Akibat Dikenakan Tarif Oleh Trump, Filipina Mungkin Terpaksa “Lupakan” F-16 Block 70/72
Duta Filipina ke Amerika Syarikat memberi amaran bahawa tarif baru yang dikenakan oleh Washington terhadap Manila telah memberi kesan besar kepada ekonomi Filipina, dan keadaan ini boleh menyebabkan negara Asia Tenggara itu “tidak berkemampuan” untuk memperolehi pesawat pejuang F-16 itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Filipina memberi isyarat bahawa ia berkemungkinan terpaksa “melupakan” hasrat untuk membeli pesawat-pesawat pejuang F-16 buatan Amerika Syarikat bernilai US$5.6 bilion (RM26.4 bilion) selepas negara Asia Tenggara itu dikenakan tarif balas (reciprocal tariff) oleh Washington.
Duta Filipina ke Amerika Syarikat, Jose Manuel Romualdez, berkata pihaknya sedang berusaha untuk memuktamadkan satu perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat dan sedang berbincang tentang “bagaimana kita boleh mengharungi keseluruhan proses ini.”
Beliau memberi amaran bahawa tarif baru yang dikenakan oleh Amerika Syarikat terhadap Filipina itu telah memberi kesan besar kepada ekonomi Filipina, dan keadaan ini boleh menyebabkan negara Asia Tenggara itu “tidak berkemampuan” untuk memperolehi pesawat pejuang F-16 itu.
“Pesawat F-16 ini… sangat mahal untuk kami… dan sudah tentu kami tidak akan mampu membelinya sekiranya kami tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi,” katanya.
Filipina kini berdepan dengan tarif import sebanyak 17 peratus yang dikenakan oleh Amerika Syarikat terhadap semua eksportnya, berkuat kuasa mulai 9 April 2025.
Langkah ini adalah sebahagian daripada dasar perdagangan baru yang diumumkan oleh Presiden Donald Trump di bawah inisiatif “Liberation Day”.
Romualdez memberi amaran bahawa cadangan pembelian pesawat pejuang F-16 itu mungkin tidak akan diteruskan susulan pelaksanaan tarif tinggi oleh Amerika Syarikat, walaupun imbangan dagangan sebenarnya memihak kepada Washington.
F-16
Beliau menegaskan bahawa potensi perjanjian bernilai US$5.6 bilion (RM26.4 bilion) itu sepatutnya menghasilkan “surplus (lebihan perdagangan) sebanyak US$1 bilion (RM4.4 bilion) yang memihak kepada Amerika Syarikat.”
Baru-baru ini, Jabatan Negara Amerika Syarikat telah meluluskan potensi penjualan sebanyak 20 buah pesawat pejuang F-16 kepada Filipina dianggarkan bernilai US$5.58 bilion (kira-kira RM26.4 bilion).
Pakej yang diluluskan itu merangkumi 16 buah varian terkini F-16C Block 70/72 dan empat buah F-16B Block 70/72.
Pengumuman tentang potensi penjualan 20 buah pesawat pejuang F-16 oleh Amerika Syarikat kepada sekutu utamanya, Filipina berlaku hanya beberapa hari selepas lawatan Setiausaha Pertahanan negara itu, Pete Hegseth ke Manila.
Pengumuman tentang potensi penjualan F-16 kepada Filipina, yang dikeluarkan dalam bentuk pemakluman kepada Kongres Amerika Syarikat oleh Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan (DSCA), masih belum muktamad.
Bilangan pesawat akhir yang mungkin dibeli oleh Filipina dan nilai keseluruhan lazimnya boleh berubah sepanjang proses rundingan.
F-16
Pengumuman ini secara teknikal membuka ruang kepada ahli-ahli Kongres untuk membantah urus niaga tersebut dalam tempoh 30 hari, namun tindakan sebegitu jarang berlaku.
Menurut kenyataan yang disiarkan di laman web DSCA, “Cadangan penjualan ini akan menyokong dasar luar dan keselamatan negara Amerika Syarikat dengan membantu memperkukuh keselamatan rakan strategik yang kekal menjadi kuasa penting dalam kestabilan politik, keamanan dan kemajuan ekonomi di Asia Tenggara.”
“Penjualan ini akan meningkatkan keupayaan Tentera Udara Filipina dalam melaksanakan misi pemantauan domain maritim serta sokongan udara rapat, selain memperkukuh keupayaan mereka dalam mengekang sistem pertahanan udara musuh (SEAD) dan serangan udara taktikal.”
“Penjualan ini juga akan mempertingkat keupayaan Angkatan Tentera Filipina dalam melindungi kepentingan serta wilayah penting negara, di samping memperluaskan tahap interoperabiliti dengan angkatan tentera Amerika Syarikat.”
Pakej keseluruhan yang dicadangkan turut merangkumi perolehan 24 buah enjin, 22 radar jenis AESA, serta pelbagai sistem dalaman pesawat.
