(VIDEO) Iran Dedah “Bandar Peluru Berpandu” Bawah Tanah, Simpan Ribuan Peluru Berpandu

(VIDEO) Menurut stesen televisyen tempatan Iran , bandar peluru berpandu yang didedahkan oleh tentera Iran itu menyimpan ribuan peluru berpandu bahan api pepejal (liquid-fuelled) termasuk Emad, Qadr dan Qiam yang merupakan antara peluru-peluru berpandu strategik Iran.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Iran telah mendedahkan “Bandar Peluru Berpandu” bawah tanah terbaru miliknya, yang dikatakan terletak kira-kira 500 meter di dalam gunung dan menyimpan ribuan peluru berpandu yang boleh dilancarkan pada bila-bila masa.
Majlis pendedahan “Bandar Peluru Berpandu” terbaru Iran ini telah dilakukan oleh Panglima Kor Pengawal Revolusi Islam Iran Mejar Jeneral Hossein Salami dan Komander Angkatan Aeroangkasa Kor Pengawal Revolusi Islam Iran Brig Jeneral Amir Ali Hajizadeh.
Menurut stesen televisyen tempatan Iran , bandar peluru berpandu bawah tanah yang didedahkan oleh tentera Iran itu menyimpan ribuan peluru berpandu bahan api pepejal (liquid-fuelled) termasuk Emad, Qadr dan Qiam yang merupakan antara peluru-peluru berpandu strategik Iran.
Ia juga menyatakan bahawa Bandar Peluru Berpandu itu telah digunakan sebelum ini untuk melakukan serangan terhadap Israel menerusi operasi True Promise-1 dan True-Promise 2.
Peluru-peluru berpandu yang disimpan di Bandar Peluru Berpandu bawah tanah itu telah dilancarkan terhadap Pangkalan Udara Nevatim di Israel, yang menempatkan puluhan pesawat pejuang generasi kelima negara Yahudi itu, F-35.
Pemerhati menyatakan Pangkalan Udara Nevatim Israel tidak dapat digunakan sehingga kini akibat serangan peluru berpandu Iran itu.

(Rakaman video oleh stesen televisyen Iran)

Video yang ditayangkan oleh stesen televisyen Iran itu hanya memaparkan kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan kompleks “Bandar Peluru Berpandu” itu, manakala 90 peratus selebihnya tidak ditayangkan dan terus menjadi rahsia.
Pegawai-pegawai kanan tentera Iran memberitahu media negara itu bahawa kemampuan peluru berpandu negara itu terus bertambah setiap hari, dengan kemampuan-kemampuan baru diperkenalkan setiap hari.
“Musuh menyangka keupayaan pengeluaran (peluru berpandu) kami telah terhenti, tetapi kekuatan peluru berpandu kami semakin berkembang setiap hari.”
“Dari segi kuantiti, kualiti, keupayaan dan reka bentuk, peluru berpandu kami sedang mengalami pertumbuhan dan penambahbaikan yang ketara. Kemajuan ini bermakna Pasukan Aeroangkasa Kor Pengawal Revolusi Islam Iran akan memperkenalkan peluru berpandu dan pangkalan baru dalam masa terdekat,” kata Mejar Jeneral Salami.
Sementara itu Brig Jen Amir Ali Hajizadeh berkata, hanya sebahagian kecil bandar-bandar di Iran tidak mempunyai pangkalan peluru berpandu bawah tanah.
Pelancaran peluru berpandu ballistik Iran

 

“Bilangan Bandar Peluru Berpandu adalah amat besar, sehingga sekiranya ia dapat dikesan, musuh tidak akan mampu menangkisnya. Apa yang ada lihat adalah hanya sebahagian kecil (tip of an iceberg),” kata beliau.
Menurut para pemerhati, Bandar Peluru Berpandu yang didedahkan oleh Iran merupakan Bandar Peluru Berpandu Mega yang dipercayai terletak di Isfahan dan dikenali sebagai “Shahid Ahmad Kazemi.”
Bandar Peluru Berpandu Shahid Ahmad Kazemi itu dipercayai menyimpan sehingga 2,000 peluru berpandu ballistik jarak jauh daripada pelbagai jenis.
Dengan keupayaan untuk menyimpan ribuan peluru berpandu, Bandar Peluru Berpandu Shahid Ahmad Kazemi adalah amat luas dengan kubu-kubu diperkukuhkan dan seseorang itu memerlukan kenderaan untuk bergerak daripada satu tempat ke tempat lain di dalam pangkalan peluru berpandu bawah tanah itu.
Bandar Peluru Berpandu itu juga menempatkan Pusat Kawalan dan Pemerintahan untuk operasi peluru berpandu serta menyimpan bekalan makanan dan kediaman untuk ratusan atau ribuan anggota tentera.

Usaha untuk memusnahkan Bandar Peluru Berpandu seperti Shahid Ahmad Kazemi itu memerlukan usaha yang amat-amat besar daripada musuh termasuk kemungkinan terpaksa menggunakan peluru berpandu dengan kepala peledak nuklear.
Pemerhati menyatakan menggunakan peluru berpandu “bunker-busting” tidak mencukupi, sebagaimana yang disaksikan di Yemen. — DSA
Bandar Peluru BerpanduIranIsfahanKor Pengawal Revolusi Islam Iran
Comments (0)
Add Comment