Indonesia Mula Terima Kumpulan Pertama Enam Pesawat Pejuang Rafale Pada Februari 2026
“Kita (Indonesia) akan mula menerima tiga buah pesawat pejuang Rafale sekitar Februari hingga Mac tahun hadapan, manakala baki pesawat pejuang (Rafale) selebihnya akan tiba tiga bulan kemudian,” kata Ketua Staf TNI-AU Air Chief Marshal Mohamad Tonny Harjono.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU) akan mula menerima kumpulan pertama enam buah pesawat pejuang Rafale buatan Perancis pada Februari 2026, menurut Ketua Staf TNI-AU Air Chief Marshal Mohamad Tonny Harjono.
Dipetik oleh agensi berita nasional Indonesia ANTARA, beliau berkata, TNI-AU dijangka akan menerima tiga buah pesawat pejuang Rafale pada Februari hingga Mac tahun depan, manakala tiga lagi buah Rafale diterima tiga bulan kemudian.
“Kita akan mula menerima tiga buah pesawat pejuang Rafale sekitar Februari hingga Mac tahun hadapan, manakala baki pesawat pejuang (Rafale) selebihnya akan tiba tiga bulan kemudian,” katanya selepas mesyuarat kepimpinan TNI-AU.
Indonesia akan menempatkan pesawat-pesawat pejuang Rafale yang diperolehinya daripada Perancis di dua Pangkalan Angkatan Udara (LANUD) iaitu di Pekanbaru, Riau dan Pontianak di Kalimantan Barat.
Kedua-dua LANUD yang akan menempatkan pesawat-pesawat pejuang Rafale Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU) adalah LANUD Roesmin Nurjadin di Pekanbaru dan di LANUD Supadio di Pontianak.
Pesawat-pesawat pejuang Rafale yang bakal memasuki perkhidmatan TNI-AU itu akan menggantikan armada pesawat pejuang ringan BAE Hawk 100/200 yang pada ketika ini dioperasikan oleh Skudron Udara 1 di Pontianak dan Skuadron Udara 12 di Pekanbaru.

Penempatan pesawat-pesawat pejuang Rafale di LANUD di Pekanbaru dipercayai adalah usaha TNI-AU untuk meningkatkan pemantauan udara terhadap Selat Melaka manakala penempatan Rafale di Pontianak kemungkinan bertujuan memantau lebih rapat sebarang perkembangan di perairan sekitar Natuna yang kaya dengan sumber minyak dan gas,
Harjono berkata, pihaknya telah membina simulator, hangar, sistem lojistik dan juga kemudahan lain di pangkalan udara yang akan menempatkan pesawat-pesawat pejuang Rafale itu.
TNI-AU menurutnya, juga telah memilih juruterbang untuk menjalani latihan pengendalian pesawat pejuang Rafale yang dibangunkan oleh syarikat Dassault Aviation.
Perolehan 42 buah pesawat pejuang Rafale oleh Indonesia merupakan elemen penting dalam program permodenan Tentera Nasional Indonesia terutama Angkatan Udaranya.
Pada awal tahun lepas, Indonesia telah memuktamadkan proses perolehan 18 buah lagi pesawat pejuang Rafale buatan syarikat Dassault Aviation daripada Perancis, menjadikan keseluruhan pesawat yang telah dimuktamadkan pembeliannya oleh negara Asia Tenggara itu kepada 42 buah.
Pemuktamadan proses perolehan 18 buah pesawat pejuang itu menyusuli proses yang sama pada Ogos tahun lepas untuk 18 buah pesawat pejuang buatan Perancis.

Pada Sept 2022 Indonesia telah memperolehi enam buah pesawat, menjadikan keseluruhan pesawat pejuang Rafale diperolehi Indonesia sebanyak 42 buah.
Perolehan 42 buah pesawat Rafale oleh Jakarta itu dianggarkan menelan belanja RM32 bilion.
Menurut penganalisis pertahanan dari Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS), pembelian pesawat pejuang Rafale oleh Indonesia itu bukan sahaja meningkatkan keupayaan tempur udara, tetapi ia memberi kelebihan dari segi teknologi peperangan moden.
Pesawat pejuang Rafale terkenal dengan keupayaan pelbagai peranan (multirole), termasuk misi serangan darat, penguasaan udara, pengintipan, serta keupayaan untuk melancarkan peluru berpandu jarak jauh.
Indonesia dilaporkan membiayai perolehan pesawat pejuang Rafale itu melalui gabungan pelbagai kaedah pembiayaan yang melibatkan sumber dalaman negara dan sokongan kewangan antarabangsa.
