India Tambah Beli Minyak Kelapa Sawit, Malaysia Pula Diminta Pilih “Tejas”

Kenyataan pesuruhjaya tinggi India ke Malaysia itu diibaratkan sebagai “serampang dua mata” kerana disamping berhasrat meningkatkan import minyak sawit daripada negara Asia Tenggara itu , New Delhi  mahu memastikan pesawat “Tejas” keluaran syarikat Hindustan Aeronautics Ltd (HAL) itu berjaya memperolehi pasaran eksportnya yang pertama iaitu Malaysia.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – India mahu membeli lebih banyak minyak sawit daripada Malaysia dan menawarkan beras, gula dan sistem persenjataan keluaran syarikat pertahanannya sebagai “bayaran” terhadap minyak sawit yang diperolehinya daripada negara ini.

Perkara itu dinyatakan oleh Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia,B N Reddy dalam temuramah dengan media kewangan tempatan, The Edge yang disiarkan hari ini.

Sudah tentu kenyataan pesuruhjaya tinggi India ke Malaysia itu diibaratkan sebagai “serampang dua mata” kerana disamping berhasrat meningkatkan import minyak sawit daripada negara Asia Tenggara itu , New Delhi  mahu memastikan pesawat “Tejas” keluaran syarikat Hindustan Aeronautics Ltd (HAL) itu berjaya memperolehi pasaran eksportnya yang pertama iaitu Malaysia.

Ya, pesawat “Tejas” itu hanya digunakan oleh Tentera Udara India (itu pun selepas melalui proses pembangunan yang bermasalah dan berdekad lamanya).

Tiada negara lain menggunakan pesawat Tejas itu, walaupun HAL dan kerajaan India berusaha keras untuk memasarkannya.

India mensasarkan Malaysia sebagai pasaran eksport yang pertama bagi pesawat Tejas keluarannya dan di dalam usahanya untuk memastikan matlamat itu tercapai, ia kini menggunakan minyak kelapa sawit untuk memancing Kuala Lumpur.

Nampaknya, India cuba menawarkan pembelian lebih banyak minyak sawit daripada Malaysia – tetapi tawaran itu seolah-olah bersyarat iaitu negara perlu memilih pesawat “Tejas” sebagai pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) pilihan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Admin lihat kenyataan B N Reddy itu seperti strategi terdesak India untuk memastikan Malaysia memilih pesawat “Tejas” keluaran HAL dalam persaingan untuk membekalkan 18-36 pesawat FLIT/LCA bernilai di antara RM4 bilion hingga RM8 bilion kepada TUDM.

Menggunakan kelapa sawit sebagai “umpan” supaya Malaysia memilih pesawat Tejas dalam persaingan tender bagi pesawat FLIT/LCA untuk TUDM itu.

Mendapat pasaran eksport yang pertama bagi “Tejas” adalah sesuatu yang amat-amat membanggakan bagi India dan industri pertahanan tempatannya, terutamanya dalam persaingan dengan musuh ketatnya iaitu China dan Pakistan.

Adakah kerajaan Malaysia akan “termakan umpan” oleh India itu dan seterusnya memilih Tejas di atas dasar mahu meningkatkan eksport minyak kelapa sawit kepada negara Asia Selatan yang berpenduduk padat itu?

Admin dan pemerhati pertahanan tempatan sebenarnya tiada masalah sekiranya TUDM benar-benar mahukan Tejas sebagai pesawat FLIT/LCA di atas dasar dan spesifikasi teknikal serta kemampuannya.

Tetapi bagaimana pula sekiranya TUDM mahukan pesawat FLIT/LCA yang lain tetapi terpaksa menerima sekiranya kerajaan pada akhirnya memilih Tejas keluaran India di atas sebab mahu meningkatkan eksport minyak sawit kepada India?

Adakah TUDM akan menggunakan sistem yang ia sendiri “tidak mahu”?

Pesawat FA-50 keluaran Korea Aerospace Industries (KAI) juga adalah pesaing dalam tender pesawat FLIT/LCA TUDM.

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Walau apapun, keputusan akhir mengenai pembelian sesuatu sistem persenjataan tidak semestinya terletak di tangan Kementerian Pertahanan atau TUDM,Tentera Darat atau Tentera Laut Diraja Malaysia.

Kita tengok, adakah “umpan” pembelian lebih banyak minyak kelapa sawit oleh India itu berjaya mempengaruhi keputusan negara tentang pembelian pesawat FLIT/LCA itu? — DSA

 

featuredKelapa SawitTejasTUDM
Comments (0)
Add Comment