Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Faktor Enjin Bakal Menyebelahi “Tejas”, “FA-50” Dalam Saingan FLIT/LCA TUDM?

Memandangkan pesawat-pesawat FA-50 dan Tejas menggunakan enjin General Electric F404, sama seperti enjin yang digunakan pesawat F/A-18D Hornet TUDM, dikatakan adalah "frontrunner" dalam persaingan tender FLIT/LCA TUDM.

0 11,703

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Laporan media tempatan baru-baru mengatakan bahawa enam buah syarikat pembuat pesawat disahkan menyertai tender terbuka Kementerian Pertahanan untuk memperolehi 18 buah pesawat Fighter Lead-In/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA)  untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dianggarkan bernilai kira-kira RM4 bilion.

Menurut akhbar itu pesaing-pesaing bagi kontrak Malaysia itu adalah Korea Aerospace Industries (KAI) yang bekerjasama dengan syarikat tempatan, Kemalak Systems Sdn Bhd untuk menawarkan pesawat F/A- 50,  Turkey Aerospace Industries, menawarkan pesawat LCA, Hürjet dan China National Aero-Technology Import & Export Corp (CATIC) yang menawarkan pesawat L-15.

Sementara itu syarikat Itali, Leonardo menawarkan pesawat M-346 planes manakala Hindustan Aeronautics Ltd daripada India pula menawarkan pesawat Tejas dan Aerospace Technology Systems Corp Sdn Bhd — yang 71.43 peratus daripadanya dikuasai oleh National Aerospace and Defence Industries Sdn Bhd (Nadi) milik Tan Sri Ahmad Johan, 23 peratus oleh syarikat bernama, Russian Aircraft dan 4.76 peratus oleh Rosoboronexport pula menawarkan pesawat MIG -35.

Apa yang menarik menurut akhbar itu adalah, Pakistan yang dikatakan antara pesaing utama untuk memenangi kontrak Malaysia itu menerusi pesawat JF-17 Thunder tidak menyertai tender lumayan itu.

Bagaimanapun menurut beberapa penganalisis pertahanan, persaingan tender FLIT/LCA TUDM itu kini berkemungkinan menjurus antara pesawat FA-50 daripada KAI dengan pesawat keluaran “Tejas” keluaran HAL disebabkan “beberapa faktor”.

FLIT/LCA
Enjin jet General Electric F404 yang digunakan oleh pesawat Tejas dan FA-50.

Apakah faktor-faktor itu?

Faktor-faktor itu melibatkan penggunaan enjin, dimana kedua-dua pesawat FA-50 dan Tejas menggunakan enjin General Electric F404 yang dikeluarkan oleh syarikat GE Aviation, sebagaimana yang digunakan oleh pesawat-pesawat F/A-18D Hornet yang digunakan oleh TUDM.

Daripada segi itu, faktor commonality daripada segi penyelenggaran dan bekalan alat ganti mungkin memberikan kelebihan kepada kedua-dua pesawat itu dalam persaingan FLIT/LCA TUDM itu.

Ogos lepas, HAL menandatangani perjanjian bernilai US$716 juta dengan GE Aviation untuk bekalan 99 buah enjin General Electric F404 untuk digunakan oleh pesawat-pesawat LCA “Tejas” keluarannya.

Dengan harga Tejas yang berpatutan serta “kemampuan” India dan HAL untuk menerima bayaran pembelian pesawat di dalam bentuk minyak kelapa sawit atau komoditi lain, menjadikan ia “frontrunner” dalam pesaingan FLIT/LCA TUDM itu.

India adalah diantara negara pengimport minyak kelapa sawit terbesar Malaysia.

Bagaimanapun, satu faktor yang mungkin merencatkan persaingan pesawat Tejas membabitkan penggunaan alatan keluaran syarikat-syarikat pertahanan Israel di dalam pesawat itu.

Pesawat Tejas menggunakan “ELM-2052” active electronically scanned array (AESA) radar, yang dibangunkan oleh anak syarikat Israel Aerospace Industries (IAI) iaitu, Elta.

Selain itu, pesawat keluaran HAL itu juga menggunakan sistem peperangan elektronik (elektronik warfare) yang dibangunkan oleh Elta.

FLIT/LCA
Pesawat MiG-35 Russia,

 

Malaysia dan TUDM sudah semestinya tidak akan menerima sebarang penggunaan alatan pertahanan syarikat Israel, disebabkan dasar kita yang tidak mengiktiraf kewujudan negara Israel itu.

Bagaimanapun, alatan-alatan syarikat Israel yang melengkapi pesawat Tejas itu boleh digantikan dengan alatan keluaran syarikat lain seperti daripada Eropah dan lain, sebagaimana yang kita lihat dalam pesawat Sukhoi Su-30MKM serta kereta kebal Pendekar.

Faktor penggunaan alatan Israel pada pesawat Tejas keluaran HAL itu mungkin memberikan kelebihan kepada pesawat FA-50, yang bukan sahaja menggunakan enjin General Electric F404 tetapi tidak menggunakan sebarang peralatan keluaran syarikat Israel.

FLIT/LCA
Pesawat FA-50 yang dibangunkan oleh syarikat Korea Aerospace Industries (KAI)

Satu lagi plus factor pesawat FA-50 adalah ia turut digunakan oleh tentera udara Thailand, Filipina dan Indonesia. (tetapi juga boleh menjadi negative factor kerana dikatakan TUDM tidak berminat dengan pesawat-pesawat yang turut digunakan oleh negara jiran)

Apa yang mungkin menjadi penghalang pesawat FA-50 keluaran syarikat KAI dalam persaingan FLIT/LCA adalah harganya yang dikatakan agak mahal serta mungkin keengganan Korea Selatan untuk menerima bayaran bagi pembelian pesawat itu dalam bentuk minyak kelapa sawit atau komoditi lain.

Mengenai satu lagi pesawat, JF-17 keluaran PAC/CAC daripada Pakistan dan China yang dikatakan tidak menyertai tender TUDM itu sebagaimana didakwa oleh akhbar tempatan itu, pesawat terbabit menggunakan enjin keluaran syarikat Klimov yang turut digunakan oleh pesawat MiG-29N TUDM.

FLIT/LCA
Pesawat JF-17 buatan Pakistan/China.

 

Mungkin faktor penyelenggaran enjin bakal merencatkan persaingan pesawat keluaran syarikat China dan Pakistan itu. (tidak mahu pisang berbuah dua kali).

Selain itu, kesan daripada insiden pencerobohan 16 buah pesawat China terhadap Zon Maritim Malaysia (ZMM) pada 31 Mei lepas, Malaysia dan TUDM mungkin “hilang selera” untuk mendapatkan peralatan pertahanan daripada China.

FLIT/LCA
Pesawat L-15 yang dibangunkan oleh sebuah syarikat China.

 

Sebarang pembelian peralatan pertahanan daripada China pada ketika ini bakal mengundang bantahan daripada rakyat yang marah dengan pencerobohan berterusan kapal-kapal pengawal pantai negara itu di kawasan perairan negara di Sabah/Sarawak.

Ini ditambah pula dengan laporan oleh media antarabangsa yang mendakwa peralatan pertahanan China berkualiti rendah dan sering berhadapan dengan masalah.

Cukuplah dengan empat buah kapal LMS, yang juga dilaporkan “berhadapan dengan masalah” sebagaimana yang dilaporkan oleh majalah pertahanan antarabangsa,Janes pada 22 Oktober tahun lepas.

 

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...