(DEFENCE SECURITY ASIA) – Jikalau tiada aral melintang, pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) seperti Su-30MKM dan F/A-18D berpeluang untuk “menguji” kehebatan pesawat halimunan generasi kelima F-35A milik Tentera Udara Australia (RAAF) yang dikatakan akan berkunjung ke negara ini untuk menyertai satu latihan udara bersama pada akhir tahun ini.
Menurut portal pertahanan “Overt Defense”, pesawat F-35A milik RAAF itu akan berkunjung ke Malaysia akhir tahun ini untuk Eksesais Elangaroo 2022 yang merupakan latihan bersama di antara TUDM dan RAAF.
“Sebagai respon terhadap pertanyaan oleh Overt Defense, jurucakap Kementerian Pertahanan Australia telah mengesahkan bahawa Komander RAAF Air Vice Marshall, Darren Goldie sememangnya telah menyatakan bahawa RAAF merancang untuk membawa pesawat pejuang generasi kelimanya ke Malaysia untuk Eksesais Elangaroo,” menurut laporan daripada portal pertahanan itu.
Kehadiran pesawat pejuang F-35A milik RAAF pada Eksesais Elangaroo itu bakal mengukuhkan kerjasama pertahanan di antara tentera udara kedua-dua negara yang juga adalah anggota Five Power Defence Arrangement (FPDA).
Tentera Udara Australia komited untuk memperolehi 72 buah pesawat pejuang F-35 bernilai US$17 bilion (RM68 bilion) bagi menggantikan pesawat pejuang F/A-18A/B yang telah dibersarakan selepas mula memasuki perkhidmatan tentera udara negara itu bermula daripada tahun 1985.
Sehingga kini, sejumlah 50 pesawat F-35 yang dibangunkan oleh firma Lockheed Martin telah dihantar ke Australia dengan penghantaran pesawat generasi klima itu dijangka selesai pada tahun depan.
Menurut portal itu lagi, TUDM mula mengutarakan cadangan tentang rancangan untuk membawa pesawat F-35A RAAF itu untuk turut sama dalam Eksesais Elangaroo ketika menyertai Latihan Pitch Black 2022 yang baru sahaja berakhir di Darwin.
Sekiranya cadangan kunjungan pesawat F-35A milik Australia itu ke Malaysia akhir tahun benar-benar terjadi, ia memberikan peluang berharga kepada TUDM untuk menguji kehebatan pesawat generasi kelima itu yang juga bakal dimiliki oleh negara jiran Malaysia iaitu Singapura.
Pada tahun 2020, Singapura memutuskan untuk membeli empat buah pesawat F-35B (Short Take-Off Vertical Landing), dengan opsyen untuk menambah lapan lagi buah pesawat yang sama, menjadikan kesemuanya 12 buah.
Penghantaran pesawat-pesawat F-35 milik Singapura akan bermula pada tahun 2026.
Selain Singapura, Thailand juga bercadang memiliki beberapa buah pesawat F-35 bagi menggantikan pesawat-pesawat F-16 miliknya yang telah berusia.
Kira-kira 2500 anggota tentera pelbagai negara dan kira 100 pesawat tentera terlibat dalam latihan Pitch Black 2022 itu.
Selain pesawat F-35A milik RAAF, Kor Marin Amerika Syarikat turut mengerahkan pesawat F-35B milik ke latihan itu selain pesawat-pesawat pejuang daripada Singapura, Jepun, Korea Selatan,Indonesia dan lain-lain.
Walaupun tidak menghantar sebarang pesawat pejuang pada Latihan Pitch Black tahun ini, tetapi TUDM tetap menghantar pegawai-pegawai dan anggotanya pada latihan pelbagai negara selama tiga minggu yang berakhir pada 8 Sept itu.
Seramai 15 anggota TUDM terlibat dalam latihan itu sebagai ground staff, dengan dua lagi pegawai bertindak sebagai sebahagian daripada kumpulan pemerhati dalam latihan itu.
Pegawai-pegawai dan anggota TUDM turut terlibat dalam kerja-kerja merancang dan melaksana misi-misi pada Latihan Pitch Black 2022 itu.
JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE
Menurut portal itu lagi, penglibatan pegawai dan anggota TUDM dalam usaha merancang dan melaksana misi penerbangan pada Latihan Pitch Black 2022 termasuk yang membabitkan pesawat F-35 itu sekurang-kurangya memberikan pendedahan kepada TUDM tentang pesawat generasi kelima.
Ini amat berfaedah kepada TUDM kerana portal itu menyatakan bahawa terdapat khabar angin mengatakan bahawa ia juga berminat terhadap pesawat sedemikian sebagai sebahagian daripada program penggantian pesawat Su-30MKM dan F/A-18D pada 2035-2040 mengikut program CAP55. — DSA