Belanjawan Pertahanan S’pura 2022 RM65.44 Bilion, Malaysia RM16.14 Bilion

Jumlah yang dibelanjakan oleh Singapura untuk pertahanan adalah besar, terutamanya apabila kita membandingkannya dengan Malaysia yang pada Oktober tahun lepas mengumumkan bahawa peruntukan untuk bidang pertahanan pada tahun 2022 adalah sebanyak RM16.14 billion (US$3.8 bilion).

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada bulan Februari lepas, negara jiran kita, Singapura telah mengumumkan anggaran belanjawan pertahanan mereka untuk tahun 2022 berjumlah US$16.36 bilion (RM65.44 bilion) yang merupakan peningkatan sebanyak 6.5 peratus berbanding pada tahun lepas.

Jumlah yang dibelanjakan oleh Singapura untuk pertahanan adalah besar, terutamanya apabila kita membandingkannya dengan Malaysia yang pada Oktober tahun lepas mengumumkan bahawa peruntukan untuk bidang pertahanan pada tahun 2022 adalah sebanyak RM16.14 billion (US$3.8 bilion).

Peruntukan pertahanan Malaysia pada tahun 2022 adalah peningkatan sebanyak 1.8 peratus berbanding pada tahun 2021.

Dua buah pesawat pejuang F-15SG Tentera Udara Republik Singapura di Pangkalan Udara Paya Lebar.

 

Peruntukan untuk pertahanan Malaysia pada tahun ini adalah RM16.14 bilion manakala Singapura pula memperuntukkan sebanyak RM65.44 bilion untuk angkatan tenteranya pada tahun ini, suatu jurang yang amat besar bagi dua negara berjiran yang hanya dipisahkan oleh Selat Tebrau.

Satu lagi negara jiran kita iaitu, Indonesia pula memperuntukkan sebanyak US$9.3 bilion atau RM37.2 bilion untuk bidang pertahanan negara itu pada tahun depan, berkemungkinan untuk membiayai beberapa perolehan seperti pesawat Rafale, F-15EX dan lain-lain lagi.

Peruntukan pertahanan Indonesia pada tahun depan itu adalah peningkatan sebanyak 12 peratus berbanding kajian semula peruntukan pertahanan pada tahun lepas.

Kementerian Kewangan Indonesia itu mengatakan bahawa belanjawan pertahanan sebanyak RM37.2 bilion itu adalah untuk mencapai objektif Minimun Essential Force (MEF) negara itu.

Pesawat Su-30MKM Indonesia di Pangkalan Udara Hang Nadim di Pulau Batam.

 

Peruntukan pertahanan Indonesia pada 2022 merupakan 5 peratus daripada keseluruhan belanjawan pada tahun tersebut.

Sementara itu sebuah lagi negara jiran kita di utara iaitu Thailand pula telah pun mengumumkan peruntukan sebanyak US$6.5 bilion (RM26 bilion) pada tahun depan untuk ketiga-tiga cabang angkatan tenteranya.

Kira-kira 50 peratus daripada belanjawan pertahanan Thailand pada 2022 itu akan dibelanjakan untuk Tentera Darat manakala selebihnya akan dikongsi Bersama oleh Tentera Udara dan Tentera Laut negara itu.

Sementara itu bagi Vietnam pula, walaupun tiada angka yang tepat bagi belanjawan pertahanannya untuk tahun ini, tetapi ia dianggarkan adalah sebanyak US$5.6 bilion (RM22.4 bilion), manakala bagi Filipina pula, belanjawan pertahanan negara itu pada tahun ini adalah sebanyak US$4.39 bilion (RM17.56 bilion).

Kapal friget terbaru Filipina “Antonio Luna”

 

Belanjawan yang diterima oleh Angkatan Tentera Filipina pada 2022 itu adalah peningkatan sebanyak 7.87 peratus berbanding tahun lepas, pada ketika negara jiran Malaysia itu meneruskan pembangunan angkatan tentera dengan memperolehi beberapa sistem pertahanan canggih.

Daripada segi perbandingan pula,  Singapura tetap di tangga pertama sebagai negara yang memiliki bajet pertahanan terbesar di Asia Tenggara dengan peruntukan sebanyak RM65.44 bilion diikuti Indonesia dengan RM37.2 bilion, Thailand (RM26 bilion), Vietnam (RM22 bilion),  Filipina (RM17.56 bilion) dan Malaysia (RM16.14 bilion). 

Bagi negara-negara lain di Asia Tenggara seperti Myanmar, Laos dan Kemboja, tiada data yang tepat tentang belanjawan pertahanan mereka pada tahun ini yang admin dapat cari. — DSA

ASEANbelanjawanfeaturedpertahanan