Guam Berikan Akses Kawasan Latihan Luas Kepada F-15 Singapura – Penganalisis

Kementerian Pertahanan Singapura menyatakan penempatan detasmen tentera republik itu diluar negara amat penting untuk memenuhi keperluan latihan Tentera Udara Singapura bagi mengatasi kekangan ruang udara tempatan dalam mengadakan latihan yang berkualiti tinggi dan realistik.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Baru-baru ini Tentera Udara Amerika Syarikat mengumumkan bahawa ia akan meningkatkan infrastruktur di pangkalan udara Andersen miliknya di Guam bagi menempatkan secara kekal detasmen 12 buah pesawat pejuang F-15SG milik Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) dan pelbagai peralatan sokongannya.

Usaha meningkatkan infrastruktur di pangkalan udara terpenting Amerika Syarikat di Pasifik bagi menempatkan detasmen Tentera Udara Singapura itu adalah selari dengan inisiatif strategik Washington di rantau Indo-Pasifik.

Ia juga selari dengan perjanjian ditandatangani pada 2019 antara Menteri Pertahanan Singapura Dr Ng Eng Hen dan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat pada ketika itu, Mark Esper tentang penempatan detasmen pesawat pejuang Tentera Udara Singapura secara kekal di pulau itu.

Bagi penganalisis pula, peluang menempatkan secara kekal detasmen pesawat pejuang Tentera Udara Singapura itu memberikan ia peluang kepada akses kepada ruang udara dan laut yang luas di sekitar Guam.

“Penubuhan detasmen pesawat pejuang F-15SG di Guam akan membolehkan Tentera Udara Singapura akses kepada kawasan latihan yang luas di ruang udara dan perairan sekitar Guam.”

“Tentera Laut Singapura juga mempunyai hubungan latihan dengan Guam menerusi Latihan Pacific Griffin, yang berpotensi membantu membangunkan kapasiti keseluruhan Angkatan Tentera Singapura untuk peperangan bersama,” kata Dr Collin Koh kepada akhbar Singapore Straits Times.

Pesawat pejuang F-15SG Tentera Udara Singapura

 

Beliau merupakan felo kanan di  S. Rajaratnam School of International Studies di republik terbabit.

Sebagai sebuah negara yang mempunyai keluasan tanah dan ruang udara yang terhad, Kementerian Pertahanan Singapura berhadapan dengan kesukaran untuk menyediakan kawasan latihan yang mencukupi untuk ketiga-tiga cabang angkatan tenteranya.

Oleh kerana itulah, Singapura memeterai perjanjian pertahanan dengan beberapa negara lain untuk menempatkan unit-unit tenteranya bagi tujuan latihan di negara-negara seperti Australia, Brunei dan Amerika Syarikat.

Menurut Dr Collin lagi, penempatan detasmen pesawat pejuang Tentera Udara Singapura di Guam juga memberikan faedah daripada segi lojistik kerana kedudukan kedua-dua pulau itu yang jauh lebih dekat antara satu sama lain.

“Ia (kedudukan Guam dan Singapura yang lebih dekat) akan membolehkan Tentera Udara Singapura membawa balik pesawat pejuangnya ke Singapura dengan lebih cepat ketika waktu kecemasan dan memerlukan penggunaan pesawat bantuan yang lebih kurang seperti pesawat pengisi minyak (bagi mengisi minyak pesawat pejuang untuk perjalanan jauh),” katanya.

Pesawat F-15SG Singapura di Pangkalan Udara Andersen di Guam. (DVIDS)

 

Guam hanya terletak kira-kira 4,700km daripada Singapura, jarak yang lebih dekat berbanding Pangkalan Udara Amerika Syarikat di Mountain Home di Idaho yang terletak kira-kira 13,700km daripada republik itu.

Tentera Udara Singapura turut menempatkan detasmen pesawat pejuang F-15SG di pangkalan udara Amerika Syarikat itu untuk tujuan latihan.

Singapura telah menghantar pesawat-pesawat pejuangnya untuk menjalani latihan di Guam sebanyak empat kali sejak 2017.

Menurut Kementerian Pertahanan Singapura, penempatan detasmen tentera republik itu diluar negara adalah amat penting untuk memenuhi keperluan latihan Tentera Udara Singapura bagi mengatasi kekangan ruang udara tempatan dalam mengadakan latihan yang berkualiti tinggi dan realistik.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pangkalan Udara Andersen di Guam baru-baru ini, ia berkata, cadangan peningkatan infrastruktur bagi menempatkan pesawat-pesawat pejuang Singapura itu akan dilaksanakan di bahagian utara pangkalan udara itu dan berhampiran gudang peluru.

Pembinaan infrastruktur baru itu dijangka akan mengambil masa di antara tiga hingga tujuh tahun dan meliputi penurapan landasan, pembinaan hangar pesawat, bangunan penyelenggaran dan utiliti, sistem pengisian bahan api, sistem pagar dan pelbagai lagi.

Dua buah pesawat pejuang F-15SG Tentera Udara Republik Singapura di Pangkalan Udara Paya Lebar. (via internet)

 

Kerja-kerja pembinaan itu akan meliputi kawasan seluas 85 hektar.

Pada ketika ini, Singapura memiliki 40 buah pesawat pejuang F-15SG yang mula diperolehinya secara berperingkat pada 2005.

Sebelum ini, Tentera Udara Singapura telah menempatkan beberapa pesawat pejuang F-15SG dan  F-16 serta pesawat amaran awal G550 miliknya di Guam untuk tempoh sehingga dua bulan bagi tujuan latihan dengan Tentera Udara Amerika Syarikat.

Pulau Guam yang terletak di barat Lautan Pasifik adalah pangkalan operasi hadapan terpenting tentera Amerika di Pasifik, kritikal untuk menyokong power projection oleh Washington serta sekutu-sekutunya di rantau Indo-Pasifik. — DSA

For enguiries can email: lulwabyadah@gmail.com

 

F-15featuredGuamLatihanSingapura
Comments (1)
Add Comment