Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Korea Selatan Tiada Masalah Terima Minyak Sawit, Produk Sebagai Bayaran

Pembayaran bagi perolehan pesawat FLIT/LCA itu tidak semestinya dalam bentuk minyak sawit (crude palm oil) semata-mata kerana ada 11 elemen produk akhir minyak sawit termasuk oleo-chemical, biodiesel dan lain-lain yang boleh dipertimbangkan sebagai bentuk “counter-trade” pembayaran.

0 13,621

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) tidak mempunyai masalah untuk memenuhi syarat ditetapkan oleh kerajaan Malaysia yang menghendaki sebahagian daripada pembayaran untuk pembelian 18 buah pesawat Fighter Lead-In Aircraft/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA)  dilakukan secara “counter-trade” menggunakan minyak kelapa sawit atau produk-produk hilirannya yang lain.

“Korea Aerospace Industries (KAI) tidak ada masalah untuk memenuhi syarat (minyak sawit) yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia itu,” kata Ketua Pegawai Kewangan Kemalak Systems Sdn Bhd Mejar (B) Iswandi Mohd Sharif kepada Defence Security Asia baru-baru ini.

 Kemalak Systems merupakan rakan tempatan bagi Korea Aerospace Industries.

FA-50

Gergasi aeroangkasa dan pertahanan Korea Selatan itu mengetengahkan pesawat FA-50 Block 20  yang dibangunkan bersama dengan syarikat Lockheed Martin  itu dalam persaingan tender Kementerian Pertahanan untuk perolehan pesawat-pesawat FLIT/LCA untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pesawat FA-50 Block 20 yang ditawarkan oleh KAI kepada Malaysia adalah varian FA-50 yang lebih berkemampuan kerana ia telah dinaiktaraf dan dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan bagi membolehkan ia melaksanakan pelbagai misi dan operasi, selain melatih juruterbang.

Pesawat FA-50 Block 20 yang ditawarkan oleh KAI kepada Malaysia secara amnya dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan canggih seperti “Sniper Advance Targeting Pod,” 20mm gun, peluru berpandu AIM-9, GBU-12 LGB Integration,  GBU-38 JDAM (Joint Direct Attack Munitions) dan peluru berpandu AGM-65 Maverick.

Selain itu, pesawat FA-50 Block 20 itu juga akan dilengkapi dengan kemudahan Air-To-Air Refuelling Probe (AAR Probe) untuk melakukan pengisian minyak di udara dan Link 16 Block Upgrade 2.

FA-50

Sementara itu Iswandi jua berkata, pembayaran tidak semestinya dalam bentuk minyak sawit (crude palm oil) semata-mata kerana ada 11 elemen produk akhir minyak sawit termasuk oleo-chemical, biodiesel dan lain-lain yang boleh dipertimbangkan sebagai bentuk “counter-trade” pembayaran.

Katanya, KAI dan Kemalak Systems juga telah mengadakan perbincangan dengan Malaysia Palm Oil Board (MPOB).

Kerajaan meletakkan syarat iaitu pembayaran bagi 18 buah pesawat FLIT/LCA untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu dilakukan sehingga 50 peratus di dalam bentuk minyak kelapa sawit produk-produk yang dihasilkan daripada komoditi itu.

FA-50

Malaysia merupakan negara pengeluar minyak kelapa sawit kedua terbesar di dunia selepas Indonesia.

 Perolehan 18 buah pesawat FLIT/LCA untuk TUDM itu dijangka menelan belanja sebanyak RM4 bilion dan dengan syarat itu, sekurangnya-kurangnya RM2 bilion kos pembayaran untuk pesawat pejuang itu dilakukan secara barter trade (perdagangan timbal-balik) komoditi itu dan produk-produk hilirannya.

Pengesahan daripada rakan tempatan syarikat Korea Selatan mengenai kesediaan mereka menerima sehingga 50 peratus pembayaran pembelian pesawat pejuang itu  dalam bentuk minyak kelapa sawit dan produk hilirannya itu sedikit-sebanyak menjawap beberapa persolan tentang isu counter-trade itu.

Sebelum ini terdapat khabar angin mengatakan beberapa syarikat yang menyertai tender FLIT/LCA, terutamanya daripada negara-negara Barat, tidak berapa bersetuju sekiranya Malaysia membayar kos pembelian pesawat itu  menggunakan minyak kelapa sawit atau komoditi lain.

Syarikat-syarikat terbabit dikatakan mahu pembayaran pesawat itu dilakukan dalam bentuk tunai.

FA-50

Bagaimanapun bagi syarikat-syarikat daripada India, Pakistan, China atau Russia yang menyertai tender itu, mereka tidak mempunyai masalah menerima bayaran di dalam bentuk minyak kelapa sawit atau produk-produk hilirannya.

Ini adalah kerana ketiga-tiga negara itu merupakan negara pengimport minyak kelapa sawit yang besar daripada Malaysia.

Sebelum ini, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang telah pun mengatakan bahawa sejumlah lapan buah syarikat Original Equipment Manufacturer (OEM) telah memberi maklum balas terhadap Permintaaan Untuk Maklumat (Request For Information) kepada TUDM.

L-15
Pesawat L-15 buatan China.

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

“Diantara pesawat-pesawat pejuang yang memasuki tender termasuklah Korea Aerospace Industries (KAI) FA-50, JF-17 daripada Pakistan Aeronautical Complex/Chengdu Aircraft Industry Group, Hongdu L-15B, HAL Tejas, Yakovlev Yak-130, Leonardo M346, Saab Gripen dan Boeing T-7 Red Hawk.”

Bagaimanapun bilangan syarikat yang menyertai tender Kementerian Pertahanan bagi perolehan pesawat FLIT/LCA itu tidak diketahui. — DSA

 

 

Comments
Loading...