Amerika Syarikat Sasar Nelayan China Di Laut China Selatan

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam tindakan yang akan meningkatkan lagi kemarahan China, pentadbiran Presiden Donald Trump memutuskan untuk menempatkan kapal-kapal peronda pengawal pantainya di Lautan Pasifik untuk mengawasi nelayan haram negara Komunis itu.
Tujuan utama Amerika Syarikat itu adalah untuk mengekang kebanjiran bot-bot nelayan China yang menjalankan penangkapan ikan secara haram di Pasifik serta laut-laut sekitarnya termasuk Laut China Selatan.
Tindakan itu diumumkan oleh penasihat keselamatan dalam negeri Amerika Syarikat, Robert O’ Brien.

Nelayan-nelayan China ini suka menangkap ikan di kawasan-kawasan perairan bertindih, mungkin sebagai strategi Beijing untuk memaksa tuntutan mereka itu.
Jadi, nelayan China ini bukan sekadar nelayan sahaja tetapi Beijing telah menjadikan mereka satu senjata diplomatik untuk mengukuhkan lagi tuntutan mereka terhadap sesuatu kawasan itu seperti di Laut China Selatan.
Nelayan China jika mereka datang untuk menangkap ikan di sesuatu kawasan, bilangannya bukan satu atau dua buah tetapi di dalam bilangan ratusan serta ribuan buah.
Dan mereka tidak peduli samada kawasan perairan itu milik negara mana, kerana pada mereka kesemua perairan itu adalah milik China.

Untuk makluman tuan-tuan, China ini dianggarkan memiliki 800,000 bot nelayan iaitu kira-kira separuh daripada bilangan nelayan di seluruh dunia.
Memandangkan perairan China berhadapan dengan kekurangan sumber perikanan (depleted fish resources) akibat “overfishing”, maka perairan negara-negara jiran termasuk Malaysia menjadi sasaran mereka.
Laut China Selatan pula diakui bukan sahaja perairan yang kaya dengan minyak dan gas tetapi juga sumber-sumber perikanan.
Comments are closed.