Ia juga disertakan dengan pelbagai jenis persenjataan, termasuk 112 peluru berpandu udara-ke-udara AIM-120C-8 atau yang setara, 36 bom berpanduan GBU-39/B Small Diameter Bombs Increment 1 (SDB-1), 40 peluru berpandu udara-ke-udara AIM-9X Block II Sidewinder, 32 peluru latihan udara-ke-udara AIM-9X Block II Sidewinder Captive Air Training Missiles (CATM), 60 bom serbaguna MK-82 seberat 500 pound, dan 60 bom serbaguna MK-84 seberat 2,000 pound, serta kelengkapan berkaitan lain.
Turut termasuk dalam pakej penjualan pesawat pejuang F-16 itu kepada Filipina adalah 12 AN/AAQ-33 Sniper Advanced Targeting Pods, 24 Multifunctional Information Distribution System-Joint Tactical Radio Systems, AN/ALQ-254 Viper Shield electronic warfare atau sistem yang ketara, sistem Infrared Search and Track (IRST), sistem Air Combat Maneuvering Instrument (ACMI), pelancar LAU-117 dan LAU-88 Maverick dan lain-lain lagi.
Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat memaklumkan bahawa urus niaga itu hanya akan dimuktamadkan selepas “Surat Tawaran dan Penerimaan” yang ditandatangani diterima daripada “rakan pembeli.”
Sementara itu, jurucakap Jabatan Pertahanan Filipina, Arsenio Andolong, memberitahu agensi berita AFP bahawa beliau “belum menerima sebarang makluman rasmi berhubung keputusan tersebut.”
Romualdez sebelum ini juga dilaporkan berkata bahawa Filipina bercadang untuk memohon pinjaman jangka panjang daripada Amerika Syarikat membolehkannya membiayai perolehan 20 buah pesawat pejuang F-16 baru.
Romualdez berkata Jabatan Pertahanan Filipina akan memulakan rundingan berkenaan isu dengan rakan sejawat Amerika Syarikat mereka.
“Kami sedang meneliti kemungkinan untuk mendapatkan pinjaman jangka panjang daripada Amerika Syarikat,” kata beliau.
“Kemua pesawat (F-16 ditawarkan Amerika Syarikat kepada Filipina) ini adalah baru. Amerika Syarikat telah lama menawarkan blok ini kepada kami. Pesawat pertama dijangka boleh dihantar seawal tahun hadapan atau pada 2027, diikuti dengan penghantaran seterusnya,” menurut beliau.
Ketegangan yang semakin memuncak di Laut China Selatan telah mendorong Filipina untuk menilai semula keupayaan pertahanan udaranya, dengan pesawat pejuang F-16 Fighting Falcon dilihat sebagai aset kritikal dalam menyeimbangkan kuasa ketenteraan dengan China.
Dengan peningkatan pencerobohan oleh kapal-kapal pengawal pantai dan militia maritim China di kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Filipina, Manila memerlukan satu sistem pertahanan udara dan udara-ke-udara yang mampu bertindak balas dengan pantas dan efektif terhadap ancaman berprofil tinggi.
F-16 Block 70/72, versi terkini daripada pesawat pejuang pelbagai peranan Amerika Syarikat itu, bukan sahaja dilengkapi dengan radar AESA AN/APG-83 yang canggih, tetapi juga sistem peperangan elektronik moden dan kemampuan membawa peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh seperti AIM-120 AMRAAM.
Dalam konteks Filipina, pesawat ini akan menjadi tulang belakang kepada pertahanan udara negara, mengisi kekosongan besar yang wujud selepas persaraan armada F-5 Freedom Fighter dan ketergantungan semasa kepada pesawat pejuang ringan FA-50 yang memiliki keupayaan terhad untuk operasi jarak jauh dan misi kawalan udara sepenuhnya.
Kehadiran F-16 akan memberi Filipina keupayaan untuk menjalankan rondaan udara berterusan di atas Kepulauan Spratly dan Scarborough Shoal, di mana China telah memperkukuh kehadirannya melalui pembinaan pos ketenteraan, sistem pertahanan udara, dan lapangan terbang strategik.
Selain kemampuan tempur, pesawat F-16 juga dapat berfungsi sebagai platform intimidasi strategik, menghantar isyarat jelas bahawa Filipina bukan lagi sekadar “pemerhati pasif” dalam pertikaian maritim, sebaliknya aktor yang bersedia mempertahankan kedaulatan wilayahnya secara aktif.
Keupayaan interoperabiliti dengan aset ketenteraan Amerika Syarikat dan negara-negara sekutu seperti Jepun dan Australia juga menjadikan F-16 sebagai pilihan yang sesuai dalam konteks kerjasama pertahanan serantau seperti Perjanjian Pertahanan Bersama (MDT) antara Manila dan Washington.
Tambahan pula, dalam persekitaran di mana kehadiran China semakin agresif dari ketenteraan, F-16 akan memperkukuh daya cegah (deterrence) Filipina, menambah kredibiliti terhadap sebarang tindak balas pelbagai domain — sama ada di udara, darat, atau laut.
Secara ringkas, pembelian F-16 bukan semata-mata soal peningkatan perolehan aset — ia adalah pelaburan strategik terhadap kedaulatan, kredibiliti ketenteraan, dan peranan aktif Filipina dalam mengekalkan keseimbangan kuasa di salah satu laluan perkapalan paling penting di dunia.