Batal Demonstrasi Udara F-35 di Aero India Kerana Bimbang”Perbandingan Tidak Menguntungkan” dengan Su-57 Russia

Pembatalan demonstrasi udara oleh pesawat pejuang F-35 dan F-16 milik Amerika Syarikat itu telah menimbulkan banyak spekulasi dengan banyak pihak menyatakan ia adalah langkah untuk mengelakkan perbandingan yang tidak menguntungkan dengan Su-57 buatan Russia, yang prestasi penerbangannya dianggap jauh lebih unggul, terutama pada kelajuan rendah.
Batal Demonstrasi Udara F-35 di Aero India Kerana Bimbang”Perbandingan Tidak Menguntungkan” dengan Su-57 Russia
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kehadiran pesawat pejuang generasi kelima Russia, Sukhoi Su-57 Felon pada Aero India 2025 di Bengaluru dikatakan menjadi punca utama mengapa Amerika Syarikat bertindak membatalkan demonstrasi udara oleh pesawat-pesawat pejuang F-35 Lightning II dan F-16 miliknya pada pameran udara itu.
Sebaliknya, pesawat-pesawat pejuang F-35 dan F-16 milik Amerika Syarikat itu hanya terlibat dengan pameran statik pada Aero India, manakala pesawat pejuang Su-57 Felon menggunakan peluang itu untuk menunjukkan kehebatannya dengan aksi-aksi menakjubkan di udara.
Duta Russia ke India Denis Alipov dilaporkan berkata tindakan Amerika Syarikat membatalkan demonstrasi udara bagi pesawat-pesawat pejuang F-35 dan F-16 pada Aero India 2025, “menunjukkan pesaingnya (pesawat pejuang F-35 buatan Amerika) itu enggan bersaing dengan sihat.”
Pembatalan demonstrasi udara oleh pesawat pejuang Amerika Syarikat itu telah menimbulkan banyak spekulasi dengan banyak pihak menyatakan ia adalah langkah untuk mengelakkan perbandingan yang tidak menguntungkan dengan Su-57 buatan Russia, yang prestasi penerbangannya dianggap jauh lebih unggul, terutama pada kelajuan rendah.
Media tempatan di India sebelum ini memetik sumber berkata, punca utama mengapa  pesawat pejuang F-35 milik Amerika Syarikat itu tidak menyertai demonstrasi udara pada Aero India adalah kerana ia “kekurangan” juruterbang demo.
Walaupun kemampuan sistem avionik pesawat pejuang F-35 itu dianggap pakar sebagai jauh lebih canggih berbanding pesawat pejuang Su-57, namun prestasi penerbangannya F-35 dibangunkan oleh Lockheed Martin itu kurang mengagumkan dalam generasinya.

Su-57

Sebaliknya, keupayaan manuver pada kelajuan rendah pesawat pejuang Su-57 diperakui adalah yang terbaik di dunia.
Pesawat pejuang generasi kelima Su-57 Russia itu menggunakan enjin dengan kawalan tujahan vektor tiga dimensi (three dimension thrust vectoring) bagi mencapai prestasi penerbangan yang tinggi.
Enjin AL-41F1 yang digunakannya, tidak seperti enjin F-35, dilaporkan mampu mengekalkan kelajuan supersonik tanpa memerlukan afterburner.
Bermula pada tahun ini, pesawat pejuang Su-57 yang dihasilkan oleh Russia dijangka akan menggantikan enjin AL-41F1 dengan enjin AL-51F yang lebih berkuasa dan lebih mudah diselenggara.
Demonstrasi udara pesawat pejuang Su-57 akan meletakkan F-35 dan F-16 dalam kedudukan yang kurang menguntungkan, sekali gus berpotensi meningkatkan sokongan awam di India terhadap perolehan Su-57 oleh New Delhi.
Walaupun keupayaan dalam pertunjukan udara merupakan salah satu kelebihan utama Su-57, kekuatan F-35 terletak pada sistem avioniknya yang canggih, termasuk pada data link yang berteknologi tinggi, sensor elektronik pasif, radar dan lain-lain.

Walaupun kecanggihan sistem avionik pesawat pejuang generasi kelima F-35 milik Amerika Syarikat itu sentiasa memberikan kelebihan yang jelas kepada juruterbang pesawat itu, namun ia tidak dapat dipertontonkan pada pertunjukan udara.
Beberapa hari lalu, dua buah pesawat pejuang generasi kelima buatan Amerika Syarikat, F-35 Lightning II tiba di Pangkalan Tentera Udara India di Yehalanka, Bengaluru untuk menyertai pesawat pejuang generasi kelima Russia, Su-57 Felon pada Aero India 2025.
Ia adalah situasi yang unik bagi mereka yang berada di Pangkalan Udara Yehalanka untuk melihat kedua-dua pesawat pejuang generasi kelima milik Amerika Syarikat dan Russia berada hanya beberapa meter daripada satu sama lain.
Ini merupakan penyertaan kali pertama Su-57 pada pameran Aero India manakala F-35 pernah menyertai pameran udara dua kali setahun itu pada 2023.
Penganalisis pertahanan antarabangsa mendakwa ia adalah kali pertama di mana pesawat pejuang F-35 Lightning II dan Su-57 Felon berada di satu lokasi pada masa yang sama dan berkongsi ruang udara yang sama.
Kehadiran kedua-dua pesawat pejuang generasi kelima milik Russia dan Amerika Syarikat pada Aero India kali ini amat menarik kerana kedua-dua negara kuasa besar itu sedang “memujuk” New Delhi supaya memilih pesawat pejuang generasi kelima keluaran mereka.

Tentera Udara India memerlukan pesawat pejuang generasi kelima dengan cepat untuk bersaing dengan musuh-musuh tradisinya iaitu Pakistan yang bakal memiliki pesawat pejuang generasi kelima buatan China, J-35A manakala China telah pun mengoperasikan J-20 Mighty Dragon sejak beberapa tahun lalu dan bakal dibantu oleh J-35A.
Untuk bersaing dengan Pakistan dan China yang bakal dan telah pun dilengkapi dengan pesawat pejuang generasi kelima, India tidak lagi boleh bergantung dengan pesawat-pesawat pejuang generasi ke-4 +++ miliknya seperti Rafale buatan Perancis dan juga Sukhoi Su-30MKI buatan Russia.
New Delhi memerlukan pesawat pejuang generasi kelima untuk menangani pesawat pejuang generasi kelima yang bakal dan telah pun dimiliki oleh jiran-jirannya.
Russia telah pun menawarkan pembuatan bersama (joint production) pesawat pejuang generasi kelimanya, Su-57 Felon dan juga bekerjasama dalam program pesawat pejuang generasi kelima India dipanggil Advanced Medium Combat Aircraft (AMCA).
— DEFENCE SECURITY ASIA

 

AmerikaF-16F-35RussiaSU-57
Comments (0)
Add Comment