Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

China Agresif Pasarkan Pesawat FLIT/LCA “L-15”, Tetapi Kurang Sambutan

Sejak tahun 2006 itu, hanya negara Afrika iaitu Zambia menjadi pelanggan luar tunggal yang menggunakan pesawat L-15  buatan China itu apabila ia membeli enam buah pesawat terbabit dengan pesawat pertama diterimanya pada 2016. China juga cuba tarik perhatian Malaysia dengan pesawat L-15 ini.

0 9,861

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Walaupun telah diperkenalkan kepada dunia seawal tahun 2006, namun pesawat L-15 yang dibangunkan oleh China dilihat kurang berjaya dalam menarik pelanggan lain, selain Tentera Udara China yang menggunakan kira-kira 100 buah pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) itu serta Zambia.

Sejak tahun 2006 itu, hanya negara Afrika iaitu Zambia menjadi pelanggan luar tunggal yang menggunakan pesawat L-15  buatan China itu apabila ia membeli enam buah pesawat terbabit dengan pesawat pertama diterimanya pada 2016.

“Banyak yang telah berubah sejak pesawat L-15 ini diperkenalkan kepada khalayak umum pada 2009, Kini dengan rekabentuknya yang aerodinamik serta kemampuan avionik, pesawat ini memberikan keupayaan pesawat pejuang sebenar,” menurut pegawai daripada China National Aero-Technology Import and Export Technology (CATIC) kepada portal pertahanan antarabangsa, Breaking Defense ketika pameran Dubai Air Show 2021 yang berlangsung baru-baru ini.

Antara peningkatan terbaru yang dilakukan terhadap pesawat L-15 itu adalah sistem perancangan latihan dan misi yang termaju, selain dilengkapkan dengan meriam 23mm, small diameter bomb, peluru berpandu udara-ke-udara jarak dekat dan sederhana serta bom panduan laser seberat 250kg dan 500kg.

Pesawat L-15 ini direkabentuk untuk memberikan latihan kepada lanjutan kepada juruterbang-juruterbang pesawat pejuang generasi ke-4 dan ke-5, selain melaksanakan misi-misi kombat seperti air combat, air strike, air reconnaissance dan Forward Air Control missions.

L-15
Pesawat L-15 buatan China.

 

Kegagalan China menarik lebih banyak pelanggan untuk menggunakan pesawat FLIT/LCA “L-15” selain daripada Tentera Udara Zambia tidak menghalang negara itu daripada mencuba nasib di rantau Asia Tenggara pula.

CATIC telah disahkan sebagai salah satu pembida yang menyertai tender Kementerian Pertahanan untuk perolehan 18 buah pesawat FLIT/LCA untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

TUDM dijangka memperolehi 18 lagi buah pesawat FLIT/LCA pada peringkat kedua perolehan, membawa bilangan keseluruhan pesawat itu yang bakal dibeli oleh Malaysia kepada 36 buah untuk menggantikan pesawat-pesawat Hawk 108 dan 208 serta Aermacchi MB-339CM.

Laporan media tempatan menyebut bahawa China dijangka akan mengemukakan tawaran yang amat menarik kepada Malaysia untuk memastikan pesawat-pesawatnya iaitu L-15 dan J-17 menjadi pilihan dalam tender Kementerian Pertahanan itu.

Pesawat L-15 itu telah dibangunkan oleh , Hongdu Aviation Industry Group Ltd (HAIG) manakala bagi pesawat J-17 “Thunder” pula telah dibangunkan oleh Pakistan Aeronautical Complex/Chengdu Aircraft Industry Group.

Harga bagi sebuah pesawat L-15 dianggar di antara US$10 juta hingga US$15 juta sebuah (RM40 juta hingga RM60 juta).

Protaip pesawat supersonic L-15B “Falcon” yang dibangunkan oleh syarikat Hongdu berpengkalan di Nanchang itu mula terbang pada pada 2006, dijana oleh dua enjin yang diperbuat oleh syarikat Ukraine “Ivchenko-Progress”, AL-222 turbofans.

Pesawat L-15B itu direkabentuk dengan kelengkapan seperti pesawat generasi ke-4 termasuk glass cockpit dengan multi-fuction display, HOTAS dan lain-lain untuk menyediakan juruterbang-juruterbang Tentera Udara China menerbangkan pesawat-pesawat pejuangnya yang lebih canggih seperti Su-30, Su-35, J-10, J-16 dan J-20.

L-15

Dengan dua enjin turbofans buatan Ukraine itu, pesawat L-15B China ini mampu mencapai kelajuan sehingga 1.4 Mach, manakala radius operasi pesawat pula adalah sekitar 3,100km (bergantung kepada bebanan yang dibawanya. Jika semakin berat bebanan dibawanya, maka semakin pendeklah jarak operasi pesawat).

Pesawat L-15B yang pada masa ini melengkapi tujuh skuadron FLIT/LCA Tentera Udara China dan turut dilengkapkan dengan radar jenis “Passive Electronically Scanned Array (PESA)” yang membolehkan ia mengesan sama ada sasaran di udara atau darat sejauh kira-kira 111km.

Ia juga dilengkapi dengan Radar Warning Receiver di bahagian ekornya bagi membolehkan pesawat mengelak serangan peluru berpandu darat ke udara, serta IFF (Identification Friend of Foe) bagi mengelak insiden tertembak pesawat sahabat.

Pesawat FLIT/LCA buatan China ini juga dikatakan berkemampuan untuk membawa peluru-peluru berpandu udara-ke-udara daripada jenis PL-10 (short range) dan PL-12 Beyond Visual Range (BVR) yang berkemampuan membedil sasaran udara sejauh 62 batu.

Walaupun pesawat FLIT/LCA itu menyertai pameran Dubai Airshow 2021, tetapi pemerhati menjangkakan peluangnya untuk memikat mana-mana negara Timur Tengah untuk menggunakan pesawat L-15 adalah amat tipis

“Negara-negara Timur Tengah mempunyai sumber kewangan yang kukuh, jadi mereka boleh membeli mana-mana pesawat yang mahal dan benar-benar berkeupayaan,” katanya sambil menambah, adalah sukar untuk pesawat L-15 buatan China itu untuk bersaing dengan pesawat-pesawat FLIT/LCA buatan syarikat Barat.

China sepatutnya menumpukan perhatian kepada negara-negara Afrika Utara seperti Mesir dan Algeria yang banyak menggunakan pesawat pejuang Russia.

FLIT

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...