Ismail Haniyeh Terbunuh Bom Diseludup Masuk Ke Rumah Didiaminya Di Teheran Meletup

Akhbar terkenal New York Times menyatakan bahawa perancangan untuk membunuh Ismail Haniyeh itu telah dilakukan selama beberapa bulan sebelum itu dan kejayaannya disifatkan sebagai suatu kegagalan besar oleh agensi perisikan Iran dan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Ketua Biro Politik Hamas,Ismail Haniyeh terbunuh apabila sebutir bom yang diseludup masuk ke dalam rumah didudukinya di ibu negara Iran, Teheran diletupkan secara kawalan jauh, menurut akhbar terkenal Amerika Syarikat, New York Times (NYT).

NYT yang memetik kenyataan tujuh orang pegawai Timur Tengah berkata, bom terbabit diseludup masuk ke dalam rumah didiami oleh Ismail kira-kira dua bulan lepas.

Mereka juga menyatakan bahawa perancangan untuk membunuh Ismail itu telah dilakukan selama beberapa bulan sebelum itu dan kejayaannya disifatkan sebagai suatu kegagalan besar oleh agensi perisikan Iran dan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran.

“Bagaimana bahan letupan itu boleh diseludup masuk ke dalam bangunan yang diurus dan dikawal ketat oleh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran.”

“Kor Pengawal Revolusi Islam Iran juga mengadakan pertemuan rahsia dan mesyuarat di bangunan itu, yang menunjukkan kegagalan besar di pihak perisikan Iran.”

Menurut NYT, pemimpin Palestin itu kerapkali mendiami rumah itu setiap kali beliau berkunjung ke Teheran, menurut pegawai-pegawai Timur Tengah yang dipetik oleh NYT itu. Ismail dan anggota lain Biro Politik Palestin berpangkalan di Doha, Qatar.

Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh

 

Kediaman didiami oleh pemimpin Palestin itu terletak dalam kawasan dinamakan “Neshat” dan diuruskan dan dikawal selia daripada segi kawalan keselamatan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran, yang merupakan unit elit tentera Iran.

Neshat terletak di utara Teheran.

Menurut akhbar Amerika Syarikat itu, bom yang membunuh pemimpin Palestin itu diletupkan menggunakan kawalan jauh sebaik sahaja Ismail disahkan berada di dalamnya, menyebabkan beliau dan pengawal peribadinya terbunuh.

Letupan bom di rumah diduduki oleh Ismail itu turut mengegarkan keseluruhan bangunan itu dan menyebabkan sebahagian struktur luarannya runtuh, sebagaimana diberitahu oleh pegawai-pegawai Iran yang merupakan anggota Kor Pengawal Revolusi Iran kepada NYT.

Pegawai-pegawai Iran dan Hamas mendakwa serangan bom yang membunuh Ismail itu didalangi oleh Israel dan kenyataan itu dipersetujui oleh pegawai-pegawai keselamatan Amerika Syarikat, sebagaimana dinyatakan oleh NYT.

Setakat ini, kerajaan Israel dipimpin oleh Benjamin Netanyahu belum mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengesahkan atau menafikan pembabitannya dalam pembunuhan pemimpin utama Palestin itu.

Sebelum ini, terdapat banyak spekulasi tentang kaedah bagaimana Ismail dibunuh.

Antaranya adalah menerusi serangan peluru berpandu yang dilancarkan oleh pesawat pejuang daripada luar ruang udara Iran.

Satu lagi spekulasi popular tentang bagaimana pemimpin Palestin itu dibunuh adalah menerusi serangan peluru berpandu yang dilancar daripada sebuah bangunan berdekatan terhadap kediaman didiami oleh Ismail.

Berikutan kematian Ismail itu, tempatnya telah diambilalih oleh Khalid Meshaal, sebagaimana diumumkan oleh Hamas. — DSA

featuredIranIsmail HaniyehTeheran
Comments (0)
Add Comment