Negara Arab Teluk “Hadkan” Kebenaran Pesawat Pejuang Amerika Lakukan Serangan Udara

Negara-negara Arab Teluk ini termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE) kini menghadkan pesawat-pesawat kombat Amerika Syarikat dan sekutunya daripada berlepas daripada pangkalan udara terbabit untuk melancarkan serangan udara terhadap kumpulan-kumpulan proksi Iran.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam tindakan yang dianggap bertujuan meredakan kemarahan Iran, beberapa negara Arab memutuskan untuk menghadkan kebenaran diberikan kepada pesawat-pesawat pejuang Amerika Syarikat dan sekutunya untuk melakukan serangan udara terhadap kumpulan proksi Iran daripada pangkalan udara di negara mereka.

Beberapa pangkalan udara negara Arab terutamanya di negara-negara Teluk menempatkan banyak aset-aset tentera Amerika Syarikat dan sekutunya termasuk pesawat-pesawat pejuang, pesawat pengintip, pesawat pengisi minyak dan dron-dron bersenjata.

Laporan media Amerika Syarikat seperti “Politico” menyatakan bahawa negara-negara Arab Teluk ini termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE) kini menghadkan pesawat-pesawat kombat Amerika Syarikat dan sekutunya daripada berlepas daripada pangkalan udara terbabit untuk melancarkan serangan udara terhadap kumpulan-kumpulan proksi Iran.

Politico menggunakan sumber-sumber pegawai kanan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat dalam penyediaan laporan mereka yang turut menyatakan bahawa wujudnya “ketegangan” di antara pegawai-pegawai kanan UAE dengan Washington tentang serangan udara terhadap kumpulan proksi Iran daripada wilayahnya.

Negara-negara Arab Teluk mahu memelihara hubungan dan kemesraan yang baru dijalin dengan Iran selepas sekian lama tegang akibat perselisihan faham berhubungan beberapa isu.

Pesawat kombat A-10 “Warthog”

 

Antara pesawat-pesawat kombat yang menjadi “mangsa” kepada percaturan politik dan ketenteraan negara-negara Arab Teluk itu adalah pesawat kombat serangan darat A-10 “Warthog” serta dron-dron bersenjata MQ-9 “Reaper”.

Pesawat-pesawat A-10 “Warthog” dan dron bersenjata MQ-9 “Reaper” milik Amerika Syarikat dilarang berlepas daripada pangkalan-pangkalan udara di negara Teluk tertentu seperti daripada pangkalan udara Al-Dhafra di UAE untuk melakukan serangan udara.

Selain pesawat-pesawat A-10 dan dron MQ-9 “Reaper”, pangkalan udara Al-Dhafra itu turut menempatkan pesawat pejuang F-16 Amerika Syarikat.

Namun Amerika Syarikat memiliki beberapa kapal pengangkut pesawat di perairan di rantau itu serta di Mediterranean bersama-sama ratusan pesawat pejuang yang digunakannya untuk menyerang kedudukan kumpulan-kumpulan proksi Iran di rantau Timur Tengah itu.

Pemerhati menyatakan bahawa larangan oleh kerajaan-kerajaan Arab Teluk itu juga bertujuaan untuk meredakan kemarahan orang rakyat mereka terhadap “sokongan tidak berbelah-bahagi” Amerika Syarikat dan sekutunya terhadap serangan Israel di Semenanjung Gaza.

Dron MQ-9 “Reaper” buatan syarikat General Atomics daripada Amerika Syarikat.

 

Amerika Syarikat dan negara-negara sekutunya seperti Britain telah melancarkan serangan-serangan udara terhadap kedudukan kumpulan proksi Iran terutamanya di Syria dan Iraq sejurus selepas tiga anggotanya tentera yang berpangkalan di Jordan maut dalam serangan dron berani mati oleh kumpulan proksi Iran.

Beberapa negara Arab Teluk seperti Arab Saudi dan UAE sedang berusaha untuk berbaik-baik dengan Iran di atas usaha orang tengah iaitu China.

Usaha China itu telah membawa kebaikan dengan Teheran dan Riyadh kembali menjalin hubungan diplomatik pada tahun lepas dan Menteri Luar kedua-dua negara telah mengunjungi ibu negara masing-masing yang telah merapatkan kembali di antara kedua-dua negara itu.

Delegasi Iran turut menyertai pameran World Defense Show 2024 di Riyadh baru-baru ini. — DSA

AmerikaArabfeaturedPesawatTeluk
Comments (0)
Add Comment