“MQ-9B Sea Guardian” Calon Paling Sesuai Untuk TUDM Pantau Laut China Selatan

Pesawat Tanpa Pemandu "MQ-9B Sea Guardian" keluaran syarikat General Atomics Aeronautical System Inc (GA-ASI) daripada Amerika Syarikat dilihat calon paling sesuai untuk melakukan misi-misi pemantauan maritim terutamanya di Laut China Selatan.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Berikutan laporan mengatakan kerajaan bakal menempatkan tiga buah sistem Unmanned Aerial System-Medium Altitude Long Endurance (UAS-MALE) yang bakal diperolehinya pada tahun 2024 di Pangkalan Udara Labuan, adakah ia bermakna negara bakal memilih sebuah pesawat tanpa pemandu yang  khusus untuk menjalankan tugas-tugas pemantauan maritim.

Penempatan di Pengkalan Udara Labuan menandakan pesawat tanpa pemandu yang akan diperolehi oleh Malaysia itu akan memantau kawasan perairan negara di Laut China Selatan yang kerapkali menjadi sasaran pencerobohan kapal-kapal peronda China.

Baru-baru ini Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Abdul Aziz mengatakan bahawa Tentera Udara Diraja Malaysia(TUDM) dijangka menerima tiga buah sistem UAS pada 2024 dalam perolehan fasa pertama.

Diantara nama-nama sistem UAS yang dikatakan menyertai tender oleh Kementerian Pertahanan itu, pesawat tanpa pemandu “MQ-9B Sea Guardian” dilihat paling bersesuaian untuk melaksanakan  misi-misi ISR (Intelligence,Surveillance and Reconaissance) di Laut China Selatan.

Pesawat Tanpa Pemandu “MQ-9B Sea Guardian” telah dibangunkan oleh syarikat Amerika Syarikat, General Atomics Aeronautical System Inc (GA-ASI).

Jepun juga dilaporkan memilih Sea Guardian untuk mengawasi perairannya di kepulauan Senkaku yang kerap kali diceroboh oleh kapal-kapal perang China.

Dalam satu temuramah dengan media sebelum LIMA 2019, naib presiden serantau GA-ASI Terry Kraft berkata bahawa pihaknya sedang mengadakan perbincangan berterusan dengan Tentera Udara Diraja Malaysia tentang kemungkinan perolehan sistem itu.

Syarikatnya menawarkan dua jenis sistem pesawat tanpa pemandu kepada kerajaan Malaysia,iaitu “MQ-9A Guardian” dan “MQ-9B Sea Guardian”.

“Kerajaan Malaysia telah ‘meminta’ sebanyak sembilan buah sistem,” kata Kraft tanpa memperincikan kenyataannya kepada majalah pertahanan antarabangsa, “Jane’s Defence”.

Beliau berkata GA-ASI menawarkan sistem yang boleh diinteroperabiliti dengan sistem-sistem lain dalam Angkatan Tentera Malaysia serta pasukan sekutu yang lain.

Syarikat juga menawarkan pakej kolaborasi industri yang komprehensif, selaras dengan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.

Dengan sistem penderia yang lengkap, pesawat tanpa pemandu “MQ-9B Sea Guardian” boleh beroperasi selama 25 jam dengan kawalan dan pemerintahan menerusi ground station.

Kapal pengawal pantai China.

 

Sistem MQ-9B Sea Guardian yang telah pun digunakan oleh banyak negara di Asia Pasifik boleh melaksanakan pelbagai misi dan operasi termasuk Anti-Surface Warfare, Anti-Submarine Warfare, Search and Rescue, Humanitarian Assistance and Disaster Relief (HADR) dan Border Surveillance and Law Enforcement.

Pesawat Tanpa Pemandu “Sea Guardian” ini boleh membawa pelbagai sensor untuk operasi maritime seperti Synthetic Aperture Radar oleh General Atomics, SeaVue XMC Maritime Surveillance Radar oleh Raytheon, sistem Electro Optical Infra Red (EO/IR), modul ESM/ELINT membolehkan ia mencari, mengenalpasti dan memantau pancaran radar sama ada daripada lokasi darat atau kapal-kapal.

Untuk misi-misi anti-kapal selam (ASW), sistem “MQ-9B Sea Guardian” boleh membawa diantara dua hingga empat sonobuoys yang digunakan untuk “mendengar” kehadiran kapal-kapal selam serta kapal-kapal perang asing di kawasan sekitar. 

TUDM mempunyai keperluan untuk membeli sebanyak enam buah UAS-MALE yang berkemungkinan akan diperolehinya pada Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) dan RMK-13 yang akan dilaksanakan pada tahun 2026-2030.

Kementerian Pertahanan telah mengiklankan tender antarabangsa pada Ogos tahun lepas untuk mendapatkan tiga buah sistem UAS-MALE (bersama-sama segala sistem yang berkait dengannya seperti ground stations dll) dan tender itu telah pun ditutup pada 26 November 2020.

Dengan cabaran utama keselamatan Malaysia pada ketika ini berkisar pada pencerobohan kapal-kapal China di Laut China Selatan,  sememangnya terdapat keperluan yang mendesak bagi negara untuk memperolehi pesawat tanpa pemandu yang khusus untuk domain maritim.

Kerajaan Malaysia telah meluluskan sejumlah peruntukan di bawah Kelulusan Keperluan Kritikal (Rancangan Perbelanjaan (RP)-4) bagi perolehan tiga buah UAS MALE Fasa 1.

Antara calon-calon yang dipercayai menyertai tender antarabangsa untuk membekalkan sistem UAS MALE ini adalah Turkish Aerospace Industries (TAI) “Anka”, Wing Loong daripada Chengdu Aircraft Industry Group (CAIC),  Patroller daripada Safran dan CH-4 daripada China Aerospace Science and Technology Corporation serta Falco daripada Leonardo. — DSA

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

featuredLaut China SelatanSea GuardianTUDMUAS
Comments (0)
Add Comment