Iran Dilapor Bekal Peluru Berpandu Ballistik Jarak Dekat “Fath-360” Pada Russia

Anggota tentera Russia dilaporkan kini berada di Iran bagi menerima latihan untuk mengendalikan peluru berpandu ballistik jarak dekat “Fath-360”, yang didakwa bakal dibekalkan oleh Teheran kepada Moscow.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Anggota tentera Russia dilaporkan kini berada di Iran bagi menerima latihan untuk mengendalikan peluru berpandu ballistik jarak dekat “Fath-360”, yang didakwa bakal dibekalkan oleh Teheran kepada Moscow.

Menurut sumber-sumber perisikan yang dipetik oleh agensi berita antarabangsa, Reuters, menyatakan bahawa Iran akan membekalkan peluru berpandu itu kepada Russia bagi digunakan dalam konfliknya dengan Ukraine.

“Pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan Russia dilaporkan telah menandatangani perjanjian dengan Iran pada Disember tahun lepas di Teheran bagi perolehan peluru berpandu ballistik jarak dekat, Fath-30 dan satu lagi peluru berpandu yang dibangunkan oleh Aerospace Industries Organisation (AIO) dipanggil Ababil,” menurut sumber perisikan itu.

Memetik pelbagai sumber perisikan, agensi berita antarabangsa itu menyatakan bahawa anggota tentera Russia telah beberapa kali mengunjungi Iran bagi mempelajari cara-cara pengendalian peluru berpandu ballistik jarak dekat, Fath-360 itu.

Peluru berpandu ballistik jarak dekat Fath-360 itu yang dipandu oleh satelit itu turut dilengkapi dengan peledak seberat 150kg dan berkemampuan membedil sasaran sejauh 120km.

Satu daripada sumber perisikan itu memberitahu Reuters itu bahawa langkah seterusnya selepas ini adalah bagi Iran untuk menghantar peluru-peluru berpandu ballistik itu ke Russia bagi digunakan dalam konfliknya dengan Ukraine.

Walaupun Russia juga memiliki pelbagai peluru berpandu ballistik, namun perolehan peluru berpandu daripada Iran itu membolehkan Moscow menumpukan peluru berpandu buatannya untuk serangan-serangan jarak jauh manakala peluru berpandu buatan Iran itu digunakan untuk serangan-serangan jarak dekat.

Amerika Syarikat menyatakan bahawa ia akan bertindak dengan pantas sekiranya Iran meneruskan rancangannya untuk membekalkan Russia dengan peluru-peluru berpandu ballistik jarak dekat itu.

Wakil tetap Iran di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula menafikan laporan oleh Reuters.

Pada Februari lepas, Iran dilaporkan telah menghantar kira-kira 400 buah peluru berpandu darat-ke-darat berkuasa tinggi kepada Russia, dalam satu lagi bukti menunjukkan hubungan pertahanan dan ketenteraan yang semakin rapat di antara kedua-dua negara itu.

Menurut pakar-pakar ketenteraan, peluru berpandu darat-ke-darat yang dihantar Iran ke Russia itu berkeupayaan membedil sasaran dengan tepat daripada kedudukan sejauh di antara 300km hingga kepada 700km.

Menurut laporan, Iran mula menghantar peluru-peluru berpandu darat-ke-darat itu kepada Russia pada Januari selepas rundingan di antara kedua-dua pihak di Teheran dan Moscow berakhir pada tahun lepas.

Iran dipercayai menggunakan kapal-kapal laut di laluan Laut Kaspia dan pesawat pengangkut untuk menghantar peluru-peluru berpandu terbabit ke Russia.

Bagi membantu kempen ketenteraan Russia di Ukraine, Iran dan Korea Utara dilaporkan telah menghantar pelbagai jenis persenjataan untuk membantu rakannya itu termasuk pesawat tanpa pemandu, peluru-peluru artilleri, roket dan lain-lain.

Antaranya adalah dron berani mati “Shahed-136” buatan Iran yang telah digunakan dengan berkesan oleh Russia untuk menyerang bandar-bandar Ukraine serta infrastruktur-infrastruktur kritikal milik negara Eropah Timur itu.

Russia dan Iran juga dilaporkan bekerjasama untuk mendirikan kemudahan pembinaan dron-dron “Shahed” di bandar Yelabuga, selatan Moscow.– DSA

Fath-360featuredIranRussia
Comments (0)
Add Comment