Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Sektor Pertahanan, Keselamatan Terima Peruntukan RM33 Bilion Dalam Belanjawan 2022

Secara keseluruhannya, sektor pertahanan dan keselamatan negara akan diperuntukan sebanyak RM33 bilion daripada RM332.1 bilion peruntukan bagi Belanjawan 2022.

0 2,587

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Pertahanan akan memperolehi peruntukan sebanyak RM16.14 bilion manakala Kementerian Dalam Negeri (KDN) pula diperuntukan RM17.089 bilion dalam Belanjawan 2022 yang diumumkan hari ini.

Secara keseluruhannya, sektor pertahanan dan keselamatan negara akan diperuntukan sebanyak RM33 bilion daripada RM332.1 bilion peruntukan bagi Belanjawan 2022 atau kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Peruntukan Operasi bagi pertahanan untuk tahun depan adalah RM11.05 bilion, sedikit pengurangan berbanding RM11.35 bilion yang diterima mereka tahun lepas.

Manakala Peruntukan Pembangunan mencatat peningkatan sebanyak RM400 juta kepada RM5.04 bilion berbanding hanya RM4.5 bilion pada tahun lepas

Pecahan bagi Peruntukan Pembangunan untuk Tentera Darat adalah RM175 juta manakala untuk peralatan adalah RM1.07 bilion, Tentera Udara Diraja Malaysia pula menerima RM39 juta dan RM1.6 bilion.

Meriam
Meriam LG1 MKIII Nexter (kredit Tentera Darat)

 

Manakala bagi Markas Angkatan Bersama akan menerima RM82 juta dan RM298 juta.

Institut Penyelidikan Sains & Teknologi Pertahanan (STRIDE) juga menerima peruntukan sebanyak RM40 juta pada tahun depan berbanding hanya RM7 juta dan RM5 juta pada tahun lepas dan tahun 2020, menunjukkan komitmen Kementerian Pertahanan dalam aspek pembangunan teknologi tempatan.

Sementara itu Peruntukan Operasi bagi KDN adalah sebanyak RM13.5 bilion manakala bagi Peruntukan Pembangunan pula adalah sebanyak RM3.5 bilion.

Polis Diraja Malaysia akan menerima sebanyak RM2.5 bilion pada Peruntukan Pembangunannya.

Manakala bagi Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) akan diperuntukan RM183 juta untuk Peruntukan Pembangunan berbanding hanya RM141 juta peruntukan yang sama pada tahun 2021.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata sebanyak RM14 juta diperuntukan untuk menggantikan peralatan utama pasukan khas laut (PASKAL) dan pasukan khas udara (PASKAU) seperti payung terjun, alat selam litar tertutup serta bot.

“Bagi memperkukuh kedaulatan negara, kerajaan akan menambah lapan pos kawalan Pasukan Gerakan Am antaranya di Pagalungan, Sabah dan Temong Mura, Sarawak bagi meningkatkan kawalan keselamatan sempadan.

Anti kereta kebal
Anggota tentera darat melancarkan peluru berpandu anti-kereta kebal “Metis-M” buatan Russia. (gambar kredit Tentera Darat)

 

“Kerajaan juga akan menambah empat pintu masuk Imigresen baharu antaranya di Telok Melano dan Baleh, Sarawak bagi memenuhi keperluan peningkatan pergerakan susulan perubahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan dan pembukaan Lebuhraya Pan Borneo jajaran Telok Melano,” katanya.

Beliau berkata bagi kebajikan anggota polis dan tentera, sebanyak RM230 juta disediakan untuk kerja menyelenggara sekolah dalam kem tentera, fasiliti ketenteraan dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera termasuk penggantian serta pembaikan lif kuarters Polis Diraja Malaysia.

kem

 

DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...