“Kami Tidak Membuli Negara-Negara Kecil” – Presiden China Xi Jinping

Presiden China Xi Jinping berkata Beijing tidak akan sesekali memulakan hegemoni atau mengambil kesempatan daripada saiznya yang besar untuk “menakut-nakutkan” negara yang lebih kecil.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Presiden Xi Jinping memberitahu pemimpin-pemimpin ASEAN bahawa China tidak akan “membuli” negara-negara jirannya yang lebih kecil, walaupun ketegangan memuncak berkenaan isu Laut China Selatan.

Bercakap pada sidang kemuncak ASEAN-China semalam yang diadakan secara virtual, presiden China itu berkata, Beijing tidak akan sesekali membina hegemoni pengaruh atau mengambil kesempatan daripada saiznya yang besar untuk “menakut-nakutkan” negara yang lebih kecil.

Sebaliknya, China akan bekerjasama dengan ASEAN untuk menghapuskan “gangguan.”

“China adalah dan akan sentiasa menjadi jiran yang baik, rakan baik dan rakan kerjasama kepada ASEAN,” kata Xi Jinping sebagaimana dipetik oleh agensi berita nasional China, Xinhua pada sidang kemuncak itu.

Menurut presiden China itu lagi,  Beijing dan ASEAN telah berjaya mengenepikan ketegangan akibat Perang Dingin, yang menyaksikan persaingan antara kuasa-kuasa besar serta peperangan di Vietnam.

Presiden Xi Jinping

 

China dan ASEAN itu katanya, telah bersama-sama memelihara kestabilan serantau.

Tindakan China yang mendakwa sebahagian besar daripada Laut China Selatan itu sebagai miliknya telah meningkatkan ketegangannya dengan negara-negara ASEAN seperti Malaysia, Vietnam, Brunei dan Filipina.

Baru-baru ini, China turut mengerah kapal penyelidiknya, Da Yang Hau yang diiringi oleh dua buah kapal pengawal pantainya untuk menceroboh perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia untuk menganggu aktiviti cari gali minyak dan gas yang dilakukan oleh syarikat-syarikat Malaysia bersama rakan kongsi asingnya.

Bermula daripada bulan  September, kapal “Da Yang Hao” dan kapal-kapal pengawal pantai China itu menghabiskan masa kira-kira tiga minggu di dalam perairan ZEE negara untuk melakukan pelbagai aktiviti sambil dipantau oleh asset-aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Sasaran utama kapal-kapal China itu adalah Lapangan Gas Asli Kasawari yang terletak di dalam Blok SK316 dan kawasan perairan ZEE milik negara atau kira-kira 200km daripada bandar Bintulu di Sarawak.

Lapangan Gas Asli Kawasari yang sedang dibangunkan oleh PETRONAS.

 

Ditemui pada November 2011, Lapangan Gas Asli Kasawari menyimpan kira-kira 3 juta Trillion Cubic Feet (TCF) gas asli dan lapangan gas itu kini sedang dibangunkan oleh anak syarikat minyak dan gas negara iaitu, PETRONAS Carigali.

Lapangan Gas Asli Kasawari itu dijangka mula beroperasi pada tahun 2023, di mana ia dijangka akan menghasilkan sehingga 900 juta kaki padu gas asli dalam sehari.

Salah sebuah pesawat China yang dipintas oleh TUDM di Zon Maritim Malaysia pada akhir Mei lepas.(kredit TUDM)

Kementerian Luar Malaysia telah memanggil Duta Besar China sebanyak dua kali pada tahun ini, dengan yang pertama berlaku selepas China menghantar 16 buah pesawat tenteranya untuk menceroboh Zon Maritim Malaysia (ZMM) dan terbang di ruang udara Beting Patinggi Ali sebelum berpatah balik.

Pada 4 Oktober lepas, negara sekali lagi memanggil duta besar China itu untuk menyatakan bantahan terhadap pencerobohan kapal-kapal penyelidik dan pengawal pantai negara itu di perairan ZEE Malaysia di Sabah dan Sarawak.

Beijing mendakwa hampir 90 peratus daripada keluasan Laut China Selatan itu sebagai miliknya.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

ASEANBuliChinaXi Jinping