Amerika Tawar Pinjaman Pada Thailand Untuk Beli F-16, Bangkok Tolak Kerana Faedah Tinggi
Amerika Syarikat meningkat usahanya untuk menjual pesawat pejuang F-16 kepada Thailand dengan menawarkan kepada negara Asia Tenggara itu pinjaman (loan) untuk membeli pesawat-pesawat pejuang buatan syarikat Lockheed Martin itu secara sekaligus.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Amerika Syarikat meningkat usahanya untuk menjual pesawat pejuang F-16 kepada Thailand dengan menawarkan kepada negara Asia Tenggara itu pinjaman (loan) untuk membeli pesawat-pesawat pejuang buatan syarikat Lockheed Martin itu secara sekaligus.
Kerajaan Thailand kerap kali membeli pesawat pejuang secara berperingkat, sebagai contohnya, pada tahun ini ia akan membeli empat buah pesawat pejuang dan tahun depan empat lagi buah sehinggalah mencapai 12 buah pesawat untuk dijadikan satu skuadron.
Tawaran oleh Amerika Syarikat tentang pinjaman itu telah didedahkan oleh Menteri Pertahanan Thailand Sutin Klungsang baru-baru ini.
Menurut beliau, tawaran pinjaman oleh Amerika Syarikat itu telah disampaikan oleh duta negara itu ke Thailand Frank Godec dalam pertemuan mereka di Kementerian Pertahanan di Bangkok pada Khamis lalu.
Sutin berkata, dalam pertemuan itu Godec telah menawarkan pinjaman kepada kerajaan Thailand untuk membeli pesawat-pesawat pejuang F-16 secara sekaligus dan tidak secara berperingkat.
Menteri Pertahanan Thailand itu bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah pinjaman yang ditawarkan oleh duta Amerika Syarikat ke negara itu.
“Bagaimanapun sekiranya Thailand menerima tawaran pinjaman oleh Amerika Syarikat itu, kami terpaksa menanggung kadar faedah yang tinggi,” katanya dan menambah, negara-negara lain juga menawarkan pinjaman kepada Thailand untuk memperolehi pesawat pejuang.
Washington dipercayai menawarkan pinjaman kepada Thailand untuk membeli pesawat-pesawat pejuang F-16 selepas Bangkok menubuhkan jawatankuasa khas untuk memutuskan pesawat pejuang pilihan untuk kegunaan tentera udaranya.
Thailand dijangka mengumumkan pesawat pejuang pilihanannya itu pada akhir tahun ini.
Persaingan untuk membekalkan pesawat pejuang kepada Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) semakin hangat di antara varian terkini F-16 iaitu F-16 Block 70 dan juga varian terkini Gripen iaitu JAS39 Gripen-E.
Pada ketika ini, RTAF memiliki di antara 40-50 buah pesawat pejuang F-16 daripada varian terdahulu dan juga 12 buah JAS 39 Gripen C/D (walaupun sebuah daripadanya telah terhempas ketika melakukan penerbangan demonstrasi di Hatyai beberapa tahun lepas).
Baru-baru ini, syarikat SAAB yang membangunkan pesawat pejuang Gripen telah membuka pintu kilangnya di Sweden untuk para pengamal media Thailand bagi membolehkan mereka melihat dengan lebih dekat kemudahan canggih itu.
Lawatan media Thailand itu turut dibawa melawat kemudahan pembinaan pesawat pejuang Gripen E/F, varian terkini pesawat pejuang itu yang ditawarkan kepada RTAF.
Syarikat SAAB menawarkan varian terkini Gripen E/F kepada Thailand, bagi bersaing dengan pencabar terdekatnya iaitu F-16 Block 70 yang ditawarkan oleh syarikat Lockheed Martin daripada Amerika Syarikat.
Pada ketika ini, persaingan untuk memenuhi keperluan Thailand adalah di antara SAAB menerusi peswat pejuang Gripen E/F dan Lockheed Martin yang mengemukakan varian terkini F-16 Block 70.
Sumber yang dipetik oleh akhbar Bangkok Post itu menyatakan bahawa RTAF berkemungkinan besar akan memilih pesawat pejuang Gripen buatan Sweden itu untuk memenuhi keperluannya, mengalahkan F-16 Block 70.
Sebenarnya tanda-tanda bahawa Thailand akan memiih pesawat pejuang Gripen telah pun kelihatan jelas sejak beberapa bulan lalu, tetapi ia semakin kelihatan baru-baru ini dengan kunjungan Panglima RTAF ACM Phanpakdee Phattanakul dan pegawai-pegawai tinggi yang lain ke Sweden awal bulan lepas untuk mengadakan perbincangan lebih lanjut dengan pengurusan kanan SAAB.
Pada bulan Mei, Pengerusi Jawatankuasa Angkatan Tentera di Parlimen Thailand Wiroj Lakkhanadisorn juga mengadakan kunjungan ke negara Scandinavia itu untuk tujuan yang sama, iaitu mengadakan perbincangan lebih lanjut dengan pengurusan kanan syarikat SAAB.
Sementara itu Pengarah Kempen Gripen Thailand Robert Bjorklund sebagaimana dipetik oleh akhbar utama Thailand itu berkata syarikat SAAB menawarkan kepada Thailand jaringan sistem penderia fusion (networked sensor fusion) dan tiga jenis radar yang canggih.
Sementara itu Pengarah Kempen Gripen Thailand Robert Bjorklund sebagaimana dipetik oleh akhbar utama Thailand itu berkata syarikat SAAB menawarkan kepada Thailand jaringan sistem penderia fusion (networked sensor fusion) dan tiga jenis radar yang canggih.
Radar-radar canggih yang ditawarkan untuk melengkapi pesawat pejuang Gripen E/F Thailand itu adalah Raven ES-05-AESA, Skyward G-IRST and Mode 5-IFF.
Mengenai sistem data link pula, beliau berkata, pesawat pejuang Gripen E/F yang ditawarkan kepada Thailand itu adalah bersesuaian dengan sistem datalink Link-16 dan juga sistem datalink yang dibangunkan sendiri oleh RTAF iaitu Link-TH. — DSA
Comments are closed.