dengan mendalam sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.
Selain itu Menteri Pertahanan Portugal itu menekankan bahawa tahap kebolehpercayaan sekutu merupakan faktor utama dalam menentukan pemilihan pesawat tempur baru.
Beberapa negara anggota NATO menyuarakan kebimbangan mengenai kebergantungan pesawat pejuang F-35 dibangunkan oleh Lockheed Martin terhadap sistem digital bersepadu yang dikawal dari jauh.
Terdapat kebimbangan bahawa sekiranya berlaku pertikaian dengan Washington, pesawat pejuang generasi kelima itu berisiko untuk disekat atau dinyahaktifkan menerusi apa yang dipanggil “Kill Switch” sebagaimana dispekulasikan oleh banyak pihak, walaupun ia tiada bukti boleh dilaksanakan.
Masih belum jelas sama ada keputusan Portugal membatalkan cadangannya untuk memperolehi pesawat pejuang F-35 itu adalah muktamad, memandangkan negara Eropah itusedang bersiap sedia untuk pilihan raya awal susulan kejatuhan kerajaan berhaluan tengah-kanan.
Ketika ini, sebanyak 14 negara anggota NATO telah sama ada sudah membuat tempahan atau mengoperasikan pesawat F-35 buatan Amerika Syarikat itu.
F-16 Portugal
Selain Portugal, perolehan 35 buah pesawat pejuang generasi kelima F-35 Lightning II oleh Jerman turut menjadi tumpuan di negara itu selepas timbul kebimbangan bahawa Amerika Syarikat, di bawah kepimpinan Presiden Donald Trump, berpotensi melumpuhkan pesawat pejuang itu dari jauh (remote) bagi mencapai agenda politiknya.
Kerisauan mengenai kemungkinan Washington menggunakan apa yang disebut sebagai “kill switch” terhadap pesawat pejuang F-35 yang canggih itu bagi menegakkan agenda politiknya semakin meningkat berikutan keputusan terbaru Trump menggantung bantuan ketenteraan terhadap Ukraine bagi memaksanya berdamai dengan Russia.
Perjanjian bernilai €8.3 bilion (RM39.7 billion), yang akan melihat Jerman dibekalkan dengan beberapa pesawat pejuang generasi kelima dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin bermula tahun depan, kini menjadi isu perdebatan lebih luas mengenai kebergantungan negara-negara Eropah terhadap kelengkapan ketenteraan buatan Amerika Syarikat.
Walaupun spekulasi mengenai kewujudan “kill switch” dikawal oleh Washington dalam pesawat pejuang F-35 telah diperkatakan selama bertahun-tahun, perkembangan terkini telah memberikan dimensi baru serta mendesak kepada perbincangan ini.
Laporan bahawa pesawat pejuang F-16 yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat kepada Ukraine gagal beroperasi—bukan akibat dinyahaktifkan secara langsung, tetapi kerana Washington menggantung sokongan terhadap sistem peperangan elektroniknya—telah mengukuhkan kebimbangan bahawa Amerika Syarikat mungkin mempunyai keupayaan untuk mengenakan kawalan yang sama terhadap pesawat-pesawat pejuang F-35 Jerman pada masa hadapan.
Baru-baru ini, Amerika Syarikat enggan mengemaskini komponen peperangan elektronik AN/ALQ-131 yang digunakan pada pesawat F-16 Ukraine dibekalkan oleh Washington bagi menangkis sistem pertahanan udara Russia, satu keputusan yang berpotensi mengurangkan keupayaan tempur pesawat pejuang itu secara ketara.
RafaleEurofighter Typhoon.Gripen
“Jika kita perlu bimbang bahawa Amerika Syarikat akan melakukan perkara yang sama terhadap pesawat pejuang F-35 Jerman pada masa hadapan seperti yang mereka lakukan di Ukraine sekarang, maka isu pembatalan kontrak (pembelian pesawat pejuang F-35 oleh Jerman) itu mungkin perlu dipertimbangkan,” kata bekas Pengerusi Persidangan Keselamatan Munich, Wolfgang Ischinger, seperti yang dipetik oleh Bild.
Ahli-ahli parlimen Jerman turut mula mempersoalkan sama ada mereka tidak sepatutnya membuat perolehan senjata daripada Amerika Syarikat.
“Kita perlu meneliti perkara ini dengan lebih mendalam dan berhati-hati,” kata Ingo Gädechens, bekas anggota tentera dan ahli parti pemerintah kerajaan Jerman, kepada Bild.
“Jika kita membelanjakan sejumlah wang yang begitu besar untuk sistem senjata seperti pesawat pejuang F-35, kita juga mesti mempunyai kebebasan sepenuhnya untuk menentukan bagaimana ia akan digunakan.”