UAE Tarik Diri Kerjasama Pertahanan, Hubungan Tegang Dengan Amerika Penyebab

Kerajaan UAE menyatakan bahawa penarikan diri negara itu daripada kerjasama pertahanan itu merupakan sebahagian daripada kajian yang dilakukannya, namun pemerhati pertahanan serantau berpendapat penarikan diri UAE itu kerana ketegangan yang semakin ketara dalam hubungan di antara UAE dan Amerika Syarikat.

(DEFENCE SECURITY ASIA) –Tindakan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menarik diri daripada kerjasama pertahanan Combined Maritime Forces (CMF) yang diketuai oleh Amerika Syarikat baru-baru ini menunjukkan  ketegangan yang semakin ketara dalam hubungan diplomatik di antara kedua-dua negara itu pada ketika ini.

Kerjasama pertahanan melibatkan 38 buah negara itu mempunyai ibu pejabatnya di pangkalan laut 5th Fleet Tentera Laut Amerika Syarikat du Bahrain dan menumpukan kepada keselamatan maritim, anti-pelanunan dan latihan di Laut Merah dan perairan di Teluk.

Perairan di Laut Merah dan Teluk menempatkan beberapa laluan maritim strategik di dunia, yang digunakan oleh ribuan kapal-kapal tangki membawa minyak dan gas ke seluruh pelusuk dunia.

Pesawat L-15 buatan China yang diperolehi oleh UAE.

 

Kerajaan UAE menyatakan bahawa penarikan diri negara itu daripada kerjasama pertahanan itu merupakan sebahagian daripada kajian yang dilakukannya, namun pemerhati pertahanan serantau berpendapat penarikan diri UAE itu kerana ketegangan hubungan di antara UAE dan Amerika Syarikat.

“Hasil daripada kajian yang dilakukan mengenai keberkesanan kerjasama keselamatan dengan semua rakan, UAE memutuskan untuk menarik diri penyertaannya daripada Combined Maritime Forces dua bulan lepas,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luarnya.

Pada ketika ini, UAE menempatkan tiga pangkalan tentera Amerika Syarikat iaitu Pangkalan Udara Al Dhafra, Pangkalan Udara Al Minhad dan Pangkalan Laut Fujairah.

Ketegangan hubungan di antara UAE dan Amerika Syarikat itu dikatakan berpunca daripada hubungan yang semakin rapat di antara Abu Dhabi dengan Beijing sejak akhir-akhir ini.

Disebabkan hubungan rapat UAE dan China terutamanya melibatkan pembabitan syarikat Huawei dalam sektor telekomunikasi negara Teluk itu, Washington enggan menjual pesawat pejuang F-35 kepada UAE.

Latihan maritim oleh Combined Maritime Forces (CMF)

 

Washington dikatakan telah meletakkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh UAE sebelum negara Arab itu dibenarkan membeli pesawat pejuang halimunan itu dan menjadi negara Arab pertama memiliki pesawat terbabit.

Satu daripada syarat itu adalah UAE mesti menamatkan hubungannya dengan Huawei.

Walaupun pesawat pejuang F-35 yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin itu tidak menggunakan teknologi 5G, tetapi Washington bimbang kerana UAE menggunakan teknologi 5G yang dibekalkan oleh Huawei di stesen-stesen komunikasi, menara telekomunikasi di pangkalan-pangkalan udara dan pelbagai kemudahan di negara Teluk itu.

Dan inilah yang dibimbangi oleh Amerika Syarikat.

“Mereka (Amerika Syarikat) bimbang sekiranya China berpeluang menggunakan  kemudahan 5G itu untuk memperolehi seberapa banyak maklumat perisikan tentang kemampuan dan bagaimana pesawat F-35 itu beroperasi,” menurut seorang penganalisis Barat.

Pesawat Rafale yang diperolehi oleh UAE.

 

Pesawat F-35 Joint Strike Fighter yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin.

Pada tahun 2020,Jabatan Negara Amerika Syarikat telah mengumumkan kemungkinan penjualan kira-kira 50 buah pesawat pejuang F-35 Lightning kepada UAE.

Nilai penjualan kesemua pesawat pejuang generasi kelima itu dianggarkan mencecah kira-kira US$23.3 billion (RM93 billion), menurut Defense Security Cooperation Agency (DSCA), sebuah agensi yang bernaung di bawah Pentagon.

DSCA berkata, penjualan itu turut melibatkan pelbagai kelengkapan yang datang bersama-sama pesawat pejuang itu, logistic, latihan, Full Mission Trainer, peluru berpandu dan pesawat tanpa pemandu.

Disebabkan UAE enggan tunduk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh Amerika Syarikat berkenaan hubungannya dengan Huawei, itu maka keputusan pentadbiran Donald Trump untuk menjual sehingga 50 buah pesawat F-35 telah dibatalkan oleh pentadbiran Presiden Jo Biden.

Pesawat F-35

 

Sebaik sahaja menggantung cadangan pembelian pesawat F-35, UAE tidak berlengah dengan mengumumkan perolehan 80 buah pesawat pejuang Rafale yang dibangunkan oleh Dassault Aviation daripada Perancis dengan nilai US$19 bilion (RM76 bilion). 

Pada Februari lepas, syarikat China National Aero-Technology Import & Export Corporation (CATIC) akhirnya mengumumkan bahawa ia telah menandatangani kontrak dengan kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi penjualan 12 buah pesawat latihan dan pejuang ringan L-15 “Hongdu” kepada negara Teluk yang kaya-raya itu.

Penganalisis pertahanan serantau melihatkan impak perolehan pesawat pejuang ringan dan latihan L-15 itu amat besar kerana ia merupakan kali pertama dimana UAE yang merupakan sekutu rapat Amerika Syarikat di rantau Teluk membeli peralatan ketenteraan daripada China.

Perolehan pesawat L-15 buatan China itu dianggap sebagai bersejarah kerana ia memecahkan tradisi pasaran senjata UAE yang selama di dominasi oleh syarikat-syarikat Amerika Syarikat dan negara Barat yang lain.

Keputusan kerajaan UAE itu disambut baik oleh Beijing yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini mahu melihat syarikat-syarikat pertahanannya menembusi pasaran senjata di Timur Tengah yang lumayan. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

AmerikaCMFfeaturedHubungan DiplomatikUAE
Comments (0)
Add Comment