Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal Selam Nuklear Kelas-Yasen Russia, “Mimpi Ngeri” Amerika Syarikat dan NATO

Pada tahun 2018, kapal selam nuklear kelas-Yasen yang pertama iaitu “Severodvinsk” telah dikerah ke perairan Lautan Atlantik dan buat beberapa minggu, pihak Tentera Laut Amerika Syarikat tidak dapat mengesannya walaupun mengerahkan pelbagai aset termasuk kapal-kapal selam sendirinya untuk cuba menjejakinya.

0 826

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Beberapa hari lalu, telah diumumkan bahawa Russia akan mengerah empat buah kapal perangnya ke Cuba yang bersempadan dengan Amerika Syarikat untuk melakukan latihan bersama di perairan Carribean minggu depan.

Walaupun Washington menyatakan bahawa kerahan empat buah perang Russia ke Cuba “tidak membimbangkan” dan “tidak mengancam keselamatannya”, namun ia menyifatkan kerahan kapal-kapal perangnya oleh Moscow itu sebagai suatu perkembangan yang besar.

Menurut kerajaan Cuba, kapal-kapal perang Russia yang akan terlibat dalam kunjungan itu adalah kapal friget “Admiral Gorshkov”, kapal selam nuklear kelas-Yasen “Kazan”, kapal bekalan bahan api “Pashin” dan kapal tunda penyelamat (rescue tug boat) “Chiker”.

Namun bagi pemerhati ketenteraaan antarabangsa, diantara keempat-empat kapal perang Russia itu yang akan ke Cuba itu, kehadiran kapal selam nuklear kelas-Yasen “Kazan” seberat 13,800 tan itu ke Havana pada minggu depan adalah sesuatu yang “amat menarik”.

Pihak Amerika Syarikat juga sudah pastinya akan memberikan perhatian yang mendalam terhadap kehadiran kapal selam nuklear kelas-Yasen “Kazan” itu ke Cuba minggu depan.

Ini kerana kapal selam nuklear kelas-Yasen “Kazan” itu bukanlah kapal selam yang “calang-calang”, kerana ia adalah antara kapal selam paling moden Russia memandangkan Moscow hanya mentauliahkan kapal selam itu pada 2021.

Yasen
Kapal selam kelas-Yasen

 

“Kazan” merupakan kapal selam kelas-Yasen yang kedua ditauliahkan oleh Russia, menyusuli kapal selam kelas itu yang pertama, “Severodvinsk.” 

Secara keseluruhannya, Russia akan memiliki di antara lima hingga tujuh buah kapal-kapal selam kelas-Yasen di dalam armada kapal selam penyerangnya.

Kapal selam nuklear kelas-Yasen itu adalah antara kapal selam terbaru Russia dan disifatkan oleh pemerhati ketenteraan Barat sebagai suatu “mimpi ngeri” kepada Washington dan negara-negara pakatan ketenteraan, NATO.

Mengapa kapal selam nuklear kelas-Yasen dianggap sebagai “mimpi negara” kepada Amerika Syarikat dan negara-negara NATO?  

Jawapannya adalah kerana: kapal selam nuklear kelas-Yasen itu adalah terlalu senyap dan membuatkannya terlalu sukar untuk dikesan oleh musuh-musuhnya terutama Amerika Syarikat dan sekutunya.

Media Amerika Syarikat menyifatkan kapal selam kelas-Yasen seperti “Kazan” itu terlalu senyap seperti seekor tikus.Yasen

Pada tahun 2018, kapal selam nuklear kelas-Yasen yang pertama iaitu “Severodvinsk” telah dikerah ke perairan Lautan Atlantik dan buat beberapa minggu, pihak Tentera Laut Amerika Syarikat tidak dapat mengesannya walaupun mengerahkan pelbagai aset termasuk kapal-kapal selam sendirinya untuk cuba menjejakinya.

Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat sendiri mengakui bahawa ia telah gagal mengesan kapal selam kelas-Yasen itu selama beberapa minggu di Lautan Atlantik.

Bagi pegawai-pegawai kanan Tentera Laut Amerika Syarikat, kegagalan mengesan dan menjejaki kapal selam Russia ketika waktu aman adalah sesuatu yang amat memeningkan, tetapi sekira gagal mengesannya pada waktu peperangan, maka ia disifatkan sebagai suatu “kegagalan yang membunuh.”

Salah seorang pegawai paling kanan Tentera Laut Amerika Syarikat amat teruja dan terpegun dengan kemampuan kapal selam nuklear kelas-Yasen itu sehingga ia membina model kapal selam Russia dipejabatnya untuk sentiasa mengingatkannya tentera apa yang sedang dihadapi oleh Amerika Syarikat.

“Kita akan berhadapan dengan lawan yang hebat. Seorang hanya perlu melihat kepada kapal selam nuklear kelas-Yasen ‘Severodvinsk’, versi Russia bagi kapal selam peluru berpandu.”

“Saya amat kagum dengan kapal selam ini sehinggakan saya membina modelnnya berpandukan kepada data-data tidak dirahsiakan,” menurut Laksamana Dave Johnson kepada media Amerika Syarikat pada 2021.

Yasen

Tsirkon
Peluru berpandu Hypersonic “Tsirkon” yang dibangunkan oleh NPO Mashinostroyenia.

 

Kapal selam nuklear kelas-Yasen  yang boleh mencapai kelajuan 35 knot itu dilengkapi dengan reaktor nuklear generasi keempat dipanggil KTP-6 yang membuatkannya “amat senyap” ketika beroperasi kerana ia mengurangkan tahap kebisingan kepada paling minimum.

Dalam temuramah dengan rancangan 60 minutes itu, Laksamana Tentera Laut Amerika Syarikat itu mengakui bahawa Russia memiliki angkatan kapal selam yang amat berkeupayaan dan sebarang peningkatan aktiviti kapal-kapal selam Russia amat dibimbanginya.

Bercakap mengenai kapal selam nuklear kelas-Yasen “Severodvinsk”, beliau berkata, ia adalah kapal selam yang baru dan amat berkeupayaan serta amat senyap.

“Dan faktor ‘senyap’ itu adalah faktor yang paling penting dalam peperangan kapal selam,” katanya.

Selain kelebihannya kerana “amat senyap” ketika menyelam, kapal selam nuklear kelas-Yasen itu juga dilengkapi dengan peluru berpandu hypersonik “Tsirkon” yang berkemampuan meluncur selaju lebih daripada Mach 10 sebaik sahaja dilancarkan.

Dengan kelajuan Mach 10, tidak ada sistem pertahanan udara yang boleh menangkis atau memintasnya dan itulah yang menambah kepeningan di kalangan perancang-perancang ketenteraan Amerika Syarikat dan NATO.

 

Jarak bedilan peluru berpandu hypersonik “Tsirkon” adalah kira-kira 2,000km dan ia boleh dilengkapi dengan kepala peledak nuklear.

Selain itu kapal selam nuklear kelas-Yasen “Kazan” itu juga dilengkapi dengan peluru berpandu kruis “Kalibr”.

Russia tidak mengatakan berapa banyak peluru berpandu kruis “Kalibr” yang bakal di bawa oleh kapal selam nuklear kelas-Yasen termasuk “Kazan” tetapi kapal selam kelas-Yasen yang pertama iaitu “Severodvinsk” diketahui membawa sebanyak 40 peluru berpandu “Kalibr”.

Kapal selam nuklear kelas-Yasen seperti “Kazan” itu bagaimanapun, bukan hanya membawa peluru berpandu “Kalibr” dan “Tsirkon” tetapi ia juga membawa peluru berpandu lain seperti “Oniks”. — DSA

Comments
Loading...